Pages

Ads 468x60px

Saturday, January 28, 2006

Tak boleh ulas hakim

Oleh Khairunnisa Hussin

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim semalam menegaskan, soal berkaitan perilaku hakim tidak boleh dibincang secara terbuka walaupun sesiapa bebas membuat aduan.

Beliau berkata, masalah itu hanya boleh dibahaskan di Parlimen selepas mendapat persetujuan dua pertiga anggotanya.

"Sesiapa saja bebas membuat aduan tetapi perlu diingat bahawa kelakuan hakim tidak boleh dibincangkan termasuk dalam sidang Dewan Undangan Negeri, kecuali di Parlimen," kata pada sidang media di sini.

Beliau mengulas mengenai surat yang dihantar peguam Metramac Corporation Sdn Bhd, Datuk Muhammad Shafee Abdullah kepadanya berhubung tingkah lalu Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram.

Kelmarin, Sri Ram berkata perbuatan Muhammad Shafee menghantar surat kepada Ahmad Fairuz secara prima facie boleh dianggap menghina mahkamah.

Ahmad Fairuz berkata, beliau bagaimanapun akan menyiasat aduan Muhammad Shafee itu tetapi enggan mengulas mengenai kemungkinan peguam itu menghadapi dakwaan menghina mahkamah.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap Sri Ram jika aduan itu terbukti betul, Ahmad Fairuz berkata beliau tidak boleh memberi sebarang komen kerana ia subjudis berikutan kes mengenai penghinaan mahkamah terhadap Shafee akan didengar pada 23 Februari depan.

Katanya, surat yang dihantar Muhammad Shafee kepadanya adalah salinan yang dihantar kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abdul Malek Ahmad yang memohon panel hakim lain untuk mendengar permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan kes Metramac.

Beliau berkata, bidang kehakiman bukan seperti badan pengurusan dengan ketua boleh mengarahkan kakitangannya membuat sesuatu.

"Permintaan untuk menukar panel hakim adalah kuasa Presiden, saya tak boleh arah Presiden. Itu dalam bidang kuasa dia," katanya.

Mengenai ulasan pelbagai pihak berkaitan penghakiman kes Metramac yang diarah membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings sebagai ganti rugi, Ahmad Fairuz berkata kes yang bermula di Mahkamah Tinggi itu mungkin sampai kepadanya untuk didengar di Mahkamah Persekutuan, tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

"Sesiapa saja boleh memberi pendapat berhubung keputusan mahkamah. Contohnya dalam kes Moorthy, hakim dikatakan tidak berani membuat interpretasi sebenar, sama ada berdasarkan fakta ia betul atau tidak, terpulang kepada orang ramai untuk menilai.

"Tetapi, apa yang perlu diingat, sewaktu ulasan dibuat, alasan penghakiman masih belum dikeluarkan dan semua ulasan lebih bernilai jika berlandaskan alasan penghakiman," katanya.

Ahmad Fairuz bagaimanapun berkata, hakim sudah lali dengan keadaan itu.

"Apabila mereka kalah dalam sesuatu kes, semua yang dibuat hakim tidak kena tetapi jika menang, pujian melangit akan diberikan kepada hakim itu.

"Saya bernasib baik kerana mempunyai barisan hakim yang profesional dan membuat keputusan berdasarkan undang-undang dan tidak mudah terpengaruh dengan ulasan serta komen yang tersiar dalam media," katanya.

Beliau berkata, hakim dilatih untuk membuat keputusan berdasarkan keterangan dan undang-undang.

"Mengikut perlembagaan, undang-undang perlu ditafsir. Kami tidak membuat undang-undang tetapi hanya mentafsir undang-undang. Jika tidak berpuas hati dengan tafsiran itu, orang ramai boleh merayu melalui saluran yang betul," katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text