Pages

Ads 468x60px

Tuesday, January 24, 2006

Anak Nyonya anggap keputusan tepat

Anak Nyonya anggap keputusan tepat

TAMPIN 23 Jan. - Semua anak mendiang Nyonya Tahir, 89, menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban bahawa ibu mereka bukan beragama Islam dan mengarahkan mayatnya diserah kepada waris untuk disemadikan mengikut ajaran Buddha sebagai tepat dan adil.

Lapan daripada 13 anak mendiang yang masih hidup hadir di mahkamah seawal pukul 8 pagi kelihatan lega sejurus keputusan diumumkan.

Mereka juga berpuas hati dan berterima kasih kerana mahkamah yang bersidang memanggil dua adik-beradik mereka, Chiang Ah Fatt, 40, dan Chiang Kwai Ying (gambar), 43, bagi memberi keterangan untuk membuktikan ibu mereka bukan beragama Islam.

Terbukti

``Keputusan itu amat melegakan dan menggembirakan kami adik beradik, terbukti mahkamah memberi peluang kepada kami untuk mendapat keadilan sewajarnya iaitu diberikan hak menguruskan mayat ibu.

``Pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) juga amat membantu, mereka menyelesaikan masalah yang berlaku secara baik dan harmoni,'' kata Kwai Ying mengulas keputusan mahkamah.

Kematian Nyonya, Khamis lalu mencetuskan kontroversi kerana keluarganya mahu menyemadikan mayat mendiang mengikut ajaran Buddha sedangkan kad pengenalannya tertera butiran yang menunjukkan dia berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Sementara itu, surat perintah mahkamah diserahkan Pengarah JAINS, Datuk Zaharuddin Mohd. Sharif kepada anak bongsu Nyonya, Ah Fatt di Hospital Tampin, kira-kira pukul 5.50 petang hari ini.

Pada masa yang sama, Ketua Polis Daerah Tampin, Supritendan Zull Aznam Haron turut menyerahkan surat mati dan surat kebenaran pengebumian kepadanya.

Mayat Nyonya kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Cina Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka untuk disemadikan mengikut adat dan upacara Buddha kira-kira pukul 7 petang.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text