Pages

Ads 468x60px

Wednesday, January 25, 2006

Perjelaskan undang-undang sedia ada

Rencana Pengarang- UM 25/1/2006

HAKIKATNYA masih ada yang terbuku di hati sesetengah pihak di sebalik ketegasan kerajaan untuk tidak tunduk kepada desakan supaya Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dipinda.

Masih ada cakap-cakap yang kurang enak mengenai bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah meskipun Perdana Menteri menegaskan tiada apa yang perlu ditambah atau dikurangkan dalam peruntukan undang-undang itu.

Pindaan Perkara 121 (1A) pada tahun 1988 sememangnya telah menyelesaikan konflik pembahagian kuasa antara kedua-dua mahkamah, cuma ia perlu diperjelaskan untuk mengelak sebarang kekeliruan terutama di kalangan orang awam.

Dan kes Nyonya Tahir yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Seremban kelmarin menyokong kekuatan Perkara 121(1A). Paling penting umum kini mengetahui bahawa undang-undang syariah itu sebenarnya tidak rumit.

Mahkamah Syariah pula tidak pernah `memusuhi' orang bukan Islam malah mereka boleh tampil mengemukakan bukti dan berhujah untuk menyokong kes mereka. Pendek kata orang bukan Islam mempunyai ruang dalam kes-kes melibatkan hukum syarak jika kena caranya.

Cuma sebelum ini ada sesuatu yang `mengikat' orang bukan Islam dengan tanggapan bahawa mereka tidak mempunyai remedi di mahkamah syariah.

Selepas 33 hari M. Moorthy selamat dikebumikan, kes Nyonya menjawab segala kecelaruan dan kekusutan yang timbul sehingga memberi gambaran yang tidak tepat mengenai sistem perundangan negara.

Dakwaan bahawa mahkamah syariah langsung tidak memberi peluang kepada orang bukan Islam untuk mendapatkan keadilan terbukti tidak berasas sama sekali.

Apa yang diperlukan sekarang ini ialah bukan menjuarai sesuatu isu sebaliknya setiap kekeliruan diperbetulkan manakala kekusutan dileraikan tanpa mengecewakan mana-mana pihak.

Semua pihak yang terlibat melaksanakan undang-undang di negara ini termasuk persatuan-persatuan yang mewakili pelbagai agama perlu menjelaskan apa sebenarnya isi kandungan undang-undang itu.

Bagi jabatan agama Islam pula, kenal pasti kelemahan yang ada. Jika hasil siasatan terhadap isu Nyonya Tahir telah disiapkan sejak 1986 lagi, mengapa tidak mereka berbuat sesuatu untuk memastikan kekeliruan seperti ini tidak timbul.

Kekecewaan S. Kaliammal dan kegembiraan anak-anak Nyonya sebenarnya membawa seribu rahmat kepada rakyat Malaysia.

Pemergian Moorthy dan Nyonya memperjelaskan undang-undang sedia ada dan memberi ruang kepada kita semua supaya berfikir.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text