Pages

Ads 468x60px

Saturday, January 21, 2006

'Memorandum hanya syor elak pertikaian'

'Memorandum hanya syor elak pertikaian'


KUALA LUMPUR: Langkah 10 menteri Kabinet bukan Islam menghantar memorandum kepada Perdana Menteri meminta beliau menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama, dibuat bagi melindungi hak bukan Islam apabila wujud pertikaian.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata isu dibangkitkan itu perlu ditangani segera kerana ia perkara sensitif dan boleh menjejaskan persefahaman antara kaum.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi dan kebebasan mengamalkan agama lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Antara lain, cadangan ini merangkumi pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan tetapi tidak menyentuh mengenai undang-undang Islam, sebaliknya hanya perubahan dalam pelaksanaannya apabila membabitkan hak bukan Islam," katanya.

Bagaimanapun kebanyakan daripada mereka, termasuk Samy Vellu, enggan mengulas lanjut mengenai kandungan memorandum itu dan menyifatkannya sebagai isu lama yang pernah dibangkitkan MCA tahun lalu menerusi satu memorandum kepada Kabinet.

Antara lain, memorandum itu meminta penjelasan mengenai kekeliruan dalam undang-undang sedia ada, terutama larangan mahkamah sivil mencampuri keputusan mahkamah Syariah walaupun keputusannya membabitkan kepentingan seseorang yang bukan Islam.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chan Kong Choy Chan, berkata pihaknya tidak mahu membincangkan secara terbuka mengenai kandungan memorandum bersama yang dikemukakan kepada Perdana Menteri itu.

Sebaliknya beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, perkara itu hanya akan dibincangkan di kalangan anggota ahli komponen Barisan Nasional (BN).

"Dengan itu, tiada ada sebarang perbincangan secara terbuka (mengenainya akan dibuat)," katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan 10 menteri Kabinet bukan Islam mengemukakan memorandum berkenaan kepada Abdullah.

Sementara itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui, berkata terpulang kepada Perdana Menteri untuk mengumumkan kandungan memorandum berkenaan.

"Menteri bukan Islam yang menandatangani memorandum itu hanya menyatakan pandangan kepada Abdullah sebagai ketua negara ini. Apakah yang salah dengan tindakan itu?

"Apakah perlu kandungan memorandum itu diumumkan kepada awam? Ini bukan perkara yang rakyat perlu dimaklumkan... lagipun ia hak Perdana Menteri untuk mengumumkan kandungannya kepada rakyat atau tidak," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sehubungan itu Chin berkata, terpulang kepada Perdana Menteri untuk menilai kandungan memorandum berkenaan.

Mengenai tindakan Pergerakan Pemuda Umno memprotes memorandum berkenaan, beliau berkata, menteri yang menandatangani memorandum berkenaan tidak menyangka perkara itu akan berlarutan.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text