Pages

Ads 468x60px

Tuesday, February 28, 2006

Isu gunting tudung: laporan media mengelirukan

Isu gunting tudung: laporan media mengelirukan

Tue | Feb 28, 06 | 02:20:21 PM
Oleh Basiron Abdul Wahab
TEMERLOH, 28 Feb (Hrkh) - Isu guru displin 'mengunting' tudung 65
pelajar Sekolah Menengah Teluk Sentang yang melanggar peraturan
sekolah baru-baru ini bukanlah isu yang harus diperbesarkan.

Ramai berpendapat tanpa campur tangan pihak tertentu, isu berkenaan
hanyalah isu terpinggir dan dalam kawalan pihak sekolah.

Ia tidak lebih daripada isu biasa, iaitu isu usaha pihak sekolah untuk
mendisplinkan pelajarnya yang bermasalah.

Siasatan Harakah mendapati, sekolah berkenaan sebelum ini sememangnya
menghadapi masalah displin yang serius dan usaha mendisplinkan pelajar
telah dan sedang giat dilakukan oleh guru-guru sekolah berkenaan.

Keseriusan masalah displin di sekolah berkenaan dapat dilihat dalam
isu 'kahlwat' yang membabitkan seorang pelajar (perempuan) tingkatan
satu dari sekolah berkenaan yang ditangkap berkhalwat di dalam asrama
tidak lama dulu, Bagaimanapun isu tersebut tidak dihebohkan.

Ia berbeza dengan isu 'gunting' tudung ini, apabila ada campur tangan
pihak tertentu yang tidak senang dengan guru tertentu di sekolah
berkenaan. Wal hal sebahagian besar ibu bapa bersetuju dan tidak
membantah usaha yang dilakukan oleh guru dalam usaha mereka
meningkatkan displin pelajar.

Difahamkan pihak sekolah telah melakukan banyak perubahan dalam usaha
membentuk peribadi pelajar seperti memperkenalkan solat berjamaah
disertai guru-guru di sekolah tersebut.

Menurut sumber, insiden gunting tudung bermula apabila guru displin
membuat pemeriksaan terhadap pakaian pelajar dan mendapati kira-kira
65 orang pelajar perempuan gagal mematuhi tatacara pemakaian tudung
seperti yang ditetapkan pihak sekolah. Ini menyebabkan guru mengambil
tindakan keras dengan 'menggunting' sebahagian kecil daripada tudung.

Jelas sumber tersebut, pada awalnya semua pelajar perempuan
sememangnya mematuhi tatacara pemakaian tudung iaitu memakai tudung
labuh (menutup bahu) sebagaimana diarah pihak sekolah, Bagaimana
terdapat sebahagian kecil pelajar membantah. Mereka dikatakan telah
mengubah suai fesyen tudung mengikut citarasa mereka sendiri.

Difaham terdapat pelajar telah mengubah suai tudung mereka beberapa
hari sebelum kejadian, malah ada saksi yang mengatakan pelajar
berkenaan mengunakan lilin untuk mengemaskan bahagian tudung yang
diubahsuai itu.

Menurut sumber itu lagi, reaksi keterlaluan seorang bapa pelajar yang
bertindak mencari guru displin di sekolah adalah keterlaluan dan
didorong oleh sentimen yang tidak sepatutnya. Bapa pelajar terbabit
bukan sahaja melanggar displin seperti anaknya tetapi bertindak ala
samseng pula. Ia bukan sifat yang baik bagi seorang bapa.

Seorang penduduk asal kampung Teluk Sentang memberitahu penulis,
beliau mengenal pasti terdapat beberapa perkara yang telah ditokok
tambah dalam laporan media eletronik tentang insiden tersebut malah,
sumber terbabit memberitahu, guntingan tudung oleh guru displin tidak
seteruk yang digambarkan oleh media.

Ini jelas, ada pihak menggunakan isu tersebut dengan niat dan tujuan
tertentu, malah sumber berita media adalah seorang warga asing yang
hanya berstatus penduduk tetap.

Penduduk tempatan sememangnya mengetahui status keluarga penduduk
tetap tersebut, media wajar membuat siasatan sebelum mengambil
kenyataanya kerana ia boleh menjatuhkan krebiliti media tersebut.

Harakah cuba mendapatkan ulasan pihak sekolah tetapi gagal kerana
pihak yang dihubungi enggan memberikan sebarang penjelasan.

"Masalah saya ialah laporan media, tolong jangan susahkan saya lagi," katanya.

Setakat ini pelbagai pihak telah memberikan pendapat dan reaksi
masing-masing termasuklah Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib
Razak, Menteri Pendidikan, Dato' Hishamuddin Husein dan sebagainya.

Bagaimanapun pendapat mereka dipercaya adalah hasil daripada
penjelasan media semata-mata, tetapi tetap ingin memberi pandangan
apabila ditanya oleh media.

Hasil laporan media yang boleh dipertikaikan itu akan menghasilkan
pandangan yang serong, prejudis dan menjadi tekanan kepada guru.

"Kesan yang pasti ialah guru terbabit akan menerima kesan psikologi
hasil laporan berterusan media manakala pelajar akan menghadapi
masalah besar apabila guru-guru tidak lagi akan memberi penumpuan
terhadap displin pelajarnya. Yang rugi ialah pelajar yang serius
dalam pelajaran mereka manakala pelajar yang nakal akan bermaharaja
lela kerana mereka sedang dibela oleh ibu bapa dan pihak tertentu,"
kata sumber itu lagi.

Ia telah menjadi suatu trend masa kini, pembelaan yang tidak kena pada
tempatnya. - mns

Pasangan `berpisah' Dibenar Kahwin Bila-bila Masa

Oleh Suffian Abu Bakar

UM 28/2/2006
MUAR 27 Feb. - Yang mana satu betul?. Pasangan suami isteri, Muhammad Nazirul Azman Nasaruddin dan Zanariah Abdullah (kiri) sebelum ini diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Muar berpisah secara farakh kerana pernikahan mereka dikatakan tidak sah.

Mereka hanya boleh bernikah semula selepas Zanariah tiga kali suci.

Tetapi hari ini mereka menerima `kejutan' apabila mendapat surat dari mahkamah yang sama menyatakan mereka boleh menikah bila-bila masa - tidak perlu menunggu tiga kali suci.

Yang menghairankan mereka ialah surat terbaru dari Pejabat Agama Daerah Muar ini bertarikh 15 Februari lalu iaitu tarikh yang sama Mahkamah Tinggi Syariah Muar mengarahkan pasangan itu berpisah secara farakh.

Walaupun Muhammad Nazirul Azman, 24, dan Zanariah, 24, gembira dengan perkhabaran terbaru itu, namun mereka keliru, terkejut serta sangsi kerana sebelum ini, mereka diarahkan berpisah dan hanya boleh bernikah semula selepas tiga kali suci.

``Saya keliru kerana kami sebelum ini diarahkan untuk berpisah secara farakh, tetapi surat perintah mahkamah yang diterima hari ini lain pula.

``Ini menyebabkan saya dan bekas suami merasakan urusan pernikahan kami ini seperti bahan uji kaji,'' kata Zanariah ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Kes Muhammad Nazirul Azman dan Zanariah, yang bernikah pada 5 Februari tahun lalu itu terpaksa diputuskan oleh Mahkamah Syariah setelah berlaku kekhilafan berhubung penggunaan wali hakim.

Mahkamah Tinggi Syariah Muar di sini pada 15 Februari lalu memutuskan pasangan terbabit berpisah secara farakh dan hanya boleh bernikah semula selepas tiga kali suci.

Keputusan farakh itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi itu, Shakirin Omar di hadapan pasangan terbabit, Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk daerah Muar, Ahmad Hanif Naim dan seorang pendaftar mahkamah di kamar hakim dan ia berkuat kuasa 13 Februari.

Pasangan itu sebelum ini mendakwa Pejabat Agama Daerah Muar tidak mengiktiraf pernikahan mereka dan mengarahkan kedua-duanya berpisah secara farakh mulai 2 Februari lalu.

Pernikahan itu dikatakan tidak sah kerana menggunakan wali hakim, sedangkan ketika itu adik lelaki Zanariah berada pada majlis tersebut.

Zanariah memberitahu, dia menerima panggilan telefon daripada Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Muar, Jumaat lalu yang memaklumkan bahawa dia dan bekas suaminya boleh bernikah semula pada bila-bila masa.

``Ketika itu saya berada di Shah Alam, Selangor dan kami hanya pulang ke Muar untuk mengambil salinan surat itu hari ini.

``Saya dimaklumkan bahawa kami boleh bernikah semula pada bila-bila masa kecuali jika saya ingin bernikah dengan lelaki lain sahaja saya perlu menunggu tiga kali suci,'' jelas beliau.

Sementara itu, Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Daerah Muar, Ahmad Hanif Naim ketika dihubungi berkata, beliau tidak dapat memberi sebarang penjelasan kerana perkara itu adalah di luar bidang kuasanya

Monday, February 27, 2006

Lelaki Lepas Tangan Wanita Kena Bertanggungjawab

UM-27/2/2006

Mukadimah
Wanita Malaysia mungkin antara yang paling bernasib baik berbanding wanita di negara-negara lain di dunia. Mereka menikmati kebebasan dan persamaan taraf hampir dalam semua bidang – pendidikan, pekerjaan, ekonomi dan sosial.

Ironinya, dalam isu berkaitan perkahwinan, rumah tangga dan kekeluargaan, wanita masih digambarkan sebagai golongan yang teraniaya, tertindas dan didiskriminasi.

