BH - 31/1/2006
MELAKA: Mayat seorang lelaki yang ditemui mati di Merlimau, dekat sini awal pagi semalam dan dihantar ke rumah mayat Hospital Melaka, tidak dibenarkan dituntut mana-mana pihak sementara menunggu pengesahan status agamanya.
Mayat Anthony Samy, 71, yang dipercayai sudah memeluk Islam dan menukar nama kepada Mohd Sani Abdullah oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), tidak dibenarkan dituntut buat sementara, termasuk oleh keluarganya yang beragama Hindu.
Mayat itu ditemui orang awam pada jam 12.20 pagi semalam, dipercayai kerana meminum racun rumpai dan disahkan mati pada jam 1.05 pagi.
Lebih 20 anggota keluarga termasuk bekas isterinya, S Cinnamal, 64, bersama tiga daripada tujuh anaknya berada di hospital berkenaan sejak jam 7 pagi semalam, selepas menerima panggilan mengenai kematian mangsa pada jam 3 pagi.
Bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan melihat mayat mangsa pada kira-kira jam 4 petang, selepas dimaklumkan seorang anggota polis dan pegawai MAIM bahawa mereka percaya mangsa sudah memeluk Islam dan perlukan masa untuk mencari bukti.
Seorang ahli keluarga mangsa, A Edward, 33, yang ditemui berkata, mangsa sudah bercerai dengan isterinya sejak 15 tahun lalu dan semua anaknya tinggal bersama bekas isterinya.
"Sejak itu kami semua putus hubungan dengannya walaupun pernah terserempak dengannya. Kita tak tahu, benar atau tidak dia sudah memeluk Islam, tapi kita tahu dia memang tinggal dan dijaga oleh seorang lelaki keturunan India beragama Islam.
"Kita datang pada hari ini pun cuma kerana mahu melihat mayatnya buat kali terakhir," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Setiausaha MAIM, Halim Tawil, yang dihubungi berkata pihaknya mempunyai saksi dalam kes itu dan memerlukan masa untuk mencari rekod bagi membuktikan mangsa sudah memeluk Islam.
"Kita terpaksa mencari rekod bertulis kerana sistem komputeran di MAIM hanya bermula pada lewat 1990-an. Mangsa dipercayai memeluk Islam pada 1989," katanya.
Selain mempunyai saksi, Anthony juga disahkan sudah berkhatan dan ini menguatkan lagi hujah MAIM untuk mendakwa dia sudah memeluk Islam.
Menantu Anthony, A Francis pula percaya MAIM mempunyai alasan yang kukuh untuk membuat dakwaan itu dan pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan, sebaliknya akan menunggu dengan sabar.
"Saya percaya MAIM tidak membuat dakwaan sembarangan. Ini bukan perkara main-main, jadi kami sekeluarga akur jika dia sudah memeluk Islam. Biarlah MAIM menguruskan mayatnya jika benar dia sudah memeluk Islam," katanya.
Bekas isteri Anthony, S Cinnamal juga sependapat dan akur MAIM menguruskan mayatnya, jika benar bekas suaminya itu sudah memeluk Islam.
Pengarah Hospital Melaka, Dr Abu Bakar Mohamad, yang dihubungi untuk mengulas mengapa ahli keluarga si mati terpaksa menunggu sehingga jam 4 petang sebelum dibenarkan melihat mayatnya berkata, kes itu sudah menjadi kes polis.
"Kami pun tidak suka menyimpan mayat terlalu lama. Saya baru mengambil alih jawatan ini sejak lima bulan lalu dan inilah kali pertama kes seperti ini berlaku," katanya.
©The New Straits Times Press (M) Berhad
Tuesday, January 31, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment