Pages

Ads 468x60px

Tuesday, August 07, 2007

Kes ‘janji siap’

Kes 'janji siap' -- * Hakim tempelak penyiasat * Dua tertuduh kes bunuh dibebas

Oleh Shamsiah Zulkafli


SEBAK... Syed Halil Syed Mohamad Ali memeluk ibunya (gambar kiri) sementara Mohd. Nazri Jailani yang sebak ditenteramkan bapanya setelah dibebaskan daripada tuduhan membunuh oleh Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang, semalam. – Gambar RUSHDI SALLEH.

KUANTAN 6 Ogos – Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Abdul Halim Aman hari ini membebaskan dua pemuda daripada tuduhan membunuh seorang lelaki yang dikatakan cuba mencuri getah sekerap atas alasan pegawai penyiasat kes itu membuat siasatan 'sekadar janji siap'.

Sambil menyifatkan pegawai penyiasat kes bunuh itu tidak melaksanakan siasatan menyeluruh, Hakim Abdul Halim secara terbuka menegur mutu kerja pegawai polis yang bertanggungjawab mengendalikan kes berkenaan.

Justeru, beliau memutuskan membebaskan dua tertuduh, Syed Halil Syed Mohamad Ali, 23, dan Mohd. Nazri Jailani, 23, tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Selepas prosiding selesai, Mohd. Nazri yang diwakili peguam Sairilhamd Abd. Manaf dilihat menitiskan air mata, sementara Syed Halil pula yang kelihatan tenang bersalaman dengan peguamnya, Bob Arumugam.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Abdul Halim berkata, daripada keterangan 18 saksi sepanjang setahun perbicaraan kes itu, pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amy Ling Huoy Yi gagal membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh terlibat dalam kes pembunuhan Jamzi Afzan Ahmad, 23, pada Julai tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Syed Halil dan Mohd. Nazri bersama lima lagi yang masih bebas didakwa membunuh Jamzi Afzan antara pukul 12.01 dan 2.15 pagi 7 Julai tahun lalu di Blok 12, Lot 1349, Ladang Getah Lepar Hilir 2, Gambang dekat sini.

Mangsa dipukul sehingga berlumuran darah di tempat kejadian sebelum dibawa ke Klinik Gambang dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Jamzi Afzan dibelasah setelah dipercayai cuba mencuri getah sekerap di ladang tersebut bersama dua rakannya namun kedua-dua rakannya itu berjaya menyelamatkan diri.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Halim menyifatkan siasatan kes tersebut yang dikendalikan Pegawai Penyiasat, Asisten Supritendan Noorleyda Ahmad dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sebagai 'tidak memuaskan, tidak menyeluruh dan sekadar janji siap'.

"Berdasarkan keterangan saksi-saksi, amat jelas wujud beberapa lelaki Indonesia di tempat kejadian, tetapi pegawai penyiasat (Noorleyda) tiada usaha untuk mendapatkan kehadiran serta latar belakang kesemua lelaki tersebut," katanya.

Noorleyda juga, kata hakim itu, gagal mengesan identiti seorang lagi warga Indonesia yang cedera dalam kejadian di ladang berkenaan walaupun beliau mengakui kewujudan lelaki itu yang kemudian dihantar ke Klinik Gambang bagi mendapatkan rawatan.

"Mengapakah butiran pekerja Indonesia itu tidak dikemukakan (kepada mahkamah)? Adakah dia pendatang asing tanpa izin yang tiada dokumen sah, atau dia terlibat secara langsung sehingga menyebabkan kematian Jamzi Afzan?

"Mengapakah identiti pekerja itu perlu disembunyikan? Semua ini menimbulkan pelbagai persoalan," ujar beliau.

Hakim Abdul Halim menambah, pegawai penyiasat itu juga tidak membawa anggota Unit Forensik dan detektif ke tempat kejadian serta hanya melawat lokasi pembunuhan sebanyak dua kali.

Katanya lagi, tiada sebarang objek atau senjata dikesan di tempat kejadian walaupun mengikut keterangan saksi-saksi senjata parang, besi dan kayu telah digunakan untuk memukul mangsa.

"Penyiasatan kes ini dijalankan secara tidak terperinci dan amat tidak memuaskan.

"Walaupun berdasarkan keterangan saksi, Syed Halil ada menendang mangsa di bahagian dada, namun tendangan itu dirasakan tidak cukup kuat untuk membuatkan mangsa cedera lalu meninggal dunia manakala nama Mohd. Nazri pula tidak dikaitkan langsung dengan adegan pukul," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memutuskan kedua-dua tertuduh, Syed Halil dan Mohd. Nazri, dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh.

Hakim itu membuat kesimpulan bahawa mangsa, Jamzi Afzan, meninggal dunia kerana kecederaan yang dipercayai disebabkan oleh beberapa pekerja Indonesia yang disebutkan dalam keterangan beberapa saksi perbicaraan itu.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text