BH-21/1/2006
AMIRA, wanita bekerja yang berpendapatan stabil. Anak-anaknya bijak belaka, suami pula berkerjaya hebat dan bergaji tinggi. Kasih sayang mereka terpancar jelas, kasih sayang ala keluarga moden Melayu. Tapi siang malam, Amira susah hati memikirkan kemungkinan suaminya berkahwin lagi.
Tambahan pula dia mendengar pelbagai kisah kecurangan suami kawan-kawan sepejabat dengan setiausaha sendiri tidak kurang dengan pembantu rumah. Kerisauan itu membuatkan Amira kurang tidur, kurang makan dan mutu kerjanya merosot.
Kerana kerisauan itu, dia sentiasa memantau perkembangan pergerakan persatuan-persatuan wanita. Kerana kerisauan itu hatinya tidak keruan dan dia terus kelabu mata melihat kebenaran.
Dia terus menjerit-jerit menentang poligami, habis suara, hampir keluar anak tekak dia berbahas, suami harus dihalang berpoligami.
Tetapi Amira lupa satu hakikat, mana mungkin perkara yang halal dalam Islam boleh kita haramkan sesuka hati dan sesedap rasa. Lagipun poligami dalam Islam bukannya satu kewajipan tetapi hanya untuk lelaki yang berkelayakan.
Dalam kes suami Amira, dia mungkin mampu untuk berpoligami tetapi soalnya adakah dia ingin beristeri lebih dari satu? Salah Amira dia tidak bertanya pada suami, dia hanya risau dan terpengaruh dengan kisah derita-air mata kawan-kawannya. Mungkin dia boleh turut bersimpati tetapi dia juga harus bersyukur, suaminya bukan seperti suami-suami kawan-kawannya.
Amira tidak harus menurut kata hati, kononnya memperjuangkan hak wanita secara total pada hal dia sangat kabur soal-soal undang-undang syariah dan apa yang boleh dan tidak boleh dalam Islam. Amira sebenarnya ingin jeritan dan tuntutan perjuangan menegakkan hak wanita itu andainya didengar akan menjadi trofi dalam resumenya nanti.
Jika Amira benar-benar ingin memperjuangkan hak wanita, dia harus mendengar semua rintihan dan mengambil tahu apa sebenarnya yang wanita Malaysia inginkan. Memperjuangkan kepentingan peribadi atas nama kepentingan wanita Malaysia menunjukkan sikap mementingkan diri sendiri yang sangat keterlaluan.
Lantas, dia menjadi duri dalam daging, menjadi penghalang kepada perkara-perkara baik mengikut syariah yang seharusnya dilaksanakan.
Isu membabitkan wanita di Malaysia bukan sekadar isu poligami atau kes tuntutan nafkah saja. Ada banyak isu lain yang harus diperjuangkan. Tetapi apabila Amira dan mungkin ratusan wanita lain lagi hanya memandang isu poligami sebagai isu terbesar wanita di Malaysia, berciciranlah isu-isu penting yang lain.
Mungkin dia dan wanita sepemikiran dengannya terlupa atau terlepas pandang statistik poligami di Malaysia sangat sedikit berbanding kes membabitkan kemalangan jalan raya misalnya.
Waktu wanita negara lain sudah ada yang menduduki kerusi Presiden, wanita di Malaysia masih lagi berselirat dengan isu-isu emosi. Renungkanlah.
Kesumadewi@nstp.com.my
©The New Straits Times Press (M) Berhad
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment