Pages

Ads 468x60px

Sunday, January 22, 2006

Artikel 121 (1A): Masa Untuk Satu Penyelesaian

Oleh: NOOR AZAM SHAIRI- MM Online 22/1/2006

KENYATAAN tegas Perdana Menteri kelmarin bahawa Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang mengasingkan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah tidak akan dipinda adalah satu keputusan yang tentunya melegakan umat Islam. 

Kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu secara langsung mengukuhkan maruah mahkamah syariah sebagai sebuah institusi kehakiman, yang kedudukan dan kebebasannya dikhuatiri terancam sekiranya cadangan pindaan itu diterima dan dibenarkan. 

Kenyataan Perdana Menteri itu setakat ini bagaimanapun tidak dapat diterima oleh masyarakat bukan Islam. 

Tetapi pandangan mereka itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang melampau. Ia sebaliknya agak berasas dan terbentuk daripada beberapa isu perundangan yang dihadapi oleh orang bukan Islam dalam tempoh 17 tahun pelaksanaan pindaan Artikel 121 (1A) itu. 

Isu yang mereka hadapi ialah di manakah ruang keadilan untuk orang bukan Islam dalam kes-kes yang menyentuh bidang kuasa mahkamah syariah?

Inilah isu yang dibangkitkan dalam kes Muhammad Abdullah atau nama asalnya, M. Moorthy serta beberapa kes lain sebelumnya.

Ekoran itu pelbagai cadangan dilontarkan sebagai jalan penyelesaiannya, dan cadangan yang lantang terdengar dan diulang-ulang ialah tentang perlunya atas Artikel 121 (1A) dipinda untuk merungkaikan kekusutan.

Pindaan itu diyakini boleh menjelaskan kekeliruan yang tercetus daripada pembahagian bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Pindaan itu dari satu sisi barangkali boleh menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh orang bukan Islam. Tetapi dari sisi yang lain ia dikhuatiri akan melemparkan pentadbiran undang-undang Islam di negara ini terperosok jauh ke belakang, kembali kepada zaman sebelum 1988. 

Dalam kelantangan masyarakat bukan Islam mendesak supaya Artikel 121 (1A) ini dipinda, mereka hendaknya janganlah sama sekali terlupa - atau sengaja melupakan - sejarah perundangan negara ini terutamanya sebab-musabab pindaan itu diperkenalkan 17 tahun yang lalu. 

Orang Islam mempertahankan Artikel 121 (1A) itu atas keinsafan daripada konflik apabila mahkamah sivil mempertikaikan keputusan mahkamah syariah, misalnya mengenai isu wakaf dalam kes Commissioner for Religious Affairs, Terengganu v. Tengku Mariam [1969] 1 MLJ 110. 

Ini diburukkan lagi dengan keputusan mahkamah sivil tidak mengguna pakai undang-undang Islam dalam kes melibatkan kepentingan orang Islam, sebaliknya melaksanakan undang-undang yang malah bertentangan dengan Islam.

Kes Ainan v. Syed Abubakar [1939] MLJ 209 adalah contoh yang klasik. Dalam kes itu mahkamah memutuskan seorang bayi yang dilahirkan oleh seorang wanita Islam empat bulan selepas perkahwinannya dengan seorang lelaki Islam sebagai anak sah taraf kepada lelaki itu. 

Ada banyak lagi kes lain yang menyeksa batin orang Islam, termasuklah dalam soal harta sepencarian yang dirujuk sebagai adat Melayu dan bukannya undang-undang Islam serta harta wakaf yang ditentukan kesahihannya bukan mengikut undang-undang Islam tetapi undang-undang sivil. 

Kekeruhan yang berpunca daripada penerapan undang-undang Inggeris yang datang bersama penjajahan itu kemudiannya dijernihkan melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memperkenalkan Artikel 121 (1A).

Dalam hal ini, wajar disebut bahawa Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim - cendekiawan undang-undang yang sangat disegani itu - hampir seorang diri mengusahakan perubahan besar tersebut.

Itulah yang dikerjakannya secara konsisten sehingga akhir hayatnya, kesan daripada penglibatannya secara langsung cuba menyelamatkan Natrah di Singapura pada tahun 1960-an dulu.

Namun apa yang ternampak daripada kes Moorthy ialah masalah bidang kuasa itu - dari satu sisi - masih belum selesai.

