Pages

Ads 468x60px

Wednesday, August 08, 2007

Sangat serius – Gani -- Peguam Negara akan bertemu KPN hari ini bincang kes ‘janji siap’

Sangat serius – Gani -- Peguam Negara akan bertemu KPN hari ini bincang kes 'janji siap'

Oleh Norila Daud dan Wan Syamsul Amly Wan Seadey

PUTRAJAYA 7 Ogos – Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menyifatkan kes siasatan 'sekadar janji siap' melibatkan pembebasan dua lelaki daripada tuduhan membunuh oleh Mahkamah Tinggi Kuantan semalam sebagai sangat serius dan perlu diselesaikan segera.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan esok untuk membincangkan perkara tersebut.

"Ini merupakan satu masalah serius yang perlu diselesaikan dengan segera.

"Yang pasti keputusan mahkamah berhubung siasatan 'sekadar janji siap' ini akan difailkan di Mahkamah Rayuan,'' tegasnya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Abdul Halim Aman membebaskan dua pemuda daripada tuduhan membunuh seorang lelaki yang dikatakan cuba mencuri getah sekerap atas alasan pegawai penyiasat kes itu membuat siasatan sekadar 'janji siap'.

Sambil menyifatkan pegawai penyiasat kes bunuh itu tidak melaksanakan siasatan menyeluruh, Abdul Halim secara terbuka menegur mutu kerja pegawai polis yang bertanggungjawab mengendalikan kes berkenaan.

Justeru, beliau memutuskan membebaskan dua tertuduh, Syed Halil Syed Mohamad Ali, 23, dan Mohd. Nazri Jailani, 23, tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Dalam kes seumpama itu kata Abdul Gani, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya keterangan saksi bercanggah dalam perbicaraan.

''Pihak kami hanya berpandu kepada dokumen-dokumen dan kertas siasatan yang

dibekalkan oleh pegawai penyiasat serta badan-badan terlibat.

''Sekiranya bukti atau keterangan didapati tidak mencukupi, pihak kami akan meminta daripada mereka,'' jelasnya.

Abdul Gani menambah, semua pihak tidak boleh menuding jari dan menyalahkan sesiapa setiap kali pendakwaan kalah.

Ditanya pendakwa yang sering 'kalah' kebelakangan ini, Abdul Gani berkata, tujuan pendakwa membawa kes ke mahkamah bukanlah semata-mata untuk mendapatkan kemenangan dan menghukum tertuduh.

''Sebaliknya kita mahu memberi keadilan kepada semua pihak yang terlibat sama ada tertuduh mahupun yang mendakwa,'' jelasnya.

Abdul Gani menambah, untuk mencapai keadilan, kerjasama semua pihak termasuk orang awam diperlukan bagi memastikan perbicaraan berjalan lancar.

Mengenai tanggapan serong masyarakat setiap kali pendakwa kalah di mahkamah, beliau berkata, nisbah kemenangan pihak pendakwa sebenarnya melebihi separuh berbanding yang kalah.

Bagaimanapun jelasnya, sebaliknya dalam kes pembelaan yang kalah, tiada pula orang mendakwa peguam tidak menjalankan pembelaan dengan cemerlang.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text