Pages

Ads 468x60px

Monday, January 16, 2006

Ulama perlu hapus kekeliruan

Ulama perlu hapus kekeliruan

MAKKAH: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ulama harus berusaha memperjelaskan kebaikan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan 2005).

Beliau berkata, golongan ulama adalah pakar dalam bidang syariah dan pada kesudahannya mereka perlu memberikan penjelasan berhubung sebarang kekaburan berkaitan undang-undang itu.

"Kementerian saya tidak mempunyai kepakaran. Kami terima apa juga aduan dan menyerahkannya kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan musim haji di sini, semalam.

Shahrizat yang melawat pusat operasi Tabung Haji di Hotel Al-Habibah yang turut menempatkan pusat akhbar Malaysia, berada di Tanah Suci bagi mengerjakan ibadat haji yang berakhir Jumaat lalu.

Beliau diberikan taklimat berhubung operasi Tabung Haji di sini oleh Ketua Delegasi Haji Malaysia, Datuk Dr Azmi Ahmad, yang juga Pengurus Besar Kanan (Haji) Tabung Haji.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin; Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Dr Ismail Ibrahim; Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Zainol Mahmud dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Shahrizat, yang turut ditemui oleh sebilangan jemaah Malaysia yang menginap di hotel berkenaan, mengucapkan terima kasih kepada Kabinet kerana menangguhkan penguatkuasaan undang-undang itu bagi memberikan lebih banyak masa kepada pelbagai pihak untuk mengemukakan pandangan mereka.

Kabinet, pada mesyuaratnya yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Rabu lalu, bersetuju untuk tidak mewartakan undang-undang itu sementara menunggu lebih banyak perbincangan mengenai apa yang didakwa oleh sesetengah badan bukan kerajaan (NGO) wanita sebagai tidak adil kepada wanita Islam.

Beliau berkata, penangguhan dalam menguatkuasakan undang-undang itu akan memberi peluang kepada Jakim dan kementeriannya untuk bertemu bagi menyuarakan pandangan mereka mengenai undang-undang yang menjadi kontroversi itu.

"Sebenarnya tiada masalah besar. Mana undang-undang pun boleh diperbaiki," katanya.

Beliau berkata, isu itu timbul memandangkan sesetengah wanita Islam yang bimbang kepentingan mereka mungkin terjejas kerana tidak memahami sepenuhnya peruntukan undang-undang berkenaan. – Bernama


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text