Pages

Ads 468x60px

Wednesday, January 25, 2006

Bukan Islam jangan curiga Mahkamah Syariah

BH -025/1/2006

KETIKA isu berhubung hak orang bukan Islam di negara ini semakin reda dan dianggap selesai, Mahkamah Tinggi Syariah Seremban kelmarin pula membuat satu keputusan menarik apabila mengarahkan mayat seorang wanita, Nyonya Tahir, 89, diserahkan kepada warisnya untuk dikebumikan mengikut upacara Buddha selepas wanita itu diisytiharkan sebagai bukan Islam ketika meninggal dunia. Keputusan itu secara tidak langsung membuktikan bahawa Mahkamah Syariah tidak pernah menafikan hak orang bukan Islam, sekali gus diharap dapat menghapuskan kebimbangan dan kecurigaan mereka kononnya mahkamah berkenaan bukan saja khusus untuk orang Islam, malah hanya memihak kepada orang Islam dan langsung tidak melindungi hak mereka.

Kita akur dengan keputusan itu kerana walaupun Nyonya Tahir berketurunan Melayu dan beragama Islam seperti tertera pada kad pengenalannya, beliau didakwa mengamalkan cara hidup orang Cina dan ajaran Buddha sejak lebih 80 tahun lalu. Malah, beliau juga pernah membuat akuan bersumpah bahawa tidak akan kembali kepada agama Islam dan berpesan supaya mayatnya disemadikan mengikut cara Buddha. Dalam kes ini, ternyata Mahkamah Syariah mampu mengendali dan menghadapi kes sensitif tanpa menjejaskan kepentingan dan hak pihak yang terbabit.

Apa pun, keputusan kes Nyonya Tahir ini sangat menarik jika diambil kira perkembangan semasa dalam bidang perundangan di negara ini, khususnya membabitkan status agama seseorang yang meninggal dunia. Dalam kes ini, untuk pertama kalinya Mahkamah Syariah membuka ruang kepada orang bukan Islam tampil di Mahkamah Syariah secara sukarela apabila dua anak si mati yang beragama Buddha dibenarkan memfailkan afidavit berhubung status agama ibu mereka, selain akuan bersumpah Nyonya Tahir sendiri. Malah, peguam pemerhati bagi keluarga berkenaan ketika perbicaraan kes itu juga bukan beragama Islam. Ini jelas menolak tohmahan sesetengah orang bukan Islam yang mengatakan mereka tidak mempunyai peluang bersuara di Mahkamah Syariah.

Selain itu, keputusan berkenaan juga jelas membuktikan orang bukan Islam boleh mendapatkan remedi terhadap hak mereka di Mahkamah Syariah, berbanding pandangan selama ini bahawa mahkamah itu hanya khusus untuk kes berkaitan Islam. Isu ini agak berbeza dengan kes pendaki Everest, M Moorthy atau nama Islamnya, Muhamad Abdullah, yang menimbulkan kontroversi apabila mayatnya menjadi 'rebutan' antara isterinya dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), iaitu sama ada pihak yang bukan Islam mahu menggunakan Mahkamah Syariah untuk mencari remedi. Dalam kes Muhammad, isterinya, S Kaliammal memilih untuk mencabar Jawi di Mahkamah Sivil yang memutuskan ia tiada bidang kuasa untuk mencampuri hal berkaitan Islam.

Hakikatnya, dalam dua kes berkenaan rakyat Malaysia mendapat pengajaran yang amat jelas betapa pentingnya berbincang dalam menyelesaikan sebarang pertikaian dan Mahkamah Syariah memberi keadilan tanpa mengira agama yang dianuti. Malah, dalam kes Nyonya Tahir, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) turut membantu waris wanita berkenaan menyelesaikan masalah yang dihadapi secara harmoni.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text