Malah Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang telah diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini, yang bertujuan menyeragamkan Undang-Undang Keluarga Islam antara negeri di Malaysia, turut menimbulkan keresahan di kalangan wanita berikutan dakwaan sesetengah pihak bahawa pindaan undang-undang tersebut menganiayai dan menzalimi wanita.

Sedangkan matlamat asal menyeragamkan Undang-Undang Keluarga Islam itu adalah untuk lebih memudah dan menghapuskan segala kekeliruan yang selama ini berlaku disebabkan tiadanya keseragaman antara negeri.

Wartawan SITI ZALEHA JORIMAI menemu bual Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Datuk Kamilia Ibrahim yang berpengalaman berpuluh tahun dalam memperjuangkan dan menangani isu-isu berkaitan kepentingan golongan wanita di negara ini.

Kamilia mempunyai pandangan tersendiri mengenai mengapa wanita masih merasakan diri mereka teraniaya dan dizalimi dalam isu-isu berkaitan rumah tangga.

Wanita di Malaysia telah memperoleh segala-galanya, tetapi mengapa masih ada gambaran bahawa wanita teraniaya terutama apabila berlaku masalah rumah tangga?

Kamilia: Memang wanita kita telah memperoleh kebebasan yang mereka perjuangkan. Mereka bebas bekerja, mencari kekayaan, mencari pasangan hidup, bergerak aktif dalam politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya. Pendek kata, tidak ada sekatan diskriminasi. Bahkan, kalau mereka rajin bekerja, mereka boleh meraih apa saja pangkat yang mereka mahu. Sekarang ini sudah wujud pilihan di mana wanita boleh memilih sama ada untuk maju dalam kerjaya atau sebaliknya.

Persoalannya, mengapa masih lagi kita nampak wanita belum bebas dan terus dibelenggu dengan masalah domestik atau rumah tangga.

Apabila berlaku masalah dalam perkahwinan, wanita masih merasakan mereka menjadi pihak yang tertindas dan nasib mereka tidak dibela. Mereka menjadi mangsa suami yang tidak mahu membayar nafkah, suami berpoligami dan sebagainya.

Atau, mungkinkah wanita masih menganggap dirinya teraniaya walhal sebenarnya tidak. Ataupun masalah itu secara realitinya memang wujud dan wanita tidak boleh lari daripadanya.

Saya rasa mungkin itulah jawapannya. Secara realitinya, masalah masih wujud dan mengikat wanita disebabkan rasa tanggungjawab wanita yang tinggi terhadap dirinya sebagai seorang isteri dan ibu.

Saya rasa itulah yang menyebabkan apabila ada masalah rumah tangga dan keluarga, wanita akan rasa tertekan kerana berasa mereka perlu membela anak-anak dan membela institusi perkahwinan.

Sebenarnya, secara logik kalau suami boleh lepas tangan, wanita juga boleh lepas tangan. Tetapi wanita memilih untuk tidak berbuat demikian kerana rasa tanggungjawabnya yang tinggi.

Wanita berbeza dengan lelaki atau suami. Apabila menceraikan isteri atau berpoligami, suami merasakan isteri dan anak-anak bukan tanggungjawab mereka lagi. Wanita mengambil masalah anak-anak sebagai tanggungjawab mereka.

Adakah maknanya wanita sememangnya tidak mempunyai pilihan kecuali memikul tanggungjawab tersebut?

Seperti yang saya kata tadi wanita sebenarnya ada pilihan kalau dia mahu. Dia boleh kata, “kalau suami boleh kahwin lain dan tidak pedulikan anak, saya juga boleh buat demikian.’’

Tetapi kalau dia ada anak, hati seorang ibu tidak akan sampai ke tahap itu. Wanita tidak akan mengatakan dia mempunyai pilihan untuk meninggalkan keluarganya.

Justeru, wanita ada dan boleh membuat pilihan, tetapi dia tidak akan membuat pilihan itu sebab dia berasa bertanggungjawab.

Sebab itu walaupun wanita berbangga dengan kebebasan dan kesaksamaan yang mereka peroleh dalam pelbagai perkara, tetapi mereka masih terperangkap dengan masalah kekeluargaan kerana mereka memiliki rasa tanggungjawab yang tinggi.

Bagi lelaki, mereka tidak nampak perkara itu. Bagi mereka, apabila sudah bercerai maka sudah lepas tanggungjawab mereka terhadap anak-anak.

Bukankah kita mempunyai undang-undang dan mahkamah yang membolehkan wanita mendapatkan keadilan?

Memang, kita sekarang ada undang-undang yang menyebut dengan jelas apa dia hak serta tanggungjawab wanita dan lelaki. Mahkamah pun sudah banyak memperkenalkan peraturan-peraturan yang membolehkan kita mendapatkan hak kita, tetapi persoalannya adakah itu yang dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu wanita.

Itu hanya cara-cara yang boleh kita rujuk apabila sudah timbul masalah untuk memudahkan keadaan. Kita jarang melihat apa yang berlaku di sebalik sesuatu masalah itu. Contohnya, dalam perceraian dan poligami.

Apa yang kita lihat adalah secara zahir tentang nafkah, harta sepencarian dan sebagainya, tetapi bagaimana pula dari segi emosinya, perasaan sebagai wanita yang diceraikan dan kepedihan apabila suami berkahwin dengan wanita lain. Bagaimana pula perasaan ibu melihat anaknya mengalami tekanan akibat perceraian ibu bapa dan sebagainya.

Perkara yang kita tidak nampak ini sukar untuk diukur.

Adakah kita perlu mengubah pendekatan dengan melihat kepada akar umbi permasalahan tersebut?

Mungkin juga. Mengapa masalah wujud. Contohnya, poligami dan perceraian. Selama ini apabila kita bercakap mengenai isu ini, kita fokus kepada wanita dengan menggambarkan wanita teraniaya tidak mendapat pembelaan dan sebagainya.

Mengapa tidak sekarang kita pergi pada lelaki jika mereka yang menjadi punca masalah. Adakah seorang bapa apabila dia meninggalkan keluarganya dan mengetahui keluarganya itu porak peranda boleh membina satu lagi keluarga yang bahagia. Saya tidak fikir boleh. Sedikit sebanyak dia pasti akan berasa bersalah.

Kita mungkin boleh tanya mengapa dia buat sebegitu, apakah kesannya terhadap diri mereka dan apa tindakan mereka.

Mungkin lelaki ini perlu diberi kaunseling supaya lebih bersikap bertanggungjawab kepada keluarga dan masalah yang telah ditimbulkan.

Mengapa lelaki menjadikan dirinya masalah kepada wanita dan keluarganya, sedangkan sepatutnya mereka menjadi pembimbing, mendisiplin dan mendidik keluarga. Perkara ini yang kita tidak pernah sentuh.

Apakah pendekatan terbaik dalam menangani isu-isu domestik?

Pendekatan baru yang ada sepatutnya memberi kesedaran tentang isu-isu keluarga sebagai sebuah institusi yang perlu dibina dan diperkukuhkan. Selain itu, perjanjian perkahwinan adalah perjanjian yang sangat berat yang perlu dipatuhi dan bukan sesuatu yang boleh dipermudahkan, walaupun dalam undang-undang terdapat peruntukan untuk mereka memohon cerai.

Satu lagi aspek ialah pendekatan yang diberi mestilah seimbang. Jangan memfokus kepada wanita saja, sebaliknya fokus juga pada lelaki. Kita perlu mencari pendekatan-pendekatan baru yang boleh melihat kepada punca permasalahan dalam lingkungan rumah tangga.

Apakah pandangan anda mengenai Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang menjadi pertikaian baru-baru ini?

Ada empat perkara yang dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu, iaitu poligami, hak mendapat harta sepencarian apabila berpoligami, hak fasakh kepada suami dan hak untuk mendapat injunksi pembekuan pada harta sekiranya berlaku perceraian.

Matlamat utama pindaan ini adalah untuk menyelaraskan peruntukan-peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan dengan sembilan lagi negeri-negeri di Malaysia yang telah menerima peruntukan-peruntukan itu.

Matlamat tersebut adalah satu matlamat yang baik sebab bila kita tidak selaras ia boleh menimbulkan banyak masalah dan kekeliruan.

Saya juga berpendapat bahawa peruntukan ini memberi keadilan kepada suami dan isteri yang menghadapi masalah sama ada perceraian atau poligami. Malah, kalau dikaji dengan teliti ia lebih menguntungkan wanita untuk mendapat harta sepencarian mereka apabila suami berpoligami.

Peruntukan ini perlu dibaca dan difahami dengan teliti. Apa yang harus kita ingat adalah Islam memberi keadilan kepada wanita dan lelaki. Dalam Islam keadilan itu untuk semua.

Banjir Di Shah Alam

 
Pada 26/2/2006 Banjir terburuk di Shah Alam di kawasan TTDI, BT 3 telah berlaku. Kuasa Allah tiada penghalangnya. Posted by Picasa

Friday, February 24, 2006

HM Edisi KL : Khalwat: Kakak ganti diri adik

HM-24/2/2006

SHAH ALAM: Orang ramai yang hadir di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, terkejut apabila seorang kakak sanggup menjadi 'tertuduh' bagi adiknya yang didakwa berkhalwat dan melakukan perbuatan tidak bermoral bersama pasangannya, tahun lalu.

Siti Hamidah Omar, 26, mendakwa berbuat demikian berikutan adiknya, Siti Saidah Omar, 21, tidak dapat hadir ke mahkamah kerana kurang sihat.

Perbuatannya terbongkar apabila dia hanya mendiamkan diri selepas beberapa kali ditanya Hakim Syarie Abu Bakar Daud sama ada mengaku salah atau tidak.

