Pages

Ads 468x60px

Wednesday, January 25, 2006

Keadilan syarak untuk semua kaum

BH 25/1/2006

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Syariah Seremban kelmarin bahawa seorang wanita Melayu, Nyonya Tahir, 89, bukan lagi seorang Islam ketika meninggal dunia akhir minggu lalu, diharap dapat menghapuskan kecurigaan bukan Islam kononnya hak mereka kini tidak lagi terjamin. Keputusan itu membolehkan mayat wanita berkenaan diserahkan kepada warisnya untuk disemadikan sebagai seorang penganut Buddha.

Rakyat negara ini tentunya menyambut baik keputusan itu dengan harapan ia dapat mengikis kontroversi yang melanda baru-baru ini, dipelopori beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh yang dengan lantang persoalkan isu membabitkan hak rakyat bukan Islam.

Kontroversi itu timbul berikutan keputusan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dalam kes pendaki Everest, Muhammad Abdullah @ M Moorthy yang disahkan seorang Islam ketika meninggal dunia, walaupun ini ditentang balunya, S Kaliammal, di Mahkamah Sivil.

Ramai di kalangan bukan Islam kesal dengan keputusan Mahkamah Sivil bahawa ia tidak mempunyai kuasa membelakangi keputusan Mahkamah Syariah berdasarkan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu, beberapa pihak termasuk akhbar berbahasa Inggeris, Cina dan Tamil serta laman blog internet dengan lantang memberikan gambaran seolah-olah hak dan kebebasan beragama di negara ini sudah tercemar dan dihakis walaupun kebebasan itu dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keadaan agak mencemaskan apabila golongan bukan Islam terus dengan bantahan mereka dan ia diperkuatkan lagi berikutan tindakan sembilan menteri bukan Islam menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, meminta kerajaan meminda undang-undang yang terpakai, termasuk Artikel 121 (1A) yang dianggap boleh menghakis hak asasi rakyat bukan Islam.

Bagaimanapun, memorandum itu ditarik balik berikutan pertemuan lima daripada sembilan menteri berkenaan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Walaupun beberapa pihak, termasuk Persatuan Peguam Syarie menegaskan bahawa peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu tidak menghakis hak bukan Islam, ramai daripada mereka terus mendesak supaya ia dimansuhkan.

Kontroversi itu dapat diredakan apabila Abdullah menegaskan Perlembagaan Persekutuan tidak akan dipinda, sebaliknya yang perlu dilakukan ialah mengkaji semula mana-mana undang-undang dan peraturan yang menimbulkan was-was bahawa rakyat bukan Islam tidak akan terbela.

Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban juga secara tidak langsung menidakkan kebimbangan beberapa pihak tertentu, termasuk NGO yang sejak awal lagi merumuskan kononnya rakyat bukan Islam dalam negera ini akan sekali lagi dinafikan hak oleh Mahkamah Syariah.

Seperti kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Muhamad Burok, keputusan itu membuktikan Mahkamah Syariah bukan saja melindungi dan memulihara hak orang Islam, malah boleh menentukan bukan Islam mendapatkan keadilan.

Semua umat Islam mengetahui Nabi Muhammad SAW diutuskan Allah SWT sebagai Rasul sejagat bagi kepentingan semua manusia, sama ada Islam atau bukan Islam hingga akhir zaman. Sebab itulah ketika pemerintahannya hak semua rakyat di bawah naungannya terjamin.

Sebenarnya, kontroversi ini tidak akan tercetus jika pihak yang mengislamkan penganut agama lain tidak mengabaikan tanggungjawab mereka. Seperti ditimbulkan ruang ini beberapa minggu lalu, mengislamkan seseorang itu memang mudah, tetapi implikasinya amat berat bukan saja kepada mereka yang memeluk Islam tetapi juga isteri dan anaknya.

Perkara inilah yang sepatutnya diberikan pertimbangan mereka yang mengislamkan seseorang. Sememangnya Islam menetapkan seorang bukan Islam sudah menjadi Islam hanya dengan mengucap dua kalimah syahadah, tetapi ia membawa kepada kesan yang amat meluas.

Di sinilah pihak yang mengislamkan seseorang, termasuk pihak berkuasa yang diamanahkan mentadbir hal ehwal agama Islam gagal melaksanakan tanggungjawab dengan penuh hemah.

Mereka sepatutnya memberi penjelasan kepada orang yang memeluk Islam segala implikasinya, termasuk soal kedudukan perkahwinan, pembahagian harta, selain mengajar hukum Islam dan bagaimana menghayati agama itu dengan sebenarnya.

Mereka juga perlu mengingatkan mualaf berkenaan mengenai perlunya memberi tahu isteri atau suami dan keluarga masing-masing mengenai statusnya itu.

Malangnya, dalam kes pengislaman Muhammad Abdullah @ M Moorthy, perkara ini tidak dilakukan dan itulah yang menyebabkan beliau terus tinggal dengan isterinya yang menjaga hingga akhir hayatnya tanpa mengetahui beliau sudah memeluk Islam.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text