Pages

Ads 468x60px

Friday, August 24, 2007

Kaji undang-undang nafkah anak luar nikah

Kaji undang-undang nafkah anak luar nikah

SHAH ALAM 23 Ogos – Majlis agama Islam negeri-negeri dicadangkan mengkaji serta menggubal Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam berhubung pemberian nafkah oleh bapa kepada anak luar nikahnya.

Cadangan yang dibuat pada muzakarah pakar-pakar Islam mengenai anak tidak sah taraf (luar nikah) itu dikemukakan kerana ketika ini tiada sebarang enakmen yang jelas diperuntukkan oleh mana-mana negeri mengenai pemberian nafkah kepada golongan itu.

Dekan Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Dr. Zaleha Kamarudin berkata, ketika ini pemberian nafkah atau tanggungan anak luar nikah hanya diletakkan pada bahu ibu dan bukannya bapa kepada anak berkenaan.

Menurutnya, pihak majlis agama Islam negeri-negeri diharap meneliti perkara itu kerana si bapa dilihat seperti terlepas daripada melaksanakan tanggungjawab kepada anak terbabit.

"Sebaliknya, yang menanggung musibah serta bebanan daripada perbuatan yang dilakukan ialah ibu serta anaknya yang tidak berdosa.

"Oleh itu, adalah tidak salah jika undang-undang memperuntukkan bapa anak luar nikah terbabit bertanggungjawab membesarkannya selain sebagai denda atas kesalahan yang telah dilakukan sehingga menyebabkan anak-anak itu lahir," katanya.

Zaleha berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Nafkah Anak Tak Sah Taraf: Perspektif Undang-undang pada Muzakarah Pakar Ketiga yang dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Datuk Dr. Amran Kasimin di sini hari ini.

Turut hadir ialah Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd. Wahid.

Selain itu, muzakarah tersebut turut mencadangkan supaya majlis agama Islam setiap negeri menubuhkan satu dana khas bagi membantu membiayai perbelanjaan serta mengurangkan beban anak-anak terbabit khususnya yang terbiar tanpa mengetahui siapa ibu bapa mereka.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text