Sungguhpun sesuatu perkara itu terletak dalam bidang kuasa mahkamah syariah tetapi kekeliruan timbul apabila salah seorang daripada pihak yang bertelagah ialah orang bukan Islam. Kekeliruan mungkin juga timbul apabila perkara yang berbangkit itu boleh dibicarakan di kedua-dua mahkamah sivil atau mahkamah syariah. 

Tetapi kalau dihalusi betul-betul masalah yang dihadapkan kepada kita sekarang bukanlah soal bidang kuasa semata-mata tetapi hak kepada orang bukan Islam untuk diwakili dan didengar suaranya oleh mahkamah syariah.

Adalah dihujahkan bahawa meminda Artikel 121 (1A) bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian yang ada dalam hal ini.

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu dalam keadaannya sekarang tidak menghalang mahkamah sivil daripada memutuskan perkara yang menyentuh hukum syarak misalnya yang ditegaskan dalam kes G. Rethinasamy v. Majlis Agama Islam, Pulau Pinang [1993] 2 MLJ 166. 

Malah dari satu segi, kes-kes melibatkan perbankan Islam dan takaful yang terang-terang melibatkan hukum Islam juga sekarang dikendalikan oleh mahkamah sivil.

Secara ringkasnya elok kalau dijelaskan bahawa selagi sesuatu perkara itu tidak ada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah - tidak termasuk dalam Senarai 2, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada dalam mana-mana enakmen negeri - bidang kuasanya jatuh kepada Mahkamah Sivil. 

Jadi apakah jalan penyelesaian yang ada untuk menarik rambut dari dalam tepung - rambut biar jangan putus dan tepung jangan berselerak?

Inilah masanya untuk kita memberikan perhatian dengan lebih serius kepada saranan-saranan yang dinyatakan dalam kes-kes sivil seperti Lim Chan Seng [1996] 3 CLJ 231 dan Abdul Shaik Md. Ibrahim [1999] 5 MLJ 618 serta kes syariah Jumaaton dan Raja Delila. 

Dalam dua kes sivil itu, Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamad membuat dua cadangan. Pertama, kes-kes seperti itu didengar oleh hakim mahkamah sivil yang bersidang bersama seorang hakim mahkamah syariah. Kedua, dan cadangan ini lebih drastik, mencantumkan kedua-dua mahkamah sivil dan mahkamah syariah di semua peringkat. 

Dalam melaksanakan cadangan yang kedua ini, hakim-hakim hendaklah dilantik dari kalangan mereka yang fasih dan mahir dalam kedua-dua bidang, undang-undang sivil dan syariah.

Cadangan ini malah pernah lama dahulu sebelum ia dibangkitkan oleh Hakim Abdul Hamid dilontarkan oleh Allahyarham Ahmad Ibrahim. Hal yang sama juga pernah diulas oleh Allahyarham Tan Sri Harun Hashim. Tetapi malangnya, semasa hayat mereka ada, buah bernas daripada pemikiran geliga dua tokoh undang-undang itu seperti tidak ada makna apa-apa. 

Mahu tidak mahu, inilah masa yang terbaik untuk kita mencari penyelesaian mutlak kepada masalah-masalah yang sejak sekian lama membelenggu dunia perundangan.

Kita harus akur bahawa inilah masanya kita menjelaskan kekeliruan yang menjadi konflik kepada masyarakat bukan Islam, seperti yang dihujahkan oleh pihak-pihak yang menyokong pindaan kepada Artikel 121 (1A).

Tetapi kita jangan sama sekali terlupa bahawa inilah juga masanya untuk kita melengkapkan pindaan-pindaan yang sepatutnya dilakukan seiring dengan pindaan yang memperkenalkan Artikel 121 (1A).

Kita harus juga melihat kepada peruntukan undang-undang yang tidak adil kepada orang Islam - seksyen 112 Akta Keterangan, seksyen 51 Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian), seksyen 4 Courts of Judicature Act 1964 dan beberapa akta lain. 

Kita jangan terlepas peluang ini. Kalau tidak sekarang, bila lagi?

Barangkali inilah yang dikatakan oleh pengarang besar Perancis, Victor Hugo bahawa apabila masanya tiba tiada siapa pun dapat menghalang gelombang sebuah idea.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text