Pages

Ads 468x60px

Wednesday, January 25, 2006

Mahkamah Syariah: Bukan Islam boleh dapat keadilan

 

Mahkamah Syariah: Bukan Islam boleh dapat keadilan

Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI dan FAUZI JAAFAR-UM 25/1/2006

KUALA LUMPUR 24 Jan. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan Mahkamah Syariah berhubung kes Nyonya Tahir membuktikan orang bukan Islam juga boleh mendapat keadilan di mahkamah itu.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu juga sekali gus menepis tuduhan yang dilemparkan kepada Mahkamah Syariah sebelum ini bahawa ia tidak adil kepada bukan Islam kerana tidak dibenarkan mendapat pembelaan di mahkamah itu.

``Itulah tandanya (kes Nyonya Tahir) ada keadilan, bukan dia (Mahkamah Syariah) nak pejam mata tak mahu fikir fakta langsung, asalkan elok untuk Islam.

``Saya setuju (dengan keputusan itu), dulu orang anggap Mahkamah Syariah ini yang bukan Islam tak boleh hadir. Apa yang berlaku di Seremban sebaliknya, bukan Islam boleh hadir, boleh mengemukakan hujah-hujah, boleh menuntut pembelaan,'' katanya.

Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban semalam bahawa Nyonya Tahir, wanita Melayu beragama Islam tetapi didakwa mengamalkan cara hidup orang Cina dan ajaran Buddha sejak lebih 80 tahun lalu, bukan beragama Islam semasa kematiannya.

Hakim Mohd. Shukor Sabudin dalam keputusannya juga membenarkan mayat Nyonya yang disimpan di rumah mayat Hospital Tampin sejak kematiannya Jumaat lalu, diserahkan kepada keluarga wanita itu untuk disemadikan mengikut agama Buddha.

Keputusan itu juga berdasarkan afidavit anak bongsu Nyonya, Chiang Ah Fatt, 40, dan keterangan bersama kakak Ah Fatt, Kwang Ying, 43, di mahkamah itu.

Abdullah yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut gembira dengan keputusan Mahkamah Syariah tersebut.

``Apa yang berlaku di Seremban, alhamdulillah kerana ia membuktikan adanya keadilan di mahkamah berkenaan,'' katanya.

Beliau memberitahu, konsep keadilan diletakkan sebagai perkara paling asas dan paling tinggi dalam agama Islam tanpa boleh diragui lagi.

Abdullah juga menyebut sepotong ayat al-Quran yang bermaksud: ``Apabila kamu menghakimi antara manusia, kamu hendaklah berlaku adil.''

Jelas beliau, penggunaan perkataan `antara manusia' itu bukan sahaja merujuk kepada orang Islam tetapi turut membabitkan orang bukan Islam.

``Keadilan itu merupakan salah satu nilai yang paling tinggi dalam agama Islam,'' tegas beliau.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text