Pages

Ads 468x60px

Monday, January 16, 2006

Undang-Undang Keluarga Islam diperhalusi semula

Undang-Undang Keluarga Islam diperhalusi semula

Oleh: NORLIZA ABD. RAHMAN- UM 16/1/2006

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang telah diluluskan pada Sidang Dewan Rakyat akan diperhalusi semula untuk memberi keadilan kepada lelaki, wanita, anak-anak dan keluarga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, rang undang-undang itu perlu diluluskan di peringkat Sidang Dewan Negara hari ini untuk diseragamkan seperti yang telah dilakukan oleh negeri-negeri lain di seluruh negara.

Shahrizat memberitahu, rasa tidak puas hati yang disuarakan oleh Gabungan Kumpulan Bertindak Wanita (JAG) sebenarnya telah dibangkitkan oleh beliau sendiri pada mesyuarat Kabinet 17 Ogos lalu.

``Kementerian ini telah memberi pandangan bahawa selepas usaha penyeragaman Rang Undang-Undang Keluarga Islam ini selesai, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu memperbaiki model Undang-Undang Keluarga Islam supaya tidak berlaku penindasan dan diskriminasi terhadap wanita.

``Kabinet juga bersetuju supaya segala cadangan dan pandangan yang dikemukakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kementerian ini diambil kira untuk diperhalusi bagi mendatangkan keadilan kepada semua pihak,'' katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz dan para senator wanita yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Shahrizat memberi penjelasan ini berikutan tindakan JAG yang menggesa ahli-ahli Dewan Negara mengkaji semula Rang Undang-Undang Keluarga Islam yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 26 September lalu yang dikatakan banyak mendiskriminasi wanita.

Shahrizat berkata, keputusan mesyuarat Jemaah Menteri secara rasmi juga telah mengarahkan Jakim mengambil tindakan mengkaji bagi meminda undang-undang keluarga Islam terutama kepada peruntukan-peruntukan yang dirasakan berat sebelah dan tidak adil kepada wanita.

``Bagaimanapun ingin saya jelaskan di sini bahawa pindaan hanya akan dilakukan selepas undang-undang mengenai keluarga Islam dan perkara yang bersangkutan dengan perundangan hal ehwal Islam diseragamkan di antara negeri-negeri.

``Masanya sudah tiba untuk melihat semula undang-undang syariah secara lebih menyeluruh untuk masa depan, apa yang penting sekarang ini ialah pelaksanaannya kerana ia mesti mengikut semangat yang sebenar-benarnya dalam syariah.

``Undang-undang Islam sudah cukup sempurna dan tidak menganiaya wanita tetapi pelaksanaan di peringkat pegawai-pegawai agama dan hakim yang kita dapati menzalimi wanita, sebab itu macam-macam cerita tentang Mahkamah Syariah yang kita dengar,'' katanya.

Shahrizat berkata, selepas ini kementeriannya bersama-sama dengan pemimpin wanita lain akan membuat penjelasan kepada raja-raja Melayu berkenaan pindaan terhadap Undang-Undang Keluarga Islam yang telah diluluskan.

``Undang-Undang Keluarga Islam di negeri-negeri lain berada pada bawah kuasa sultan, sehubungan itu kami perlu membuat pertemuan bagi penjelasan tentang perkara ini untuk dipersetujui,'' katanya.

Katanya, terdapat kebaikan dalam Rang Undang-Undang tersebut seperti tidak memudahkan lelaki yang ingin berpoligami kerana semua negeri menggunakan undang-undang serupa.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text