Pages

Ads 468x60px

Wednesday, January 18, 2006

Forum:Keadilan Undang-Undang Keluarga Islam dipersoal

Keadilan Undang-Undang Keluarga Islam dipersoal
Saudara Pengarang,

SAYA amat berminat untuk memperhalusi kandungan Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang sidang Dewan Rakyat luluskan baru-baru ini.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin (Utusan Malaysia 9 Januari 2006) ada menyatakan bahawa pendapatan isteri yang bekerja, suami tidak boleh usik kerana ia menjadi hak mutlak si isteri. Tambahnya, jika si-suami ingin berpoligami, dia tidak boleh menuntut harta sepencarian isteri yang diperoleh daripada pendapatan isteri.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula menyokong rang-rang undang-undang ini dengan berkata, terdapat kebaikan seperti peruntukan yang tidak memudahkan lelaki berpoligami kerana semua negeri menggunakan undang-undang serupa.

Setakat apa yang saya faham, alasan isteri-isteri berkerja adalah kerana tidak mahu membebankan suami di samping mahu membantu suami menyara anak-anak dan isteri. Tetapi jika pendapatan isteri tidak boleh diusik oleh suami, apakah sebenarnya fungsi dan matlamat isteri yang berkerja kerana selain mereka tidak melakukan seratus peratus tugas seharian suri rumah, pendapatan mereka juga tidak boleh diusik.

Ada juga wanita bekerja dengan alasan mahu menyara ibu bapa walaupun dalam Islam tugas tersebut sebenarnya dipikul oleh pihak lelaki.

Kami kaum lelaki golongan rendah atau sederhana kadangkala mengeluh kerana di pejabat kami dipaksa atau terpaksa melakukan kerja yang lebih berat dan banyak berbanding wanita yang sama pangkat dan sama gaji dengan kami. Di rumah pula kami bertanggungjawab menanggung isteri dan anak-anak tanpa boleh usik pendapatan isteri walaupun isteri tidak menjalankan sepenuh kewajipan suri rumah.

Selain itu, terdapat juga cerita daripada kawan-kawan lelaki yang berpoligami bahawa isteri kedua mereka sanggup berkorban tidak menerima nafkah di samping berkongsi pendapatan dengan suami demi berkongsi suami dengan isteri pertama.

Ada pula suami yang telah memberi segala kemewahan kepada isteri pertama berbanding isteri kedua, namun tetap timbul ketidakpuasan hati di kalangan isteri pertama. Terbukti bukan pendapatan yang menjadi punca, tetapi adalah sifat cemburu serta tidak mahu berkongsi suami dengan wanita lain. Maka jika benar berlaku demikian, di mana pula yang dikatakan keadilan daripada wanita kepada wanita?

Persoalannya, adakah Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang telah diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini selari mengikut landasan al-Quran dan hadis serta benar-benar memberi keadilan kepada pihak lelaki, wanita, keluarga dan negara?

- UMAT KELIRU, Ulu Kelang.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text