Kontroversi undang-undang keluarga Islam disengajakan
Monday, January 16 @ 16:54:08 MYT
Oleh ROY RASUL
KUALA LUMPUR, 15 Jan (Hrkh) – Kontroversi Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Pindaan) 2005 yang heboh diperkatakan adalah sengaja diada-adakan, kata Presiden Persatuan Guaman Syarie Malaysia (PGSM),Haji Muhammad Burok.
Muhammad Burok berkata demikian dalam program taklimat dan diskusi mengenai 'Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Pindaan) 2005' yang diadakan di Markas PAS, Taman Melewar pada 13 Januari lalu, dan telah mendapat sambutan menggalakkan khasnya di kalangan muslimat.
Program tersebut yang dianjurkan oleh Muslimat Legal Team (Muslet), Dewan Muslimat PAS Pusat menampilkan dua ahli penal iaitu Haji Muhammad Burok dan Timbalannya, Zainul Rijal Abu Bakar.
Program tersebut yang dirasmikan oleh Ketua Muslimat PAS, Ustazah Azizah Khatib memberi penerangan yang jelas mengenai kecelaruan yang berlaku dalam akta undang-undang tersebut terutamanya mengenai kes harta sepencarian dan poligami.
Sementara itu, pimpinan tertinggi PAS juga tidak ketinggalan menyertai majlis tersebut antaranya, Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Timbalan Ketua Muslimat PAS, Dr Lo'Lo' Ghazali; Ketua Penerangan Muslimat PAS, Dr Siti Mariah Mahmud; Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zulkifli Ahmad; Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS, Dr Halimah Ali; Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusai, Hanipa Maidin dan lain-lain.
Sementara itu Muhammad Burok dalam diskusi tersebut berkata, pada awalnya Pindaan Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984' tidak pun menjadi isu penting tetapi disebabkan timbul kontroversi oleh badan-badan Wanita maka ia hangat dibincangkan sekarang.
"Kontroversi ini diada-adakan walhal pada PGSM ia tidak sepatutnya menjadi kontroversi dan yang menimbul kontroversi itu orang yang sama juga yang mendesak kerajaan untuk meminda undang-undang tersebut," katanya.
Malah katanya, kebanyakan negeri telah dibentang di Dewan Undangan Negeri dan tidak pun ada bantahan pada hal sama dengan Wilayah Persekutuan.
Sementera itu, Dr Mariah berkata, dari dulu lagi ramai yang membuat persepsi bahawa Mahkamah Syariah tidak memberi khidmat yang begitu baik kepada kaum wanita.
Oleh sebab itu katanya, orang awam perlu diberi pengetahuan kerana ramai yang tidak tahu secara mendalam mengenai undang-undang keluarga Islam.
"Kadang-kadang kita tidak mengetahui semuanya dan kita bukannya peguam. Apa yang diketahui melalui media.
"Malangnya orang yang ada pengetahuan tidak memberi maklum balas," katanya. - mks.
Harakah online 16/1/2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment