Pendapat (UM-2/1/2006)
Pada 26 September lalu, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang
Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang dibentangkan di
Parlimen.
Senario ini merupakan titik tolak kepada transformasi positif ke arah
penyeragaman Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) di negara ini. Sehingga
kini, Islam merupakan hak eksklusif kerajaan negeri seperti diperuntukkan
di bawah senarai kedua dalam jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Atas sebab itu jugalah, setiap negeri mempunyai enakmen tersendiri dalam
mengendalikan hal ehwal berkaitan Islam dan pelaksanaannya tidak terikat
di negeri-negeri yang lain.
Walaupun mendapat pelbagai kritikan daripada pihak tertentu, khususnya
berkaitan isu harta sepencarian, usaha penyeragaman ini perlu dilihat dari
aspek yang positif.
Pertama, dengan wujudnya keseragaman perundangan UUKI, pelaksanaan dan
pe-nguatkuasaannya juga akan mudah dibuat di seluruh negara. Sebagai
contoh, suami yang berasal dari Johor berkahwin dengan isteri berasal dari
Kedah, bernikah di Pahang, bekerja sementara di Selangor dan akhirnya
menetap di Putrajaya, menghadapi masalah yang melibatkan peruntukan dalam
Enakmen Keluarga Islam.
Dengan penyeragaman UUKI, kes ini boleh dirujuk di mana-mana Mahkamah
Syariah di negeri yang berkenaan. Ini akan memudahkan urusan pendaftaran
kes dan juga lebih mesra pelanggan.
Selain itu, dengan penyeragaman UUKI ini, segala bukti dan autoriti yang
digunakan dalam Mahkamah Syariah akan bersifat lebih mengikat dan tidak
bersifat pemujukan semata-mata. Ini akan memudahkan hakim dan mahkamah
mencapai keputusan yang lebih jitu dan standard di seluruh negara.
Apabila keputusan yang dibuat oleh sesebuah Mahkamah Syariah dilihat lebih
konsisten dan standard, ia mampu meningkatkan imej Mahkamah Syariah di
mata rakyat seterusnya meraih semula kepercayaan umat Islam terhadap
kredibiliti Mahkamah Syariah dan hakim syarie di negara ini.
Jika kita lihat, Mahkamah Sivil menjadikan Akta Membaharui Undang-undang
Perkahwinan dan Perceraian 1976 sebagai teras dalam mengendalikan semua
kes berkaitan kekeluargaan bukan Islam. Hasilnya, segala keputusan yang
dibuat adalah jitu dan konsisten di seluruh negara. Adakah tidak mungkin
kita akan memperoleh situasi yang sama bagi Mahkamah Syariah, sekiranya
UUKI ini diseragamkan seluruh negara?
Tidak dapat dinafikan bahawa sepanjang proses memperhalusi UUKI ini,
terdapat pelbagai pandangan dan aspek yang perlu dilihat. Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul
Jalil juga menyarankan agar pihak berwajib mengambil kira semua aspek agar
pelaksanaan UUKI ini nanti benar-benar adil dan saksama.
Sememangnya Islam itu diturunkan untuk menjaga lima maqasid as-syariah
iaitu agama, jiwa raga, keturunan, akal dan harta. Sekiranya wujud
mana-mana undang-undang yang dilihat tidak adil dan menzalimi mana-mana
elemen maqasid tersebut, perundangan tersebut bukanlah berpandukan ajaran
Islam yang sebenar.
Oleh itu, dalam proses memperhalusi UUKI ini, pihak berwajib perlulah
memastikan hasil yang diperoleh nanti tidak menzalimi mana-mana elemen
tersebut di samping menjadikan prinsip kedua Islam Hadhari (Kerajaan Adil
dan Beramanah) dan ketujuh (Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita)
sebagai panduan.
Kesimpulan saya, usaha untuk menyeragamkan UUKI merupakan satu permulaan
yang baik dalam memartabatkan semula sistem perundangan syariah di negara
ini. Ia merupakan satu transformasi positif sejajar dengan pendekatan
Islam Hadhari yang digagaskan oleh Perdana Menteri. Namun, segala usaha
murni ini perlulah dilakukan agar ia bukan sahaja akan menghasilkan produk
yang adil tetapi turut dilihat adil dan saksama.
- AZLAN SHAH ABDUL LATIF, Putrajaya.
Monday, January 16, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment