Pages

Ads 468x60px

Sunday, January 22, 2006

Utamakan konsep keadilan - sis

Utamakan konsep keadilan

Oleh: ZAINAH ANWAR

PADA 11 Januari 2006, Kabinet telah mengambil keputusan untuk tidak mewartakan pindaan Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) 2005 Wilayah Persekutuan.

Memandangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Abdullah Md. Zin, serta beberapa pihak seperti Presiden Peguam Syariah dan ahli-ahli akademik, mempertahankan UUKI 2005 ini sebagai adil dan lengkap, maka masyarakat tertanya-tanya mengapa Kabinet membuat keputusan sedemikian?

Banyak pihak juga berpendapat bahawa akal fikiran dan logik serta pengalaman yang dilalui masyarakat tidak boleh diguna pakai dalam penggubalan undang-undang syariah. Adakah benar dakwaan ini?

Mengapa baru kini pertubuhan wanita membuat bantahan keras terhadap pindaan UUKI 2005 ini? Mengapa bantahan tersebut tidak dilakukan mengikut prosedur yang sepatutnya seperti bermuzakarah dengan pihak-pihak berkaitan agar tidak menimbulkan sebarang polemik?

Benarkah akal fikiran dan logik tidak boleh diguna pakai dalam memahami syariah?

SIS sedar banyak pihak, seperti Presiden ABIM (Utusan Malaysia 7 Januari 2005) dan juga sesetengah ahli agama, politik dan akademik berpendapat sedemikian. Namun, pendapat sebegini jelas tidak mencerminkan sejarah perkembangan tamadun pemikiran Islam. Sejarah menunjukkan penggunaan akal dan logik (mantik) sebenarnya dipelopori oleh dunia Islam itu sendiri.

Malah, dunia Barat yang kemudiannya turut mempelajari ilmu mantik (logik) dan mengamalkan tradisi Islam ini. Imam al-Ghazali sendiri menekankan pentingnya mempelajari ilmu mantiq. Yang jelas, konsep ijtihad, yang menggunakan akal fikiran dan logik serta mengambil kira pengalaman masyarakat semasa, adalah suatu konsep yang sangat penting dan unggul dalam tamadun Islam. Pendirian kerajaan Malaysia jelas dalam hal ini, jika tidak kerajaan tidak akan membelanjakan jutaan ringgit bagi membiayai pelajar menuntut di pelbagai bidang keilmuan termasuk bidang syariah, di universiti-universiti di dalam dan luar negara.

Pada forum yang dianjurkan oleh NCWO baru-baru ini, pegawai Jakim juga menekankan pentingnya mengambil kira `suasana masyarakat kini' dalam penggubalan undang-undang.

Bukankah konsep `kesamarataan' atau equality adalah konsep ciptaan Barat dan tidak harus diterapkan ke dalam syariah?

Konsep kesamarataan ini jelas termaktub di dalam al-Quran seperti yang disebut dalam surah al-Ahzab 33:35: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

Dalam ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada forum yang dianjurkan oleh W.I.M. (Women's Institute of Management) pada 15 Januari 2005, beliau menekankan betapa perlunya konsep kepelbagaian dan perbezaan dihayati dalam dunia pemikiran Islam agar ia tidak menjadi beku dan jumud akibat bertaklid buta terhadap pendapat tradisional.

Beliau juga melahirkan kekesalan terhadap pendapat yang mendakwa undang-undang syariah itu mutlak dan tidak boleh dipertikaikan kerana dalam isu wanita, ia menyebabkan wujudnya ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita.

Dr. Abdullah Md. Zin menyebut suami juga kini diberi hak fasakh kerana ia selaras dengan konsep `kesaksamaan' seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Namun, persoalan yang timbul adalah mengapa konsep kesaksamaan hanya diambil kira apabila pindaan dibuat untuk menambah hak lelaki sementara konsep yang sama tidak digunakan bagi menambahkan hak wanita.

Bukankah Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia merupakan yang terbaik di dunia?

Begitulah seperti yang didakwa oleh Dr. Abdullah Md. Zin. Namun, kajian menunjukkan sesetengah negara lain seperti Maghribi misalnya, mempunyai undang-undang keluarga Islam yang jauh lebih baik. Kami menyambut baik ucapan Presiden NCWO baru-baru ini yang mahu Malaysia menjadi pelopor ulung negara Islam dalam memperjuangkan hak wanita.

Sudah tentu pembuat undang-undang telah mengambil kira nas-nas al-Quran, hadis dan pandangan ulama terkemuka semasa menggubal UUKI ini?

Terdapat pelbagai pandangan dalam dunia Islam, namun nampaknya terdapat kecenderungan untuk memilih pandangan yang sempit yang tidak berupaya memberi keadilan kepada masyarakat masa kini. Haruslah diingat bahawa para fukaha memberi pendapat mereka berdasarkan pemahaman mereka, bukan sahaja berdasarkan nas-nas al-Quran dan hadis, malah juga berdasarkan keadaan masyarakat semasa pada waktu itu. Imam as-Syafie misalnya, telah mengubah pendirian beliau apabila berpindah dari Iraq ke Mesir kerana beliau berpendapat pandangannya itu, walaupun sesuai untuk masyarakat Baghdad pada masa itu, tetapi tidak sesuai untuk masyarakat lain pada waktu yang berlainan, walaupun perbezaan jangka waktunya hanya beberapa tahun sahaja.

