Pages

Ads 468x60px

Thursday, January 19, 2006

Undang-undang tukar agama kabur

Undang-undang tukar agama kabur
Oleh Fazli Abdullah dan Faiza Zainudin


KEPALA BATAS: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, undang-undang dan perlembagaan berkaitan penukaran agama perlu diperjelaskan berikutan ada tanda-tanda berlaku kekeliruan di kalangan rakyat.

Perdana Menteri tidak mahu kekeliruan itu timbul dan berulang seperti berlaku dalam kes Mohammad Abdullah @ M Moorthy.

Beliau berkata, ketika ini ada tanda-tanda wujud kekeliruan mengenai perkara itu kerana undang-undang dan perlembagaan mengenainya tidak begitu jelas.

"Saya sedang memerhati dan berharap dapat mengatasi masalah ini. Kita seboleh-bolehnya tidak mahu masalah seperti ini timbul.

"Banyak yang fikir ada perlunya diperjelaskan soal undang-undang dan perlembagaan supaya tidak ada kekeliruan timbul," katanya kepada pemberita selepas menyertai sambutan Aidiladha di Masjid Jamek Kubang Menerong, Tasek Gelugor, dekat sini, semalam.

Bagaimanapun, Abdullah berkata, apa juga tindakan yang diambil perlu dilakukan secara berhati-hati supaya tidak menyalahi kepercayaan orang lain yang tidak seagama.

"Islam dan bukan Islam mestilah mengamalkan sikap toleransi, menghormati dan mengamalkan sikap bekerjasama serta muafakat.

"Apa juga tindakan diambil perlu ditangani dengan tindakan yang bukan berasaskan emosi. Kaum tidak dibenarkan mempengaruhi tindakan," katanya.

Abdullah diminta mengulas sama ada kerajaan bercadang meminda Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan Islam. Artikel itu menetapkan hanya Mahkamah Syariah mempunyai kuasa terhadap perkara berkaitan Islam.

Isu itu timbul apabila bekas pendaki Everest itu meninggal dunia dan berlaku perebutan jenazah antara pihak berkuasa agama dengan keluarganya hingga dibawa ke mahkamah.

Bagaimanapun, jenazah Mohammad dikebumikan pada 28 Disember lalu selepas Mahkamah Tinggi Sivil memutuskan ia tidak ada bidang kuasa menyemak dan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung status agamanya.

Perdana Menteri menjelaskan rakyat pelbagai agama dan bangsa di negara ini perlu hormat menghormati dan jadikannya satu amalan.

"Satu-satu pihak mesti mengaku bahawa mereka tidak seagama dengan kumpulan lagi satu.

"Oleh itu, tindakan perlu dilakukan berhati-hati supaya tidak berlaku tindakan tidak adil dan yang menjadi kepercayaan kaum yang tidak seagama dengan kita," katanya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text