Pages

Ads 468x60px

Thursday, January 19, 2006

Perjelas hal tukar agama -- Masih ada kekeliruan dalam undang-undang sedia ada

Perjelas hal tukar agama -- Masih ada kekeliruan dalam undang-undang
sedia ada - PM
Oleh ROZILAN SALLEH dan AZIAH JAAFAR



KEPALA BATAS 10 Jan. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata,
undang-undang dan perlembagaan berhubung perkara-perkara yang
berkaitan dengan penukaran agama perlu diperjelaskan supaya masyarakat
di negara ini tidak keliru.

Menurut Perdana Menteri, ketika ini timbul tanda-tanda kekeliruan
mengenai perkara itu, malah perlembagaan serta undang-undang yang
sedia ada tidak begitu jelas berhubung hal tersebut.

``Banyak yang fikir, perlu diperjelaskan soal undang-undang dan
perlembagaan supaya tidak ada kekeliruan yang timbul.

``Soal apa tindakan yang perlu kita ambil dari segi undang-undang itu
adalah sesuatu yang perlu dipertimbangkan, yang penting kita bagi
keadilan kepada semua.

``Dalam apa jua tindakan kita hendak ambil, kita perlu berhati-hati
supaya nanti tidak berlaku sebarang tindakan yang menyalahi
kepercayaan kaum-kaum yang tidak seagama dengan kita,'' katanya kepada
pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid
Kubang Menerong di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mahu sebarang tindakan yang akan diambil
berkaitan undang-undang dan perlembagaan berhubung perkara itu, perlu
dilakukan dengan berhati-hati.

Beliau berkata, ia bagi mengelak daripada menyalahi kepercayaan kaum
dan agama lain.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu mengenai pendaki
Everest, M. Moorthy yang nama Islamnya, Mohamad Abdullah menjadi
`rebutan' antara isterinya, S. Kaliammal, 31, dan Jabatan Agama Islam
Wilayah Persekutuan (Jawi) bulan lepas.

Moorthy selamat dikebumikan mengikut hukum syarak di tanah perkuburan
Taman Ibukota di Gombak pada 28 Disember lalu sekali gus mengakhiri
episod perebutan tuntutan jenazahnya yang disimpan di Hospital Kuala
Lumpur (HKL) lapan hari sebelum itu.

Pengebumian disempurnakan oleh Jawi yang menuntut jenazah tersebut di
bilik mayat HKL sebaik Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa
ia tidak mempunyai bidang kuasa menentukan sama ada pendaki itu
seorang Islam atau tidak sebelum kematiannya.

Pada 28 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan Kuasa-Kuasa
Khas membuat keputusan menolak saman pemula oleh Kaliammal dalam usaha
mendapatkan deklarasi bahawa suaminya bukan beragama Islam.

Moorthy meninggal dunia akibat penyakit cervical sick selepas terjatuh
ketika menjalani latihan `somersault' di Kem Sungai Udang, Melaka pada
14 Ogos 1998.

Mengulas lanjut, Abdullah mengakui bahawa hak untuk setiap rakyat yang
menganut sebarang agama harus dihormati dan meminta mereka supaya
mengamalkan sifat saling menghormati, bekerjasama dan bermuafakat bagi
mengekalkan keharmonian negara.

``Apa-apa jua masalah yang timbul perlu ditangani dengan berhati-hati.

``Emosi yang berasaskan agama, emosi yang berkait dengan bangsa dan
kaum tidak dibenarkan di negara ini,'' tegas Perdana Menteri yang
memberitahu bahawa beliau sedang meneliti perkara itu dan berharap
masalah sedemikian tidak lagi berbangkit pada masa akan datang.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text