HAKIM: Faham pertuduhan yang dibacakan?

SITI HAMIDAH: Faham.

HAKIM: Adakah kamu mengaku salah?

SITI HAMIDAH: (mendiamkan diri)

HAKIM: Kenapa kamu mendiamkan diri? Adakah kamu mengaku salah atau tidak?

SITI HAMIDAH: Saya bukan Siti Saidah.

HAKIM: Kamu siapa?

SITI HAMIDAH: Saya kakak kepada Siti Saidah.

HAKIM: Kenapa kamu yang hadir?

SITI HAMIDAH: Sebenarnya adik saya kurang sihat dan saya mewakilinya.

HAKIM: Kenapa kamu tidak memberitahu mahkamah awal-awal? Ada bawa sijil pengesahan sakit daripada hospital?

SITI HAMIDAH: Maaf Yang Arif, saya tiada sijil pengesahan sakit kerana adik saya tidak ke hospital.

HAKIM: Sepatutnya kamu memberitahu mahkamah lebih awal dan bukannya berdiri dan mendengar pertuduhan dibacakan terhadap kamu. Nasib baik saya tidak mendakwa kamu atas kesalahan yang orang lain lakukan, faham?

SITI HAMIDAH: Faham Yang Arif.

HAKIM: Oleh kerana tertuduh wanita tidak hadir dan tiada sebarang alasan bertulis, mahkamah terpaksa mengeluarkan waran tangkap.

SITI HAMIDAH: Yang Arif, saya merayu supaya tidak mengeluarkan waran tangkap terhadap adik saya. Tolonglah Yang Arif.

HAKIM: Tidak boleh. Adik kamu tidak hadir tanpa sebab munasabah dan mahkamah menganggap dia sebagai cuai. Adakah kamu faham?

SITI HAMIDAH: Ya, Yang Arif.

Terdahulu, mengikut fakta kes, sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu sebuah rumah di Seksyen 7, di sini dan menahan seorang lelaki dan wanita yang berkurung di dalam rumah berkenaan dengan keadaan menimbulkan syak melakukan perbuatan tidak bermoral.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu kira-kira jam 3.30 pagi pada 23 Oktober, tahun lalu.

Hasil soal siasat terhadap pasangan terbabit mendapati mereka tidak mempunyai hubungan suami isteri sah dan bukan mahram.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie Mohd Kamal Ismail.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

HM Edisi Nasional: Kes lewat hanya 6 peratus

HM-24/2/2006

PUTRAJAYA: Hanya 6.3 peratus kes perceraian di mahkamah syariah selesai dalam tempoh lebih setahun dan kelewatannya bukan disebabkan kelemahan sistem terbabit, sebaliknya sikap plaintif dan defendan sendiri.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman, berkata majoriti kes perceraian diselesaikan dalam tempoh sasaran ditetapkan iaitu tiga bulan.

"Sebanyak 71.6 peratus kes diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dan 84.7 peratus lagi diselesaikan dalam tempoh enam bulan," katanya kepada pemberita selepas majlis mahabbah JKSM bersama masyarakat peringkat Wilayah Persekutuan 2006, semalam.

Sheikh Ghazali berkata, perangkaan itu menepis pandangan dan tanggapan negatif masyarakat bahawa Mahkamah Syariah lewat menyelesaikan kes terutama perceraian.

"Kelewatan melebihi setahun bagi kes yang dikemukakan juga disebabkan faktor plaintif dan defendan yang melengahkan perbicaraan antaranya tidak hadir menyebabkan mahkamah terpaksa menangguhkan kes," katanya.

Beliau berkata, statistik kes pada 1998 hingga 2002 itu juga akan dikemaskinikan dengan adanya kajian baru yang dimulakan tidak lama lagi.

Selain itu katanya, pengenalan e-Syariah pada 2002 juga mempercepatkan proses pendaftaran yang boleh dilakukan secara on-line.

"Pendaftaran melalui e-Syariah lebih mudah dan daripada situ, pegawai sulh akan menyediakan dokumen dan dibawa kepada hakim untuk diperakukan, cara ini cukup cepat dan mudah," katanya.

Beliau berkata, tambahan 41 lagi pegawai sulh di seluruh negara juga mempercepatkan proses perceraian dan perkara berkaitan termasuk hak penjagaan anak.

Mengenai majlis mahabbah, Sheikh Ghazali berkata, ini adalah sebahagian usaha JKSM untuk memberi penerangan dan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai peranan institusi kehakiman syariah di negara ini.

Beliau berkata, program ini memberi peluang kepada jabatan dan masyarakat berinteraksi bagi membolehkan orang ramai mendapat gambaran jelas, benar dan tepat.

Katanya, majlis berkenaan akan diadakan di empat negeri lain iaitu Pulau Pinang, Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Terima kasih, saya tidak akan kembali'

KUALA LUMPUR 23 Feb. - ``Terima kasih sahajalah, saya tidak akan kembali bekerja di hotel tersebut kerana telah serik dengan apa yang berlaku,'' kata bekas pengarah akaun Hotel Renaissance, Habsah Jaafar,46.

Menurut beliau, tekanan larangan pemakaian tudung sewaktu datang bekerja yang kerap diberikan oleh pihak pengurusan hotel tersebut telah menyebabkan ia tawar hati untuk terus bekerja di sana.

Malah, beliau turut terkejut dengan kenyataan hotel tersebut yang menyatakan peletakan jawatan itu ekoran hal antara beliau dengan hotel yang sulit.

``Saya tidak melakukan sebarang bentuk kesalahan yang boleh menjatuhkan maruah dan martabat sebagai wanita semasa bekerja di hotel tersebut, bahkan tiada menjalinkan sebarang hubungan sulit sehingga didakwa alasan pemberhentian itu jika didedahkan boleh memalukannya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Hotel Renaissance semalam bahawa peletakan jawatan Habsah bukan disebabkan larangan bertudung tetapi ekoran hal antara beliau dan hotel yang sulit dan tidak boleh didedahkan demi menghormati Habsah.

Oleh itu, Habsah boleh memilih untuk kembali bekerja dengan memakai pakaian semasanya.

Menurut Habsah, amat menghairankan jika benarlah dakwaan hotel bahawa beliau melakukan satu kesalahan yang besar sehingga tidak boleh didedahkan, apa perlunya untuk hotel menerimanya kembali bekerja.

``Saya benar-benar terkejut dengan dakwaan itu dan tidak akan menjejakkan kaki bertugas di hotel tersebut,'' tegasnya.

Sementara itu, beliau yang akan bertugas pada 1 Mac ini di Hotel Palace of Golden Horses (PGHH) sebagai Pengarah Jualan memuji sikap pengurusan hotel tersebut yang tidak mengamalkan sikap diskriminasi terhadap wanita Islam yang ingin memakai tudung.


Peguam Negara bantu prosiding


BH - 24/2/2006



PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail akan hadir di Mahkamah Rayuan pada 2 Mac ini untuk membantu mahkamah menentukan sama ada peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengadu kepada Ketua Hakim Negara berhubung perilaku seorang hakim.

Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang memohon penangguhan kes itu memberitahu mahkamah bahawa beliau yang mewakili Abdul Gani memohon penangguhan untuk membolehkan kes berkenaan dihadiri sendiri oleh Peguam Negara, Khamis ini.

Sehubungan itu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram yang bersidang bersama Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin membenarkan permohonan itu dan menangguhkan kes berkenaan.

"Tolong sampaikan kepada Peguam Negara bahawa mahkamah berterima kasih kerana beliau sanggup hadir ke mahkamah untuk berhujah dalam kes itu," katanya.

Muhammad Shafee yang diwakili peguam DP Vijandran diperintahkan berhujah mengapa dakwaan menghina mahkamah tidak boleh diambil terhadapnya kerana menghantar surat aduan kepada Tun Ahmad Fairuz Syeikh Abdul Halim, berhubung tingkah laku Sri Ram dalam penghakimannya bagi kes Metramac Corporations Sdn Bhd dan Fawziah Holdings Sdn Bhd.

Dalam prosiding semalam, Vijandran meminta arahan daripada mahkamah berhubung kes itu.

"Kamu hanya perlu menunjukkan kepada mahkamah bahawa anak guam kamu dan surat yang dihantarnya kepada Ketua Hakim Negara tidak menghina mahkamah," kata Sri Ram.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Majlis Peguam yang diwakili Kuthubul Zaman Bukhari dan Vazeer Alam Mydin Meera yang hadir untuk turut membantu mahkamah dalam kes itu.

Sebelum itu panel yang sama, turut menangguhkan kepada 1 Mac depan keputusan permohonan Metramac untuk penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah yang mengarahkannya membayar RM65 juta kepada Fawziah Holdings.

Muhammad Shafee berhujah, jumlah RM100 juta yang diperintahkan supaya tidak dilupuskan daripada aset Metramac adalah satu jumlah yang tinggi dan perintah penangguhan pelaksanaan tanpa syarat perlu diberikan kepada syarikat itu.

Beliau yang memohon mahkamah membenarkan pelaksanaan penangguhan itu berkata syarikat mempunyai cukup aset tidak cair untuk memenuhi perintah membeku harta RM100 juta itu.

Peguam CV Das yang mewakili Fawziah Holdings berhujah bahawa jika permohonan itu dibenarkan, mahkamah perlu meletakkan beberapa syarat antaranya jumlah aset yang perlu dibekukan, dinaikkan daripada RM100 juta kepada RM200 juta dan melantik syarikat perakaunan untuk meneliti pergerakan kewangan atau aset syarikat itu.

