Pages

Ads 468x60px

Tuesday, January 31, 2006

PENJENAMAAN SEMULA MAHKAMAH SYARIAH

Maal Hijrah 1427 menimbulkan kenangan manis dan pahit di zaman silam


Salleh Buang


Dua dekad yang lalu, ketika masyarakat Islam di negara ini menyambut Maal Hijrah 1407, saya baru bertugas setahun dua di Kulliyyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya. Antara tugas saya sebagai Timbalan Dekan pada masa itu ialah membantu Dekan (sahabat saya Prof Dr Razali Nawawi) dan Sheikh Kulliyyah (Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim) mentadbir dan menyelenggara program lepasan ijazah Diploma Kehakiman Islam. Pada masa itu, kumpulan perintis (pertama) yang mengambil program itu masih lagi sebuk menghadiri kuliah dan menyiapkan kertas projek mereka, sambil bersiap sedia menghadapi peperiksaan akhir.


Kini, setelah dua dekad berlalu, ramai di antara siswazah program lepasan ijazah itu (kumpulan perintis dan kumpulan lain selepas itu) yang telah mengukir nama dan berjasa besar kepada institusi kehakiman Islam di negara ini. Antaranya, yang boleh saya sebutkan di sini, adalah Dato’ Sheikh Ghazali Abd. Rahman (kini Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, JKSM), Dato’ Sheikh Hasbullah (bekas Ketua Hakim Syarie Kedah, kini Mufti Negeri Kedah), Dato’ Asri Hj Abdullah (bekas Ketua Hakim Syarie Perak, kini bertugas sebagai Hakim Mahkamah Rayuan di JKSM), Dato’ Ismail Yahya (kini Ketua Hakim Syarie Terengganu), Dato’ Sheikh Abu Naim (bekas Ketua Hakim Syarie Selangor dan Hakim Mahkamah Rayuan JKSM), Dato’ Johdi (Ketua Hakim Syarie Selangor), Dato’ Ali (Ketua Hakim Syarie Johor), Hj Awang Pon (bekas Ketua Hakim Syarie Sarawak), dan ramai lagi.


Kata orang, satu-satunya kebanggaan seorang guru adalah kejayaan dan kecemerlangan “anak didik” mereka. Pastinya kebanggaan Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim dan ahli tenaga pengajar program lepasan ijazah ini adalah kejayaan dan kesungguhan semua ”pelajar” yang namanya telah saya sebutkan di atas (dan ramai lagi yang tidak sempat saya sebutkan secara satu persatu) yang telah terus gigih dan bersemangat memperbaiki, meningkatkan dan memartabatkan Mahkamah Syariah di seluruh negara.


Dua dekad lalu, Mahkamah Syariah negeri masih daif lagi. Prasarananya menyedihkan. Infrastruktur perundangannya masih kucar kacir. Profesionalisma kerja masih di tahap paling rendah. Akhbar tempatan, termasuk yang berbahasa ibunda, seringkali memanggilnya (secara salah dan tidak adil) sebagai ”kangaroo court”. Pada waktu itu, mahkamah syariah masih lagi terletak di bawah bayang-bayang mahkamah sivil. Ia belum mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mahkamah sivil.


Kini, dalam tempoh masa 2 dekad (yang pada saya amat singkat sekali), banyak perubahan telah berlaku. Ia tidak daif lagi. Prasarananya sudah bertambah baik. Infrastruktur perundangannya sudah banyak diperbaiki, walaupun belum sempurna. Profesionalism kerja sudah meningkat. Pun begitu, walau sudah jauh berjalan, hakikatnya perjalanan masih jauh lagi. Pada hemat saya, kesempurnaan mungkin mengambil masa satu dua dekad lagi.


Salah satu peristiwa penting yang berlaku pada ketika itu ialah penghakiman Dato’ Lim Beng Choon dalam satu kes keluarga yang difailkan di Mahkamah Tinggi (sivil) di Kuala Lumpur. Keputusan hakim bicara ini menggemparkan seluruh tenaga pengajar program lepasan ijazah ini di universiti tempat saya mengajar. Kes ini merupakan kes paling mutakhir (pada masa itu) dalam rentetan kes-kes lain yang serupa di mana mahkamah sivil terus mempertahankan kuasanya mendengar semua kes, walaupun melibatkan kes-kes keluarga di kalangan warga Islam di negara ini.


Ramai warga Islam di negara ini yang tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir dalam kes ini selepas itu, terutamanya tentang usaha gigih yang dilakukan oleh sekumpulan peguam sivil beragama Islam (dengan bantuan tenaga pengajar di universiti saya pada ketika itu) semasa persediaan dijalankan untuk merayu keputusan Dato’ Lim itu ke Mahkamah Agung. Hasil usaha gigih yang dijalankan ini, seluruh masyarakat Islam negara ini akhirnya dihadiahkan oleh Mahkamah Agong dengan keputusannya yang bersejarah dalam kes Habibullah lwn Faridah [1992] 2 MLJ 793.


