Saudara Astora,
DI DALAM isu menuntut pemindaan Perlembagaan sepatutnya 9 menteri berkenaan membangkitkannya di dalam mesyuarat Kabinet. Menghantar memorandum kepada Pak Lah adalah satu perkara yang diluar tabii ataupun kurang ajar. Ia berbentuk protes kepada Perlembagaan yang ada sekarang.
Mungkin kerana cara pendekatan kita yang kurang tegas membuatkan mereka semakin berani.
Benarkah ada kekeliruan dalam Perkara 121 (1A)?
Kita lihat apa kata menteri Islam pula dan adakah mereka akan berdiam diri seperti kes Aisyah Bukhari?
- Shahnir,
Jawapan:
Betul Shahnir. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pun menganggap begitu juga. Beliau pada Jumaat lalu menegaskan sembilan orang menteri bukan Islam perlu mengemukakan isu tersebut dalam mesyuarat jemaah menteri dan bukannya melalui memorandum.
Di samping itu Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tidak akan dipinda.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menegaskan perkara yang sama. Beliau berharap perbuatan yang tidak sesuai dan tidak `manis' itu tidak lagi berulang.
Dulu dalam kes Aisyah Bukhari bukan menteri-menteri berdiam diri, tetapi mereka menangani isu itu dengan cara menjaga sensitiviti masyarakat bukan Islam. Cuma mungkin cara menjaga sensitiviti mereka agak keterlaluan. Lalu jadi seperti kata orang `dah beri betis, nak paha'.
Malaysia terkenal di seluruh dunia sebagai negara berbilang kaum dan agama yang paling aman dan selamat.
Ini bukan bererti di negara ini tidak ada sebarang masalah antara kaum dan agama, tetapi masalah-masalah itu ditangani oleh kerajaan dengan bijaksana. Dengan itu tidak hairan jika banyak negara dunia merujuk kepada Malaysia berhubung kebijaksanaannya dalam menangani masalah-masalah antara kaum dan agama itu.
Kaum Cina dan India di negeri yang masing-masing sering merujuk kepada China dan India boleh melihat betapa parah kedua-dua negara itu menghadapi masalah-masalah antara kaum dan agama sehingga sampai ke tahap pembunuhan dan perang, sama ada yang berlaku antara pelbagai kaum dan agama mahupun yang berlaku antara pelbagai kaum dan agama dengan kerajaan. Apakah itu yang kita mahu?
No comments:
Post a Comment