Permohonan 22 Tahanan ISA ditolak

BH-24/2/2006
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam, menolak permohonan semakan kehakiman 22 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menolak hak mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-11 pada 21 Mac 2004.

Hakim Datuk Md Raus Sharif dalam penghakimannya, berkata SPR tidak bertanggungjawab memastikan pengundi ke pusat pengundian untuk menjalankan tanggungjawab mereka pada hari pilihan raya.

Katanya, tanggungjawab untuk mengundi tidak diwajibkan di negara ini dan ia bergantung kepada individu berdaftar pergi ke pusat pengundian di kawasan mereka didaftarkan sebagai pengundi.

"SPR tidak bertanggungjawab membawa pemohon ke kawasan mereka didaftarkan sebagai pengundi bagi menjalankan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Pada 27 April 2004, 22 tahanan terbabit memfailkan notis usul bagi semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang mengabaikan hak mengundi mereka.

Mereka ialah Yazid Sufaat, Nik Adli Nik Abdul Aziz, Ahmad Yani Ismail, Zainon Ismail, Abd Samad Shukri Mohamad, Abu Bakar Che Doi, Mat Sah Mohd Satray, Md Lotfi Ariffin, Idris Salim, Muhamad Zulkepli Md Isa, Mohd Sha Sarijan.

Solehan Abdul Ghafar, Abdul Murad Sudin, Mohd Rafi Udin, Nordin Ahmad, Asfawani Abdullah @ Ab Wahab, Roshelmy Md Sharif, Alias Ngah, Suhaimi Mokhtar, Muhamad Zukifli Mohamad Zakaria, Mat Salleh Said dan Khairuddin Saad.

Tahanan itu mendakwa hak asasi untuk bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran serta mengundi dicabuli SPR.

Semua lelaki berkenaan yang ditahan mengikut ISA atas dakwaan terbabit Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) juga memohon perintah deklarasi bahawa hak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang turut dicabuli SPR.

Mereka juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan dan tindakan SPR yang gagal, enggan, nafi dan abai dalam membolehkan dan membenarkan mereka mengundi pada pilihan raya itu.

Raus berkata, pemohon mendakwa SPR perlu menyediakan kemudahan mengundi mengikut setiap kawasan di mana mereka didaftarkan sebagai pengundi, yang dijalankan di Pusat Tahanan Kamunting.

Bagaimanapun, katanya SPR menegaskan pemohon bukan didaftarkan sebagai pengundi pos dan sebagai pengundi biasa mereka tidak layak untuk mengundi melalui pos.

Katanya, oleh kerana pemohon tidak pernah mendaftar sebagai pengundi pos, tindakan SPR yang tidak menyediakan kertas undi pos tidak boleh dikira sebagai melanggar hak mereka.

"Apabila seseorang ditahan mengikut ISA, dia akan kehilangan hak utama seperti hak kebebasan bersuara dan hak perlindungan sama rata undang-undang yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

"Kehilangan hak itu turut dinyatakan dalam perlembagaan, dengan itu dakwaan bahawa SPR melanggar hak asasi pemohon mengikut Artikel 8 dan 10 perlembagaan adalah disalah anggap," katanya.

Thursday, February 23, 2006

HM Edisi Timur : Isteri tuntut cerai fasakh

23/2/2006


KOTA BHARU: Isteri kepada lelaki yang didakwa memberi hantaran wang palsu ketika perkahwinan mereka pada 11 Disember lalu, menuntut cerai fasakh di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, 5 Februari lalu.

Wanita terbabit yang juga seorang guru, memfailkan tuntutan fasakh terhadap suaminya dengan alasan berlaku penipuan wang hantaran ketika majlis perkahwinan mereka.

Plaintif, Azlini Ismail, 24, memfailkan tuntutan penceraian fasakh itu terhadap suaminya, Mohd Amir Rifin, 37.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Abdullah Man, memerintahkan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Rendah Syariah Tumpat kerana Mohd Amir yang juga responden dalam kes itu tidak setuju dengan tuntutan itu.

�Kes ini boleh disebut di Mahkamah Tinggi Syariah jika suami plaintif bersetuju cerai.

�Bagaimanapun, responden enggan menceraikan plaintif dan kes terbabit perlu dibawa ke Tumpat untuk dijalankan prosiding seterusnya,� katanya.

Plaintif tidak diwakili peguam, manakala responden diwakili peguam syarie, Ahmad Fazlan Mustapha dan Ahmad Nizam Mohamed.

Bagaimanapun, tarikh sebutan semula kes itu di Tumpat belum lagi di tetapkan.

Mohd Amir dari Puchong, Selangor itu juga sedang menghadapi pertuduhan menggunakan wang palsu di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan wang palsu sebanyak RM8,000 iaitu 80 keping wang palsu not RM100 sebagai hantaran kepada Azlini.

Mohd Amir didakwa melakukan kesalahan itu di rumah bernombor Lot 1783, Kampung Kubang Batang, Tumpat, jam 4 petang.

Mekanik terbabit dituduh mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas keluarga pengantin perempuan membuat laporan polis mengenai tindakan pengantin lelaki cuba memperdayakan mereka.

Pengantin lelaki itu didakwa menggunakan wang kertas salinan komputer bernot RM100 yang diletakkan dalam sebuah album sebagai wang hantaran perkahwinannya.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berkenaan disedari oleh bapa saudara pengantin perempuan kira-kira jam 8 malam ketika hendak menghitungnya.

Berikutan itu, keluarga mangsa bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Wakaf Bharu.

Pasangan berkenaan dinikahkan oleh Imam Masjid Kampung Kubang Batang, Mat Hussin Yusoff, kira-kira jam 3.55 petang.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Mahkamah Syariah: Lelaki minum, pasangan betulkan zip seluar

HM-21/2/2006

SHAH ALAM: Seorang lelaki mengaku �melakukan perbuatan tidak bermoral� dengan teman wanitanya di dalam kereta apabila diserbu sekumpulan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang ketika itu sedang melakukan rondaan rutin.

Mohd Noor Azman Mohd Amin, 26, membuat pengakuan bersalah itu bersama pasangannya, Raja Ummi Khalsum Raja Aziz, 25, ketika dituduh berkhalwat dan melakukan perbuatan tidak bermoral di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam.

Pasangan itu mengaku melakukannya di dalam sebuah Perodua Kancil di tempat letak kereta Taman Tasik Shah Alam, kira-kira jam 10.50 malam pada 23 Oktober tahun lalu.

Pasangan berkenaan dituduh mengikut Seksyen 29 (a) bagi lelaki dan (b) bagi perempuan Enakmen Jenayah Syariah Selangor (EJSS) 1995.

Timbalan Pendakwa Syarie, Muhammad Kamal Ismail, berkata berdasarkan fakta kes, sekumpulan penguat kuasa Jais melakukan rondaan sekitar tasik berkenaan sebelum melihat kereta di kawasan letak kereta itu berada dalam keadaan mencurigakan.

Selepas menghampiri kereta terbabit, pegawai penguat kuasa menyuluh bahagian dalam kereta berkenaan namun gagal melihat akibat dihalang penampan cahaya (sunshade).

Bagaimanapun, ketika menyuluh bahagian cermin belakang kereta terbabit, pegawai penguat kuasa melihat tertuduh wanita berada di kerusi belakang sambil membetulkan seluarnya manakala tertuduh lelaki dipercayai sedang minum air.

Mereka kemudian diarahkan keluar sebelum pemeriksaan mendapati, kedua-dua kerusi hadapan kereta berkenaan direbahkan.

Pasangan terbabit berada di kerusi belakang ketika ditahan.

Siasatan mendapati pasangan berkenaan tidak mempunyai dokumen perkahwinan sah selain bukan pasangan suami isteri dan dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.

Ketika rayuan, Mohd Noor memohon dikurang denda manakala Raja Ummi Khalsum yang bekerja sebagai kerani merayu diringankan hukuman.

Bagaimanapun, pendakwa memohon hukuman setimpal dikenakan berikutan kedua-dua tertuduh tidak menunjukkan rasa insaf di atas perbuatan dilakukan selain mahukan hukuman itu dijadikan pengajaran kepada mereka.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Abu Bakar menasihati pasangan terbabit supaya bersyukur kerana ditangkap pada malam itu dan berjaya mengelakkan diri daripada terus melakukan maksiat.

�Saya berharap kamu segera bertaubat kerana ada pasangan kekasih ditemui mati dalam keadaan bogel di dalam sebuah kereta Kancil, baru-baru ini.

�Mereka mati dalam keadaan sangat mengaibkan dan itulah hukuman Allah tunjukkan di dunia manakala hukuman mahkamah adalah tidak seberapa berbanding hukuman di akhirat kelak,� katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman masing-masing didenda RM2,500 seorang atau penjara 12 bulan.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Mahkamah Syariah: Poligami tanpa kebenaran

Mahkamah Syariah: Poligami tanpa kebenaran

HM;23/2/2006

SHAH ALAM: Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman denda RM900 atau tiga bulan penjara terhadap seorang lelaki selepas dia mengaku salah melakukan poligami tanpa kebenaran mahkamah.

Hakim Syarie Abu Bakar Daud menjatuhkan hukuman itu terhadap Syamsudin Hassan, 52, dari Subang Jaya, di sini, selepas didapati bersalah berpoligami tanpa kebenaran mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984.

Dia didakwa melakukan sesuatu yang berupa akad nikah tanpa kebenaran mahkamah bersama seorang warga Indonesia, Muniati Nasiruddin di Masjid Pattani, Thailand kira-kira jam 7.30 malam pada 23 April 2003.

