Mahkamah tak ada kuasa dengar kes
BH-24/1/2006PETALING JAYA: Biduanita Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam, daripada tuduhan memfitnah penyanyi Siti Nurhaliza Taruddin melalui beberapa e-mel.
Majistret Azroul Hisham Azulan memutuskan, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkenaan kerana aduan fitnah itu tidak dibuat oleh mangsanya sendiri.
Oleh itu, beliau memutuskan pertuduhan terhadap Sharifah Aini, 51, tidak mematuhi peruntukan Seksyen 131 Kanun Acara Jenayah (KAJ).
Seksyen 131 menyatakan sebarang mahkamah tidak boleh mengambil tahu mengenai kesalahan berkaitan fitnah, kecuali aduan dibuat oleh orang yang terkilan dengan kesalahan itu atau pendakwa raya.
Azroul berkata, pertuduhan serta aduan adalah dua perkara yang berbeza dan dalam kes itu, Siti Nurhaliza tidak dinamakan sebagai pengadu sebaliknya pengadu adalah wartawan Harian Metro, Abdullah Mamat atau Abie.
Ini bertentangan dengan kertas tuduhan yang menyebut Siti Nurhaliza, 26, sebagai mangsa e-mel fitnah itu.
"Sekiranya ada peruntukan undang-undang yang memberi mahkamah bidang kuasa mendengar dan membicarakan kes tetapi peruntukan itu tidak dipatuhi, maka mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar prosiding itu.
"Prosiding mahkamah adalah terbatal dan sekiranya orang yang dituduh sudah disabitkan, (perintah itu) hendaklah diketepikan," katanya Azroul ketika membacakan keputusannya.
Sharifah Aini yang memakai baju kurung ungu, senyum dan berkata 'terima kasih Yang Arif' kepada Azroul sebaik keputusan dibacakan.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Sharifah Aini berkata, perasaannya bercampur baur selepas menerima keputusan itu.
"Saya tidak mengatakan saya gembira mahupun lega. Pada saya, jika dikatakan lega seolah-olah menggambarkan saya sudah melakukan sesuatu yang salah tetapi dibebaskan, yang berbeza dengan keadaan ini.
"Sebenarnya saya tidak tahu apa yang saya rasa. Perasaan saya bercampur-campur. Kejadian ini amat memalukan dan menekan saya.
"Saya cuma terkilan kerana tidak dapat menceritakan kisah saya yang tersirat. Saya harap satu hari perkara itu dapat diceritakan," katanya.
Azroul dalam keputusannya, menolak cadangan bahawa kertas pertuduhan yang dikemukakan terhadap Sharifah Aini adalah satu aduan seperti diperlukan mengikut Seksyen 131 KAJ.
Beliau berkata, walaupun tidak dinafikan secara umumnya sesiapa saja boleh membuat aduan, ada peruntukan khas mengikut Seksyen 131 KAJ yang memerlukan pihak tertentu membuat aduan.
"Bagi pertuduhan, tertuduh mesti hadir di mahkamah, berbeza dengan pengadu yang tidak semestinya hadir ketika pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh. Sebaliknya dalam aduan, pengadu sendiri mesti hadir membuat aduan secara bersumpah di hadapan majistret mengikut prosedur yang dinyatakan Seksyen 131.
"Tertuduh juga tidak perlu hadir. Tujuan aduan untuk mengadu atau memberitahu kepada majistret untuk membolehkan tindakan diambil manakala tujuan pertuduhan adalah pemberitahuan kepada tertuduh mengenai kesalahan yang dilakukannya," katanya.
Hakim juga berpendapat, Abdullah tidak boleh dinyatakan sebagai orang membuat aduan kerana Seksyen 131 KAJ jelas menyatakan hanya orang yang terkilan atau pendakwa raya boleh bertindak sebagai pengadu.
"Sungguhpun Timbalan Pendakwa Raya berhujah untuk membuktikan bahawa Abie yang dimaksudkan dalam e-mel itu adalah Abdullah Mamat, namanya tidak tertera dalam empat cebisan yang digariskan dalam e-mel itu dan ia bererti dia bukan orang yang terkilan dengan kesalahan," katanya.
No comments:
Post a Comment