Pages

Ads 468x60px

Thursday, January 19, 2006

Interaksi: Cari penyelesaian terbaik atasi isu hak dan remedi

Interaksi: Cari penyelesaian terbaik atasi isu hak dan remedi
M Thillinadan


KEMATIAN wira Everest, Muhammad Abdullah @ M Moorthy dan urutan peristiwa termasuk keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung status agamanya dan Mahkamah Tinggi sivil berhubung kuasa perihal syariah menimbulkan lebih banyak kekalutan dan kekeliruan.




Ini berlaku kerana dua pihak yang menuntut iaitu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan balu Muhammad, S Kaliammal, masing-masing terpaksa menggunakan dua mahkamah berasingan bidang kuasanya untuk menegakkan hak mereka.

Walaupun Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan Muhammad beragama Islam dan Mahkamah Tinggi Sivil menyatakan pendiriannya ia tidak ada bidang kuasa untuk menyemak semula keputusan itu serta jenazahnya disemadikan, isu itu tidak berakhir di situ kerana wujud 'lompong' dalam sistem perundangan negara.

Debat ini masih berterusan hampir setiap hari. Kekosongan itu wujud disebabkan Kaliammal sebagai isteri yang bukan Islam mendapati dirinya tidak ada remedi dalam undang-undang negara.

Asas kepada undang-undang ialah setiap hak ada remedinya. Tetapi apabila Mahkamah Tinggi Sivil memutuskan ia tidak ada bidang kuasa untuk mendengar permohonan Kaliammal, maka timbul persoalan mengenai soal hak dan remedi itu.

Mereka yang tidak setuju dengan 'lompong' itu menyalahkan pindaan Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan pada 1988 yang memasukkan fasal baru 1A, iaitu mengiktiraf peranan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar kes berkaitan Islam (bukan jenayah).

Artikel 121 (1A) menyebut: Mahkamah yang disebutkan dalam Fasal (1) – iaitu Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak – tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini turut mengukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah dalam isu berkaitan Islam termasuk soal memeluk Islam.

Menggunakan panduan itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Md Raus Shariff, mengambil jalan senang memutuskan beberapa permohonan Kaliammal adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan beliau tidak boleh campur tangan, walaupun mahkamah mengakui Kaliammal seolah-olah tiada remedi terhadap haknya.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, yang terbabit secara langsung dalam menggubal Artikel 121 (1A) mempertahankan artikel itu dan berkata beliau tidak dapat membayangkan keputusan mahkamah sivil itu khususnya jika plaintif bukan Islam.

"Masalah timbul (permohonan Kaliammal) bukan kerana undang-undang tetapi mahkamah. Mahkamah melepaskan tanggungjawabnya apabila berhadapan isu perlembagaan yang dibawa seorang bukan Islam berhubung soal Islam," katanya.

Beliau mempersoalkan interpretasi terhadap Artikel 121 (1A) yang dibuat mahkamah berkenaan kerana baginya itu bukan tujuan Parlimen ketika meminda Artikel 121 (1A).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, juga mempertahankan artikel itu dan bidang kuasa Mahkamah Syariah berhubung isu berkaitan Islam, tetapi bersetuju mahkamah sivil diberi kuasa memutuskan kesahihan status Islam seorang mualaf seperti Muhammad.

Seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai undang-undang, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, memberi jaminan kerajaan akan mencari penyelesaian terbaik kepada soal 'lompong' itu.

Berdasarkan jaminan beliau jelas kerajaan sedar sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasi kebimbangan khususnya di kalangan bukan Islam berhubung Artikel 121 (1A) dan kita harap semua pihak menyerahkannya kepada kerajaan dan berhenti berdebat isu itu.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text