Syamsudin didakwa melakukan kesalahan itu meskipun sudah mempunyai isteri sah iaitu Kamariah Husin, 43.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda dan penjara atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pendakwa Syarie, Mohd Kamal Ismail memohon kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana berpoligami tanpa kebenaran pendaftar nikah, rujuk dan cerai negeri selain membelakangi undang-undang.

�Tindakan berpoligami tanpa kebenaran jelas menunjukkan tertuduh tidak menghormati undang-undang negara ini.

�Hukuman setimpal patut dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak melakukan perkara sama selain menghormati undang-undang sedia ada,� katanya.

Ketika rayuan, tertuduh berasal dari Kedah, bekerja sebagai pengurus memohon kepada mahkamah supaya dikurangkan hukuman berikutan mengaku melakukan akad nikah berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Kamal memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berikutan kesalahan berpoligami tanpa kebenaran semakin berleluasa.

�Tertuduh tidak menunjukkan tanda menyesal atau insaf dengan kesalahan dilakukan dan sekiranya hukuman ringan dikenakan, pendakwa percaya tertuduh boleh mengulanginya lagi,� katanya.

Selepas meneliti pengakuan bersalah dan hujahan pihak pendakwa, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM900 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

Pengarah Akaun Hotel `dipaksa' Berhenti Kerana Bertudung

Oleh AZMAN CHE MAN


HABSAH Jaafar sambil diperhatikan Subahan Kamal menjelaskan isu larangan bertudung oleh majikannya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO di sini, semalam. - Gambar ZAINI HUSIN.
UM-23/2/2006

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Seorang pengarah akaun sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara kecewa apabila terpaksa melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak lebih 10 tahun lalu semata-mata kerana memakai tudung.

Habsah Jaafar, 46, mendakwa beliau terpaksa berbuat demikian setelah diberi kata dua oleh pengurusan hotel terbabit sama ada mematuhi peraturan yang melarang pemakaian tudung ketika bekerja atau melepaskan jawatannya.

Kata beliau, tindakan pengurusan hotel terbabit yang memberikan pelbagai `tekanan' seperti menghalangnya daripada datang ke tempat kerja jika memakai tudung turut memaksa beliau membuat keputusan berhenti kerja pada 17 Februari lalu.

``Mereka (pengurusan hotel) bimbang jika saya datang kerja dengan bertudung, ia akan mempengaruhi pekerja-pekerja lain untuk berbuat demikian,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Pergerakan Pemuda UMNO di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Biro Kebajikan dan Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Subahan Kamal.

Menurut Habsah, isu itu mula timbul apabila beliau memohon untuk bercuti setelah mendapat tawaran mengerjakan haji pada bulan Disember lalu.

Bagaimanapun katanya, permohonan untuk bercuti bagi menunaikan haji walaupun tanpa gaji ditolak dan hanya diluluskan lima hari sebelum beliau bertolak ke Tanah Suci.

``Dalam pertemuan dengan pengurusan tertinggi hotel, saya juga diberikan `gambaran' supaya berhenti kerja jika ingin mengerjakan haji,'' katanya.

Habsah berkata, sekembalinya daripada mengerjakan haji, beliau yang sebelum itu mendakwa `terpaksa' membuka tudung ketika bertugas memutuskan untuk memakai tudung ketika masuk kerja pada 9 Februari lalu.

Ekoran keputusan itu katanya, beliau telah dipanggil pengurusan hotel terbabit dan diberikan kata dua sama ada membuka tudung ketika bertugas atau berhenti kerja.

``Sebagai orang Islam, bila mereka suruh saya buka tudung, saya rasa seolah-olah mereka suruh saya berbogel,'' katanya yang sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang perhotelan.

Sementara itu, Subahan berkata, pihaknya amat kecewa dengan tindakan segelintir pengurusan hotel terutama bertaraf lima bintang yang melarang pekerja mereka mengenakan tudung ketika bekerja.

Katanya, tindakan hotel terutama yang diuruskan oleh rakyat asing, mengeluarkan garis panduan berpakaian sendiri itu seolah-olah memperlekehkan budaya serta amalan agama rakyat negara ini selain menafikan hak wanita Muslim mengamalkan suruhan agama mereka.

``Sebagai rakyat asing yang mencari rezeki di negara ini, mereka sepatutnya belajar menghormati budaya dan amalan agama rakyat negara ini,'' katanya.

Sementara itu, Hotel Renaissance menjelaskan, langkah Habsah Jaafar meletakkan jawatan sebagai pengarah akaun hotel tersebut bukan disebabkan beliau tidak dibenarkan memakai tudung.

Sebaliknya dalam kenyataan kepada Bernama, hotel tersebut menegaskan, peletakan jawatan Habsah itu ekoran hal antara beliau dengan hotel yang sulit dan tidak boleh didedahkan demi menghormati Habsah.

Oleh itu, menurut kenyataan berkenaan Habsah boleh memilih untuk kembali bekerja dengan memakai pakaian semasanya.

Dalam kenyataan dua muka surat bagi menjelaskan isu itu, Renaissance Kuala Lumpur berkata, sebagai sebuah hotel antarabangsa, ia mempunyai kakitangan dari segala peringkat masyarakat dan pihak pengurusan menghormati kepercayaan, agama dan tradisi setiap individu.

Hak Muslim: Bekas suami berhak lawat anak

BH-23/2/2006

SAYA bercerai dengan suami di Mahkamah Syariah Teluk Intan, Perak. Saya juga mendapat perintah hak jagaan dua anak yang berumur tiga dan enam tahun. Setelah bercerai saya memohon kerja dan ditawarkan bekerja kilang di Shah Alam, Selangor.

Saya membawa anak bersama. Apa yang merisaukan saya ialah bekas suami kata saya telah hilang hak penjagaan anak kerana membawa mereka ke Shah Alam. Adakah ini benar? Bagaimana saya hendak meninggalkan anak di Perak, sedangkan saya bekerja di Shah Alam?

ALINA,
Shah Alam, Selangor.


Ibu adalah orang paling layak bagi menjaga anak kecilnya dalam masa masih dalam perkahwinan dan selepas perkahwinannya dibubarkan.

Jika ibu itu hilang kelayakan mengikut hukum syarak untuk menjaga anak kecilnya, maka hak itu akan berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaannya iaitu:

  • Nenek sebelah ibu hingga ke atas.
  • Bapa.
  • Nenek sebelah bapa hingga ke atas.
  • Kakak atau adik perempuan seibu sebapa.
  • Kakak atau adik perempuan seibu.
  • Kakak atau adik perempuan sebapa.
  • Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu sebapa.
  • Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu.
  • Anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa.
  • Emak saudara sebelah ibu.
  • Emak saudara sebelah bapa.
  • Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah atau residuari.

    Namun, kebajikan kanak-kanak itu hendaklah tidak terjejas apabila mahkamah memerintahkan hak penjagaannya.

    Bagi mendapat hak jagaan kanak-kanak beberapa kelayakan perlu dipenuhi iaitu:

  • Penjaga adalah seorang Islam.
  • Penjaga adalah sempurna akal.
  • Penjaga berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu.
  • Penjaga berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
  • Penjaga tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak dan jasmani.

    Hak jagaan ini akan gugur sekiranya seseorang perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu, yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu. Jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

    Tetapi, hak untuk penjagaan itu akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan.

    Hak jagaan ini juga akan hilang sekiranya perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka. Atau jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu. Ia kecuali seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu.

    Hak jagaan ini juga akan gugur sekiranya perempuan itu murtad atau mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

    Berbalik kepada persoalan puan, sekiranya puan berpindah untuk menghalang bekas suami menjalankan pengawasan yang perlu ke atas anak, maka hak jagaan puan akan gugur.

    Namun daripada apa yang puan nyatakan, tujuan berpindah ke Shah Alam atas alasan mencari nafkah, maka hak puan tidak gugur.

    Bagaimanapun, puan dinasihatkan supaya memberitahu di mana puan dan anak tinggal kepada bekas suami. Hal ini supaya bekas suami dapat melawat anak.

    Hubungan di antara anak dengan bapa mereka tidak akan putus walaupun puan dan bekas suami telah bercerai. Memutuskan silaturahim adalah dosa dan amat dibenci oleh Allah.

    Puan tidak perlu meninggalkan anak di Perak semata-mata risaukan kehilangan hak jagaan anak.

    Puan boleh membawa anak ke Shah Alam dan tinggal bersama puan. Puan juga hendaklah bekerjasama memberi hak lawatan kepada bekas suami untuk melawat anak seperti yang diperintahkan mahkamah, melainkan ada sebab lain yang boleh menjejaskan kebajikan anak.

    Sekiranya ada sebab yang boleh menjejaskan kebajikan anak, puan hendaklah pergi kembali ke mahkamah untuk mengubah perintah yang telah diberikan berdasarkan ada perubahan matan kepada perintah yang telah diberikan dulu.

    Puan tidak boleh hanya mengubah perintah itu mengikut suka puan, tetapi hendaklah mendapatkan pengesahan daripada mahkamah terlebih dulu.

  • Artikel ini dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Pandangan dan persoalan kemukakan kepada PGSM pada admin@pgsm.com.my, faksimile 03-80259495 atau layari www.pgsm.com.my




  • ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Surat Dari MAI Narathiwat Dua Minggu Lagi-Isu Noraidah

    BH-23/2/2006

    MELAKA: Surat pengesahan status perkahwinan ibu bapa gadis yang ditangguhkan majlis pernikahannya, Noraidah Yusuf, 28, dijangka diperoleh kira-kira dua minggu lagi.

