Pages

Ads 468x60px

Thursday, January 19, 2006

Mahkamah Sivil tak boleh campur tangan

Mahkamah Sivil tak boleh campur tangan


Oleh Veena Rusli

KUALA LUMPUR: Mahkamah Syariah mesti diberi kebebasan melaksanakan bidang kuasanya dalam membuat keputusan berhubung isu berkaitan Islam tanpa campur tangan Mahkamah Sivil, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, soal memansuhkan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan semata-mata bagi memberi laluan kepada Mahkamah Sivil mengkaji keputusan Mahkamah Syariah berhubung kes berkaitan agama, tidak harus timbul.

"Kalau nak sahkan seseorang individu itu Islam atau tidak kerana dikatakan sudah memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarganya, saya setuju Mahkamah Sivil diberi kuasa membuat keputusan.

Hak Mahkamah Syariah mesti dikekalkan seperti sedia ada," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini semalam.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar berhubung hasil perbincangan Meja Bulat Parlimen mengenai kuasa kehakiman dalam hal berkaitan agama di ibu negara kelmarin.

Pertemuan yang dihadiri beberapa Ahli Parlimen, peguam dan wakil kanan persatuan bukan Islam itu diadakan berikutan kontroversi sama ada bekas pendaki Everest, Allahyarham Mohammad Abdullah @ M Moorthy, sahih memeluk Islam atau sebaliknya.

Antara lain, peserta perbincangan itu mencadangkan supaya Mahkamah Sivil diberi hak mengkaji keputusan kes Mahkamah Syariah.

Perbincangan itu memberi tumpuan kepada Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut, mahkamah tinggi tidak boleh



LIHAT MUKA 2

DARI MUKA 1

mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Selain itu, ia turut membincangkan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan isteri Mohammad, S Kaliammal daripada mengambil jenazahnya untuk disemadikan mengikut adat agama Hindu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan itu.

Jenazah Mohammad dikebumikan pada 28 Disember lalu di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota selepas Mahkamah Tinggi memutuskan tidak mempunyai bidang kuasa menyemak dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung status agamanya.

Mohamed Nazri berkata, seperti dilaporkan sebelum ini, beliau hanya bersetuju jika mahkamah sivil terutama mahkamah tinggi diberi kuasa memutuskan soal kesahihan status Islam seorang mualaf seperti berlaku pada Allahyarham Mohammad.

Bagaimanapun, katanya, adalah tidak munasabah jika mahkamah sivil diberi kebebasan mengkaji semula semua keputusan Mahkamah Syariah.

"Kalau kita jadikan sedemikian rupa, hilanglah fungsi Mahkamah Syariah sebagai pihak yang membuat keputusan dalam pertikaian berkaitan agama dan lama-kelamaan orang akan lihat ia tidak relevan kerana keputusannya terdedah kepada penelitian pihak lain (mahkamah sivil).

"Malah, tiada gunanya kita ada Mahkamah Syariah kalau semua keputusan diserahkan kepada mahkamah sivil. Kalau keputusannya sama, tak mengapalah tapi bagaimana jika bercanggah sedangkan ia membabitkan agama," katanya.

©The New Straits Times Press (M) Berhad - BH online 7/1/2006

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text