Pages

Ads 468x60px

Sunday, January 22, 2006

Memo ditarik balik

Memo ditarik balik
Bagi menjaga keharmonian, mengelak isu jadi tegang
BM Online-22/1/2006

 
KUALA LUMPUR: Isu memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Rabu lalu, mengenai penyemakan semula Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan berhubung bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, selesai.

Menteri Kabinet bukan Islam menarik balik memorandum berkenaan semalam selepas lima daripada mereka mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Seri Perdana, Putrajaya, kira-kira jam 9 pagi.

Mereka ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting; Menteri Kerja Raya merangkap Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi yang juga Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy dan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Chua Soi Lek.

Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Perdana Menteri memberikan penjelasan kepada mereka betapa perlunya memorandum itu ditarik balik bagi menjaga keharmonian dan mengelak isu itu menjadi tegang.

Abdullah yang juga Presiden Umno ketika berucap pada majlis Kempen Penambahan Ahli Umno di sini petang semalam, mengesahkan rombongan menteri itu ada menemuinya dan menarik balik memorandum berkenaan.

"Mereka datang ke rumah saya pagi ini walaupun tidak semua. Antaranya Presiden MCA, Presiden MIC dan Presiden Gerakan.

"Dalam perjumpaan itu saya menyatakan kepada mereka bahawa mereka perlu menarik balik memorandum berkenaan dan mereka bersetuju berbuat demikian.

"Jadi, saya harap isu memorandum yang diserahkan kepada saya, Rabu lalu selesai mulai sekarang," katanya.

Perdana Menteri juga menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan meminda Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan tetapi sedia meminda perundangan subsidiari untuk menghuraikan kekaburan bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

"Dalam soal mahkamah syariah dan mahkamah sivil, kita tidak bercadang untuk menghapuskan mana-mana mahkamah. Kedua-dua mahkamah itu akan tetap wujud di mana hal ehwal agama Islam akan dibincang oleh mahkamah syariah," katanya.

Beliau berkata, kerajaan dan Kabinet Barisan Nasional mencuba sedaya-upaya untuk meleraikan apa-apa isu besar yang timbul.

Pada sidang media selepas perasmian majlis itu, Abdullah yang ditanya perkara sama berkata: "Siapa saja (menteri Kabinet) boleh bercakap kalau ada perkara yang hendak dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet. Mereka bawalah ke Kabinet kerana kita sentiasa sedia berbincang untuk apa sekalipun.

"Ini sudah menjadi kelaziman kita walaupun terlalu sensitif, kita tetap bincang kerana kita ada keyakinan bersama, sama-sama yakin bahawa matlamat kita adalah untuk kebaikan negara dan rakyat Malaysia," katanya.

Ditanya isi kandungan memorandum itu, beliau berkata, ia tidak perlu dibincangkan lagi kerana menteri Kabinet terbabit sudah menarik balik memorandum berkenaan.

"Dalam pertemuan itu, kita juga tidak ada membincangkan isi kandungan memorandum berkenaan," katanya.

Menjawab pertanyaan wartawan sama ada menteri Kabinet berkenaan akan dikenakan tindakan, beliau berkata: "Awak nak saya gantung semua ahli Kabinet berkenaan...sudahlah...cukuplah apa lagi nak ungkit-ungkit, nak fikir ikut ni, nak analisa lagi kerana semuanya sudah selesai."

Ditanya nasihat beliau kepada menteri Kabinet terbabit, beliau berkata, mereka maklum isu yang dibangkitkan itu boleh menimbulkan kemarahan pelbagai pihak, terutama orang Melayu, sebab itu mereka setuju menarik balik memorandum berkenaan selepas beliau meminta mereka berbuat demikian.

"Bila saya minta tarik balik, mereka tarik balik, mereka faham. Mereka juga sensitif dan dapatkan pandangan dari pihak lain tentang tindakan mereka itu.

"Yang sensitifnya sebab mereka hantar memorandum, yang pelbagai pihak anggap ia tak sepatutnya dihantar dan sekarang ini yang hantar memorandum dah tarik balik...jadi apa lagi.

"Isu hantar memorandum tak payahlah timbulkan lagi," katanya.

Ditanya adakah isu berkaitan itu akan dibincang pada mesyuarat Kabinet akan datang, beliau berkata, memang sebelum ini perbincangan mengenai isu sama ada dibincangkan pada mesyuarat sebelum ini dan isu yang sama juga akan dibangkitkan lagi.

"Sebab itu kita masih tunggu pandangan daripada Peguam Negara terutama dari segi undang-undang.

"Bila saya terima pandangan Peguam Negara nanti, tentu saya akan maklumkan kepada Kabinet sebab dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini meminta perkara ini diserahkan kepada Peguam Negara untuk memberi pandangannya," katanya.

Mengenai keterbukaan dalam mesyuarat Kabinet, beliau berkata; "Bila kita sama-sama jadi ahli (menteri) tidak ada tegahan untuk berbincang dan bercakap, nak berbincang dan beri pandangan.

"Mereka boleh gunakan kesempatan itu sebaik-baiknya kerana dalam situasi seperti itu kita adalah dalam satu pasukan. Kita semua dalam satu pasukan, tak ada kumpulan tertentu. Kita satu pasukan satu matlamat, satu cita-cita dan satu cara perbincangan yang kita lakukan selama ini.

"Sebab itu kerajaan BN menjadi kerajaan yang berjaya dan maju. Ikutlah prosedur yang selama ini kita jadikan kebiasaan kita....semua orang ada peluang untuk bercakap," katanya.
 

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text