    Pegawai Tadbir Agama Alor Gajah, Kamarul Saman Yaacub, berkata beliau sudah dimaklumkan Majlis Agama Islam Narathiwat (Main) mengenai perkara itu.

    �Surat itu dikirim dari Bangkok sebab itu mengambil masa agak lama. Sebaik memperoleh surat, kita akan memaklumkan segera kepada bakal pengantin.

    �Apa pun jawapan surat berkenaan Noraidah dan Mohd Aizam Faizal boleh diijabkabulkan,� katanya, semalam.

    Sebelum ini akhbar melaporkan Noraidah boleh dinikahkan dengan pasangannya menggunakan wali hakim jika Main gagal mengesahkan salinan sijil penikahan ibu bapa Noraidah.

    Bapa Noraidah, Yusuf Mohd, 64, dan ibunya, Halijah Awang, 62, berkahwin di Narathiwat 28 tahun lalu dan dipercayai tidak mendaftarkan perkahwinan itu dengan Majlis Agama Islam Melaka (Maim).


    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Mahkamah Dengar Merit Kes Pengikut Ayah Pin

    Mahkamah dengar merit kes pengikut Ayah Pin

    BH-23/2/2006

    PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, semalam memutuskan mendengar merit kes seorang pengikut kumpulan ajaran sesat Ayah Pin yang memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan bagi mencabar status tiga peruntukan undang-undang Islam Negeri Terengganu dari segi Perlembagaan.

    Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohd Sheriff dan Datuk Richard Malanjun membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Sulaiman Takrib.

    Sulaiman, 57, memohon kebenaran memulakan prosiding mendapatkan perisytiharan Seksyen 51 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001, Seksyen 10 dan Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (SCOT) tidak sah dan batal.

    Beliau memutuskan mendengar merit kes itu pada 5 Mac ini.

    Pada Ogos tahun lalu, Sulaiman bersama 44 pengikut kumpulan Ayah Pin dituduh menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama kerana tindakan mereka menyertai ajaran itu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.30 pagi kerana didapati berada di kawasan kediaman Ayah Pin atau Arifin Mohamad, 65, di Kampung Batu 13, Hulu Besut pada 20 Julai tahun lalu.

    Sulaiman dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

    Dia juga dituduh memiliki cakera padat video bertentangan syariah mengikut Seksyen 14 (1B) enakmen sama dan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.




    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Wanita Dakwa Majikan Tak Benar Pakai Tudung Ketika Bekerja

    Wanita dakwa majikan tak benar pakai tudung ketika bekerja

    BH-23/2/2006

    KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara, mendakwa kesal dengan tindakan majikannya yang tidak membenarkannya memakai tudung ketika bekerja.

    Habsah Jaafar, Pengarah Akaun (Pengarah Jualan) bagi sektor kerajaan dan diplomatik hotel itu mendakwa dia diberi pilihan untuk menanggalkan tudung semasa bertugas atau berhenti kerja jika enggan berbuat demikian.

    �Saya diberi pilihan itu sekembali daripada menunaikan haji bulan lalu,� katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Biro Pengaduan Awam Pergerakan Pemuda Umno di sini, semalam.

    Habsah mendakwa, walaupun masih bekerja di hotel berkenaan, dia tidak dibenarkan datang bekerja kerana bertudung.

    �Bagaimana saya mahu bekerja jika tidak dibenarkan datang kerana bertudung?,� katanya sambil mendakwa surat tawaran kerja yang diterimanya tidak menyatakan bahawa kakitangan hotel tidak dibenarkan bertudung ketika bekerja.

    Selain itu, dia turut mendakwa menghadapi masalah mendapatkan cuti untuk mengerjakan haji dan permohonannya hanya diluluskan pada saat akhir.

    Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda Umno, Datuk Subahan Kamal, berkata kerajaan perlu mempertahankan hak wanita Islam daripada diketepikan oleh majikan, khususnya di syarikat milik asing.

    Katanya, dasar melarang wanita Islam daripada memakai tudung semasa berkerja sepatutnya tidak lagi diamalkan mana-mana majikan di negara Islam seperti Malaysia.

    �Pemuda Umno sedih dan kecewa kerana orang asing yang datang ke sini mencari rezeki masih membawa budaya memperlekeh agama Islam,� katanya.

    Berikutan itu, Pemuda Umno menyerahkan memorandum berhubung perkara terbabit kepada Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn.

    �Masalah ini nampak kecil tetapi sebenarnya ia bukan begitu kerana ia membabitkan isu kaum dan agama,� katanya.

    Sementara itu, jurucakap hotel berkenaan ketika dihubungi menafikan dakwaan Habsah dan menyatakan pihak pengurusan tidak pernah melarang pekerja wanita daripada memakai tudung ketika bertugas.

    �Isunya bukan soal tudung. Habsah meletakkan jawatan kerana sebab lain,� katanya tetapi enggan mengulas lanjut.

    Beliau berkata, pengurusan hotel masih menganggap Habsah sebagai kakitangannya kerana tiada surat pelepasan dikeluarkan terhadap surat peletakan jawatan beliau bertarikh 17 Februari lalu.

    �Bagi kami beliau masih bekerja dengan kami. Beliau boleh kembali bertugas dan memakai tudung. Kami juga tidak berdendam sebaliknya menghargai beliau sebagai kakitangan yang berpengalaman,� katanya.




    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Syor Tubuh Suruhanjaya Lantik Hakim

    Syor tubuh suruhanjaya lantik hakim

    BH-23/2/2006

    KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman berfungsi melantik hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berbanding pelantikan terus oleh Ketua Hakim Negara sekarang.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata penubuhan suruhanjaya itu juga bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak pelantikan hakim dibuat berdasarkan pilih kasih Ketua Hakim Negara.

    Beliau berkata, selain membuktikan ketelusan pentadbiran kerajaan, ia juga bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan sistem kehakiman negara berasaskan kredibiliti hakim terbabit, bukannya berasaskan persepsi hanya mereka yang dikenali rapat Ketua Hakim Negara dipilih memegang jawatan penting itu.

    �Lima atau enam orang yang tidak semestinya hakim dilantik Yang di-Pertuan Agong bagi menganggotai suruhanjaya itu. Mereka (anggota suruhanjaya) inilah yang melantik hakim selepas ini,� katanya.

    Beliau berkata demikian selepas berdialog dengan Majlis Peguam di pejabat Majlis Peguam, di sini, semalam. Turut hadir, Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh. Ia bertujuan membolehkan Mohamed Nazri mendengar masalah peguam.

    Mohamed Nazri juga berkata, beliau sudah berbincang dengan Ketua Hakim Negara, Tun Syeikh Ahmad Fairuz Syeikh Abdul Halim bagi merangka kaedah menambah hakim Mahkamah Tinggi untuk mengatasi masalah kes tertunggak.

    �Selepas saya diberikan amanah oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri) mengambil alih hal-ehwal undang-undang minggu lalu, saya berbincang dengan Ketua Hakim Negara dan beliau setuju kerana ada kes tidak selesai hingga bertahun-tahun.

    �Bagi menambah pegawai mahkamah, Majistret dan hakim Mahkamah Sesyen, saya akan berbincang dengan Peguam Negara,� katanya.

    Mengenai permohonan Majlis Peguam supaya Akta Profesyen Perundangan 1976 dipinda, beliau berkata, ia akan dikaji untuk dipinda Dewan Rakyat.

    Ditanya mengenai pertemuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden Amerika Syarikat, George Bush pada 2002 membabitkan pembayaran kira-kira AS$1.2 juta (RM4.5 juta), Mohamed Nazri berkata, ia tidak membabitkan wang kerajaan.


    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Maut Terbakar Selepas Gaduh Dengan Isteri



    BERSELERAK: Keadaan rumah Abd Rahmad di
    Kampung Seri Jerlai, Sungai Dua.

    GEMENCHEH: Seorang penoreh maut disambar api daripada tilam yang dibakarnya selepas bertengkar dengan isterinya di rumah mereka di Kampung Seri Jerlai, Sungai Dua dekat sini, Sabtu lalu.

    Abd Rahmad Zali, 37, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, jam 12.30 tengah hari semalam, selepas lima hari koma akibat melecur 50 peratus badannya.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Zull Aznam Haron, berkata polis menahan isteri Abd Rahmad dan direman sehingga 1 Mac ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi Sabtu lalu, Abd Rahmad dikatakan membakar tilam di rumahnya selepas bergaduh dengan isterinya berusia 27 tahun.

    Sebelum itu, pasangan suami isteri itu dikatakan cabar mencabar supaya membakar rumah mereka yang dibina melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

    Dalam pertengkaran itu, Abd Rahmad dikatakan menyuruh anak lelakinya berusia 11 tahun mengambil botol berisi petrol dari bakul motosikalnya di luar rumah.

    Anaknya bagaimanapun menyerahkan petrol itu kepada ibunya dan ketika itu Abd Rahmad tersepak botol berkenaan menyebabkan minyak tercurah ke badan serta tilam yang terbakar dan api terus menyambarnya.

    Abd Rahmad melecur dari paras pusat ke atas dan dibawa jiran ke klinik berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Melaka.

    Pasangan itu mempunyai lima anak berusia dua hingga 13 tahun yang kini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.




    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    NST diberi tiga hari tunjuk sebab

    BH-23/2/2006

    KUALA LUMPUR: The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) diberi tempoh tiga hari mulai semalam untuk mengemukakan tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap akhbar terbitannya, New Straits Times (NST), berhubung penyiaran lakaran kartun yang mengaitkan isu karikatur mempersenda Nabi Muhammad SAW.

    Perkara itu dinyatakan dalam surat ditandatangani Setiausaha Bahagian Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), Abdul Rahim Mohd Radzi, yang diserahkan kepada Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun, di pejabat KKDN, Putrajaya, semalam.

    Sebelum itu, Hishamuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Syed Faisal Albar, dipanggil memberi penjelasan kepada Ketua Setiausaha KKDN, Datuk Abdul Aziz Mohd Yusof.

    Kartun itu yang disiarkan NST Isnin lalu dan sekali lagi semalam, tidak mengandungi karikatur Rasulullah tetapi memaparkan seorang pelukis duduk bersebelahan satu papan notis bertulis Caricatures of Muhammad While You Wait.

    Berikutan itu, beberapa badan bukan kerajaan dan Pas membuat laporan polis mengenai penyiaran kartun itu.

    Sebelum ini, permit penerbitan akhbar tertua di Sarawak, Sarawak Tribune, digantung serta merta pada 9 Februari lalu kerana menyiarkan semula karikatur Nabi Muhammad SAW yang disiarkan sebuah akhbar Denmark sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

    Penerbitan edisi petang akhbar berbahasa Cina, Guang Ming Daily, turut digantung dua minggu mulai 16 Februari kerana menerbitkan gambar orang membaca akhbar yang menunjukkan karikatur itu.

    Di JITRA, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata kementerian itu sudah memanggil Ketua Pengarang serta pengarang akhbar berkenaan semalam bagi menjelaskan isu penyiaran kartun itu.

    Beliau berkata, hasil siasatan terhadap penjelasan itu akan diserahkan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik saja Perdana Menteri pulang dari Perth, Australia.

    "Keputusan sama ada permit akhbar NST akan digantung atau ditarik balik terpulang kepada penjelasan ketua pengarang serta pengarang akhbar berkenaan dan laporan yang dibuat pegawai kami,� katanya selepas Majlis Penyerahan Wang Ihsan kepada pesawah mangsa banjir di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) 2 Jitra.


    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Friday, February 17, 2006

    Mahkamah Syariah: Sesal Nikah Di Luar Negara


    SHAH ALAM: Seorang wanita menangis ketika merayu di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, supaya diringankan hukuman berikutan menyesal berkahwin di luar negara tanpa memaklumkan kepada pejabat Pendaftar, Nikah dan Rujuk negeri.

    Maizurah Ibrahim, 39, dari Sungai Buloh, di sini, dituduh melakukan kesalahan bernikah di luar kariah pemastautin dan didakwa mengikut Seksyen 40 (2) Akta Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 1984 (Pindaan 1988).

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda dan penjara atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie Mohd Kamal Ismail.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh pada 1 Jun 2001, kira-kira jam 3 petang, di sebuah pusat agama Islam di England, didapati bernikah atau berbuat sesuatu yang berupa upacara pernikahan dengan Martin William, 49.

    Tertuduh menjalani pernikahan itu tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis untuk bernikah di luar kariah masjid tempat bermastautin.

    Menjawab soalan Hakim Syarie Abu Bakar Daud, tertuduh mengaku bersalah dan faham pertuduhan serta bersetuju dengan fakta kes dan merayu diringankan hukuman kerana insaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lalgi.

    Mahkamah mensabitkan tertuduh bersalah dan menjatuhkan hukuman denda RM900 atau dua bulan penjara.

    HAKIM: Faham dengan pertuduhan yang dibacakan?

    MAIZURAH: Faham Yang Arif.

    HAKIM: Mengaku bersalah?

    MAIZURAH: Saya mengaku salah.

    HAKIM: Faham akibat daripada perlakuan bersalah itu?

    MAIZURAH: Faham Yang Arif.

    HAKIM: Masih mahu mengaku bersalah walaupun tahu akibat daripada pengakuan itu?

    MAIZURAH: Saya tiada pilihan Yang Arif.

    HAKIM: Kenapa pula tiada, kamu ada hak untuk mengaku bersalah atau tidak, kamu mengaku bersalah.

    MAIZURAH: Saya mengaku Yang Arif.

    HAKIM: Ada sesiapa memaksa atau memujuk kamu untuk mengaku bersalah?

    MAIZURAH: Tiada Yang Arif

    HAKIM: Sebelum kamu dijatuhkan hukuman, ada apa-apa rayuan?

    MAIZURAH: Saya merayu hukuman ringan dijatuhkan memandangkan sudah menyesal berkahwin di luar negara tanpa kebenaran pendaftar nikah, rujuk dan cerai negeri Selangor.


    ©The New Straits Times Press (M) Berhad

    Prinsip mengangkat martabat wanita

    Oleh: A. MOHD. RAHIMIN SIHAT
    UM-17/2/2006
    Dalam membicarakan konteks pembangunan sesebuah negara, peranan kaum wanita begitu sinonim dan tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja khususnya bagi seorang wanita yang bergelar ibu dan isteri.

    Di Malaysia, golongan wanita terus diberi kepercayaan untuk bersama-sama menganggotai barisan pentadbiran negara. Peranan dan sumbangan mereka dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, politik, kehakiman, perundangan, kewangan, kedoktoran dan sebagainya mendapat pengiktirafan dan sanjungan.

    Malah kerajaan sendiri telah mengkhususkan satu kementerian - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipimpin oleh wanita.

    Sungguhpun pihak Barat menimbulkan polemik dengan mendakwa bahawa Islam tidak memberi perhatian dan kedudukan yang wajar kepada wanita namun kaum Hawa di negara ini jauh lebih baik. Bahkan ada undang-undang yang menjamin hak-hak mereka dan kesatuan yang menguruskannya.

    Akhir-akhir ini terdapat kecenderungan daripada pihak-pihak tertentu yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan menjaja dan memperlihatkan imej mereka sebagai NGO Islam yang mendakwa membela dan memperjuangkan hak-hak wanita dan isu feminisme di negara ini.

    Beberapa NGO tertentu seolah-olah mempertikaikan kesucian undang-undang syariah dalam peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005, dengan memberi gambaran kononnya akta itu zalim dan menindas golongan wanita.

    Persoalannya, adakah benar dakwaan kumpulan ini? Adakah suara dan bantahan mereka ini berlandaskan hukum dan prinsip syariah Islam?

    Adakah kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan wanita belum memadai?

    Dan apakah kerajaan sekarang yang bertunjangkan sepuluh prinsip Islam Hadhari menindas dan mengamalkan diskriminasi terhadap wanita?

    Kita amat khuatir, dalam kebebasan kumpulan ini yang semakin aktif dan lantang menyuarakan pandangan dan bantahan terhadap isu-isu wanita, mereka lupa dan tergelincir daripada hukum-hukum dan prinsip yang digariskan oleh syarak.

    Ini kerana, isu-isu yang cuba diperdebatkan dan dibawa oleh kumpulan ini banyak berkisar dan bersangkutan dengan undang-undang dan hukum-hukum syarak. Dan apabila undang-undang dan hukum syarak ini diperlecehkan dan dipertikaikan, bagaimana masyarakat dan penganut agama lain boleh menghormati agama Islam keseluruhannya?

    Oleh demikian, sepatutnya segala permasalahan yang timbul perlu ditangani dengan bijaksana dan secara hikmah. Dakwaan yang tidak berasas perlu disangkal dan diperbetulkan dan pihak-pihak yang berautoriti perlu memberikan penjelasan dan penerangan melalui sesi perbincangan agar segala kekeliruan dan kekaburan dapat diselesaikan secara harmoni.

    Di sebuah negara kecil seperti Malaysia, apa yang diharapkan ialah kedudukan wanita yang kurang diberi perhatian kepada kedudukan yang lebih tinggi dan mulia seperti sekarang akan terus terpelihara. Semua ini memerlukan kerjasama dan sokongan daripada golongan wanita Islam sendiri.

    Walaupun peredaran zaman terus berlalu, peranan wanita seperti yang dipaparkan oleh Sayidatina Khadijah, Sayidatina Aishah dan ramai lagi Ummul Mukminin dan sahabiah perlu diteliti kisah hidup mereka untuk mencungkil kekuatan yang boleh dicontohi sebagai bekalan dalam menghadapi dunia yang terlalu mencabar.

    Sifat wanita yang dijadikan Allah dengan penuh kelembutan dan kekuatan dalaman perlu dicernakan melalui pendekatan diri kepada Allah dengan penuh ketakwaan dan memohon kekuatan dari-Nya dalam menghadapi cabaran era globalisasi ini.

    Lantaran itu, wanita Islam perlu bijak berperanan dalam hidup bermasyarakat dan mengikis tanggapan sesetengah pihak bahawa golongan ini dikatakan sebagai penyumbang kepada keruntuhan akhlak selain menjadi liabiliti yang menghalang proses pembentukan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

    Perjuangan wanita perlu didasari dengan pegangan agama kerana agamalah yang telah meletakkan mereka pada darjat yang tinggi lagi mulia dan prinsip syariah itu mesti berada di tempat pertama dalam senarai keutamaan.

    Bantahan awal kes menghina mahkamah16 Jun

    KUALA LUMPUR 16 Feb. - Mahkamah Tinggi Syariah hari ini menetapkan 16 Jun ini untuk mendengar bantahan awal pihak responden yang didakwa oleh salah seorang anak Allahyarham Sheikh Dawood atau lebih dikenali sebagai A.S. Dawood telah menghina perintah mahkamah yang dikeluarkan pada satu prosiding November tahun lalu.

    Hakim Syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid memutuskan demikian selepas dimaklumkan oleh peguam syarie, Fakhrul Zaini bahawa pihaknya akan menghantar notis bantahan awal terhadap afidavit yang difailkan oleh plaintif, Abdul Ravuff A.S. Dawood pada 21 November 2005.