Di Malaysia sendiri contohnya, walaupun kita mengikut mazhab Syafie, tetapi kita menggunakan pendapat Hanafi dalam pengurusan zakat fitrah kerana para ulama di Malaysia berpendapat pandangan Syafie yang menuntut agar pembayaran zakat fitrah dibuat dalam bentuk makanan asasi (beras) tidak sesuai dan pendapat Imam Hanafi yang membolehkan bayaran zakat fitrah menggunakan wang lebih sesuai diterima pakai. Maka jelas, penggunaan akal, logik dan keadaan masyarakat semasa, tidak asing dalam tradisi perundangan Islam, seperti di Malaysia.

Namun kita bertanya, mengapa dalam hal berkaitan isu wanita, terdapat keengganan untuk mengambil pendapat ulama yang lebih dapat memberi keadilan kepada wanita dalam masyarakat masa kini.

Mengapa baru kini pertubuhan wanita menyuarakan bantahan?

Sebenarnya pihak pertubuhan wanita telah mengemukakan syor-syor pembaharuan dan pindaan undang-undang kepada Jabatan Perdana Menteri, dan juga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat dalam beberapa memorandum kami sejak 2002. Beberapa mesyuarat telah diadakan di antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Jakim mengenai memorandum yang kami kemukakan tentang kelemahan dan perkara-perkara yang bersifat diskriminasi. Malangnya, pandangan dan kebimbangan kami tidak diberi perhatian, malah isi peruntukan yang sama telah dibentangkan dalam Rang Undang-Undang di Dewan Undangan Negeri-Negeri lain dan di Parlimen Persekutuan. Sebagaimana yang dikatakan kepada ahli Dewan Negara, kami juga diberitahu supaya ``menerimanya dan akan dipinda kemudian''.

SIS juga telah memberi penjelasan kepada pertubuhan wanita pada tahun 2002, dan telah mewakili 18 pertubuhan wanita, termasuk NCWO, dalam menuntut UUKI ini disemak semula dan agar jawatankuasa antara agensi yang melibatkan pertubuhan-pertubuhan wanita dibentuk dalam proses penyemakan tersebut.

Peruntukan pindaan undang-undang yang manakah menjadi punca kebimbangan pertubuhan wanita?

Secara ringkasnya, pindaan yang telah dibuat bukan sahaja mengekalkan hak-hak tradisi lelaki malah menambahkan lagi hak-hak mereka sehingga menimbulkan ketidakadilan pada pihak wanita. Antara kesan yang timbul akibat pindaan tersebut adalah:

``Syarat poligami dipinda daripada ``patut dan perlu'' kepada ``patut atau perlu'', maka beban pembuktian di pihak suami telah pun dikurangkan.

``Memberi suami hak menuntut harta sepencarian daripada pihak isteri apabila dia mahu berpoligami.

``Memberi kuasa perintah larangan kepada pihak suami untuk menuntut harta sepencarian daripada pihak isteri.

``Isteri yang dimadukan terpaksa memilih sama ada untuk menuntut nafkah atau harta sepencarian. Hukum syarak telah jelas mewajibkan lelaki memberi nafkah kepada ahli keluarga.

``Melanjutkan hak fasakh isteri kepada suami. Hak fasakh kepada suami adalah menurut pandangan minoriti ulama dan ramai ulama yang berlainan pendapat dalam hal ini. Jika hak fasakh diberikan juga kepada lelaki, maka adalah adil jika isteri juga hendaklah diberi hak talak tafweed, iaitu suami memberikan hak lafaz cerai kepada isteri, seperti yang diamalkan di beberapa negara Islam lain seperti Pakistan dan Bangladesh.

Banyak pihak mengatakan hanya yang pakar sahaja boleh membincangkan hukum-hukum syariah. Maka adakah SIS mempunyai hak untuk memperkatakan isu-isu berkaitan hukum syariah?

Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan Islam telah dijadikan sumber undang-undang di Malaysia, maka SIS berpendapat rakyat Malaysia berhak menyuarakan pandangan mereka, apatah lagi bila ia memberi kesan terhadap kehidupan dan kesejahteraan hidup rakyat. Jika rakyat boleh bersuara dalam hal-hal yang melibatkan politik, ekonomi dan sosial, mengapa rakyat tidak boleh menyuarakan pandangan dalam hal undang-undang agama?

Terdapat banyak perbezaan pendapat dalam pelaksanaan syariah di negara-negara Islam, malah pindaan kerap kali dilakukan dari masa ke masa. Ini menunjukkan undang-undang syariah tidak statik dan sentiasa berubah hasil timbal balas terhadap pemikiran dan keadaan semasa.

Di pihak SIS juga, selain mempunyai pegawai undang-undang bertauliah sepenuh masa, penasihat undang-undang kami, Nik Noriani Nik Badlishah adalah merupakan penuntut kedoktoran dalam bidang tamadun Islam. Beliau juga telah berkhidmat selama 10 tahun di pejabat Jabatan Peguam Negara di bahagian penggubalan dan penyemakan undang-undang.

Maka adalah tidak benar dakwaan yang mengatakan SIS tidak tahu langsung tentang syariah dan proses penggubalan undang-undang. Kami juga sentiasa membuat rujukan terhadap perkembangan ilmu Islam serta merujuk kepada ahli-ahli fikir Islam di seluruh dunia.

Apakah cadangan pertubuhan wanita terhadap UUKI?

Pertubuhan wanita menyeru pihak berkuasa agar UUKI mengambil pandangan menyeluruh iaitu dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti konsep keadilan, kesamarataan, kesaksamaan, mendaulatkan Perlembagaan Negara dan juga memenuhi perjanjian-perjanjian antarabangsa yang telah ditandatangani kerajaan Malaysia.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text