Kes Habibullah ini menempatkan Mahkamah Syariah di landasannya yang betul, sekali gus memberi nafas baru kepada perjuangan memartabatkan semula institusi kehakiman Islam di negara ini. Tindakan bersejarah Mahkamah Agong ini akhirnya menjadi penggerak dan pemangkin yang kuat kepada badan eksekutif negara mengusulkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.


Akibatnya, pada 10 Jun 1988, Parlimen meminda Perlembagaan, dengan mewujudkan Fasal (1A) kepada Perkara 121. Mulai detik itu, Mahkamah Syariah negeri menempah satu lembaran sejarah yang baru dan paling mencabar.


Kini, hanya disebabkan satu dua kes yang mendapat liputan sensasi oleh akhbar tempatan, sudah timbul cadangan liar oleh beberapa pihak agar Perlembagaan Persekutuan disemak semula, pastinya dengan harapan agar Perkara 121 Fasal (1A) ini dipinda, dan kalau boleh, dimansuhkan terus. Andainya tuntutan pihak-pihak ini dituruti oleh kerajaan, ia merupakan bukan hanya satu tindakan yang kebelakangan yang sekali gus menjadikan segala-galanya yang telah diusahakan selama ini sebagai sia-sia sahaja, bahkan menjadi satu mala petaka besar kepada institusi kehakiman Islam di negara ini.


Dalam pada itu, walaupun kita membantah segala saranan untuk memansuhkan peruntukan Perlembagaan yang keramat ini, ini tidak bermakna perundangan negara ini sekarang sudah sempurna. Perlu ditegaskan, ia belum lagi.


Kita masih lagi belum berjaya menyelesaikan masalah konflik bidangkuasa. Hakikatnya, kita masih lagi berdepan dengan situasi di mana Mahkamah Syariah tidak boleh mendengar kes dan memberi remedi kerana pihak yang memohon (menjadi pihak kepada pertikaian) adalah bukan Islam, dan dalam masa yang sama Mahkamah Sivil tidak boleh mendengar kes kerana pertikaian itu melibatkan undang-undang keluarga Islam yang terletak dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah. Satu mekanisma untuk menyelesaikan masalah konflik bidangkuasa ini mesti diwujudkan segera.


Dua dekad yang lalu saya telahpun mensarankan agar satu Mahkamah Keluarga Khas ditubuhkan. Pada saya, jika kerajaan boleh menubuhkan satu Mahkamah Khas untuk menyelesaikan masalah imuniti raja, kenapa tidak boleh satu Mahkamah Khas untuk kes-kes keluarga melibatkan pihak-pihak yang berlainan agama? Mengikut saranan saya itu, mahkamah ini boleh dianggotai ahli panelnya yang terdiri dari hakim-hakim mahkamah sivil dan hakim-hakim mahkamah syariah, dan diberi kuasa di bawah undang-undang bertulis untuk mendengar apa jua kes di mana pihak-pihak yang bertikai adalah berlainan agama. Malangnya, cadangan ini tidak mendapat sambutan.


Akhir-akhir ini, ada pula cadangan agar ditubuhkan satu Mahkamah Perlembagaan (Constitutional Court), yang mana bidangkuasanya adalah seumpama yang disebutkan dalam saranan awal dulu itu. Pada saya, apa juga nama yang hendak diberi adalah kurang penting. Yang penting adalah mahkamah itu wujud. Soalnya, apakah cadangan terbaru ini juga akan menerima nasib yang sama?


Maal Hijrah 1427 merupakan peringkat awal zaman kedewesaan Mahkamah Syariah di negara ini. Zaman berkhidmat untuk kumpulan perintis pelajar program lepasan ijazah yang saya sebutkan di atas itu (termasuklah diri saya sendiri) akan segera berlalu. Kumpulan pelapis, yang datang selepas ini, perlu faham sejarah silam untuk meneruskan kerja kita.


Tanpa mengetahui dan mengambil pengajaran dari sejarah silam, tidak mustahil kita nanti akan kecundang dalam perjalanan, yang masih jauh lagi.


Jika kumpulan perintis telah berjaya menempatkan Mahkamah Syariah ke landasannya yang betul, kumpulan pelapis perlu merangka penjenamaan semula institusi kehakiman Islam di negara ini untuk 2 dekad yang mendatang. Penjenamaan bukan suatu gimik. Ia telah menjadi satu alat (tool) yang nyata berjaya digunakan dalam zaman moden yang serba canggih dan berteknologi tinggi ini.

1 comment:

cubaan je said...

Terima kasih Prof. atas sumbangan rencana yang menarik. Tentu seronok pada guru yang melihat anak-anak murid merekalah yg berjaya meningkatkan kewibawaan Mahkamah Syariah hari ini. Tahniah untuk semua.

 

Sample text

Sample Text

Sample Text