    Fakhrul yang mewakili Abdul Rahiman A.S. Dawood, Mohamed Ibrahim A.S. Dawood dan Mohamed A.S. Dawood turut memberitahu bahawa anak guamnya akan membuat satu laporan polis terhadap plaintif mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan satu kenyataan palsu sebagaimana terkandung dalam perenggan 4(i) afidavit berkenaan.

    Dalam afidavitnya, Abdul Ravuff yang juga plaintif pada perbicaraan tuntutan harta pusaka A.S. Dawood berjumlah RM1 bilion menyatakan bahawa pihak responden telah dengan sengaja menghalang keadilan, tidak menghormati dan tidak mempedulikan perintah mahkamah yang telah dikeluarkan pada prosiding 15 November 2005.

    Penghakiman Nyonya Tahir - MTS Negei Sembilan


    DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI SEREMBAN DALAM NEGERI SEMBILAN
    PERMOHONAN EX PARTE :  PENGISYTIHARAN STATUS ISLAM NO. KES : 05100-099-0021-2006

    PERINTAH DIPOHON OLEH: MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN PEGAWAI AGAMA ISLAM DAERAH TAMPIN

    DI HADAPAN YANG ARIF, TUAN MOHD SHUKOR BIN SABUDIN, PMC. HAKIM, MAHKAMAH TINGGI SYARIAH, NEGERI SEMBILAN

    ATAS TUNTUTAN Plaintif, tuntutan ini dipanggil untuk perbicaraan di dalam Mahkamah Terbuka, dalam kehadiran Plaintif bersama Peguam Syarie masing-masing. MAKA PADA HARI INI YANG ARIF HAKIM TELAH MEMBUAT PENGHAKIMAN SEPERTI BERIKUT :-

    Keputusan :

    Di hadapan Mahkamah ini adalah suatu permohonan se pihak ( ex parte ) di antara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) serta Pegawai Agama Islam Daerah Tampin berhubung status dan ketentuan agama Islam Nyonya binti Tahir yang telah meninggal dunia pada tarikh
    18 Januari 2006 kerana sakit tua.

    Status agama Nyonya disedari di Balai Polis Tampin,apabila anak dan cucunya datang membuat laporan kematiannya. Ini adalah kerana dalam salinan kad pengenalan Nyonya jelas menunjukkan dia Melayu dan kebiasaannya beragama Islam sedangkan anaknya menggunakan nama Cina dan beragama Buddha.

    Bertindak di atas kejadian ini pihak Plaintif-plaintif , melalu peguam syarie mereka, Puan Siti Harlina binti Shahran, dari Tetuan Nizam Harlina & Co, telah memfailkan permohonan untuk menentukan status keIslaman si mati, Nyonya binti Tahir.

    Mahkamah, sebelum memberikan apa-apa keputusan bagi permohonan ini harus meneliti dan membuat beberapa pemerhatian dan siasatan berhubung dengan beberapa perkara dan isu penting, yang berkaitan dengannya.

    Bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah :

    Perkara utama yang harus diberikan perhatian oleh Mahkamah ini adalah, adakah Mahkamah Tinggi Syariah Seremban ini mempunyai bidangkuasanya bagi memutuskan isu dan perkara yang dipohon

    3 tersebut dan apakah si mati ini tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah ini ?

    Bagi menjawab persoalan ini, sayugia Mahkamah ini merujuk kepada seksyen 61 1 , dengan jelas menyebutkan bahawa :

    (1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa di seluruh Negeri Sembilan dan hendaklah diketuai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

    (2) Walau apa pun seksyen (1) , Ketua Hakim Syarie boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu.

    (3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-

    (a) dalam bidangkuasa jenayah, membicarakan mana-mana kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen ini atau Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1983 atau undang-undang bertulis lain yang memberi kepada Mahkamah Syariah bidangkuasa untuk membicarakan sebarang kesalahan, dan boleh mengenakan sebarang hukuman yang diperuntukkan di dalamnya; dan

    (b) dalam bidangkuasa Mal, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan dan prosiding itu ialah orang Islam dan tindakan dan prosiding itu adalah berhubungan dengan-

    (i) pertunangan, perkahwinan, ruju’, penceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman ( faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami dengan isteri;

    (ii) sebarang pelupusan atau tuntutan kepada harta yang wujud daripada perkara-perkara yang disebut dalam subperenggan (i);

    (iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan atau penjagaan (hadhanah) atau jagaan budak-budak;

    (iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

    (v) wasiat atau hibah semasa maradh-al maut;

    (vi) hibah semasa hidup atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilai wang oleh seseorang orang Islam;

    (vii) wakaf atau nazr;

    (viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat dan tidak
    berwasiat ;

    (ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang
    itu berhak;

    (x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;

    (xi) pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; dan

    (xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidangkuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

    Apakah si mati Nyonya binti Tahir, tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah ini ?

    Mahkamah ini telah dibekalkan dan dikemukakan beberapa dokumen, sepertimana berikut :
    a. Salinan Kad Pengenalan Nyonya binti Tahir, ( ditandakan sebagai P1 )
    b. Salinan Surat dari Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia, Negeri Melaka,(ditandakan sebagai P2 )
    c. Salinan Borang Permintaan Kad Pengenalan Baharu ( ditandakan sebagai P3 )
    d. Surat asal daripada Jabatan Agama Islam dan Mahkamah Kadi Alur Gajah (ditandakan sebagai P4)

    Mahkamah ini amat berpuashati bahawa Nyonya binti Tahir , No. Kad Pengenalan 180425-04-5054, ( 0203418 ) adalah beralamat di No. 3714 Taman Indah 73000 Tampin Negeri Sembilan. Melalui Ekshibit P2, dinyatakan bahawa di perenggan nombor 3, maklumat Bangsa ialah MALAY ( dilampirkan salinan fotokopi Borang NR2A ( P3 ) ). Saya menyatakan bahawa dokumen-dokumen ini adalah secara jelas menjadi bukti utama bahawa Nyonya bin Tahir adalah seorang berbangsa Melayu, bermastautin dan menetap di Tampin, Negeri Sembilan.

    Saya seterusnya ingin menarik perhatian dengan pemakaian umum ‘common practise’ perkataan Melayu di sisi undang-undang perlembagaan negara kita. Disebutkan pada Perkara 160 2 “ Melayu ” ertinya seseorang yang menganut ugama Islam, lazimnya bercakap Bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu. Mahkamah ini juga turut mengambil perhatian kepada Seksyen 5 3, yang menyebutkan :

    Jika bagi maksud Enakmen ini timbul apa-apa soal tentang sama ada seseorang itu orang Islam, soal itu hendaklah diputuskan mengikut kriterium reputasi am, tanpa membuat apa-apa percubaan untuk mempersoalkan keimanan, kepercayaan, kelakuan, perangai, watak, perbuatan atau kemungkiran orang itu.

    Berdasarkan kepada keadaan-keadaan di atas, tanpa syak lagi, saya memutuskan bahawa si mati , Nyonya binti Tahir, adalah seorang yang menganut agama Islam.

    Saya seterusnya juga berpeluang untuk membuat rujukan kepada kes Dalip Kaur dan Pegawai Polis Daerah, Bukit Mertajam4, Hakim Mahkamah Agung , Mohamed Yusoff Mohamed , telah berkata :

    “ Adalah jelas daripada kenyataan penghakiman yang dibuat oleh Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman bahawa keputusan mengenai persoalan-persoalan sama ada seseorang itu masih beragama Islam atau telah keluar daripada agama Islam sebelum mati, ialah persoalan yang melibatkan Hukum Syarak yang memerlukan penelitian serius dalam pentakrifan yang betul mengenai Hukum Syarak itu. Tanpa nas yang sah untuk menyokong hujah-hujah itu, adalah tidak mencukupi untuk mengatakan bahawa sama ada terdapat prasyarat sebelum seseorang itu menjadi Islam atau sekiranya si mati telah dibuktikan telah bersembahyang di kuil Sikh, maka ia sudah semestinyalah seorang murtad.

    Persoalan dalam kes ini, pada pandangan saya, tidak boleh ditentukan melalui penggunaan fakta secara mudah sebagaimana yang dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman semata-mata atas alasan kesahihan dan keberkaitan bukti mengikut Undang-undang Sivil. Isu yang begitu serius, pada pandangan saya, berkehendakkan perhatian oleh pakar juri yang berilmu dan berkelayakan di dalam Hukum Syarak.

    Melihat kepada keadaan ini, maka adalah mustahak supaya keputusan persoalan yang menjadi isu dalam kes ini berkehendakkan perhatian yang mendalam mengenai Hukum Syarak oleh pakar-pakar yang terlatih dan berkelayakan berbuat demikian. Forum yang layak untuk berbuat demikian ialah Mahkamah Syariah ” .

    Saya juga ingin menarik perhatian tentang kes, Majlis Agama Islam, Negeri Sembilan lwn. Hun Mun Meng 5 yang mempunyai persoalan yang serupa, yang mana diputuskan bahawa Majlis Agama Islam hendaklah menjalankan kuasanya menurut Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak ( Negeri Sembilan ) 1991, bagi menyelesaikan perkara akidah dan kepercayaan Cik Nurul Ain dan Mahkamah Tinggi Sivil tiada bidangkuasa untuk mendengar apa-apa perkara yang berada di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

    Selanjutnya, saya juga telah mengambil perhatian terhadap Perkara 121 (1A) 6 yang menyebutkan bahawa, Mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalam Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah. Dengan perkataan lain, Perlembagaan Persekutuan ini dengan sendirinya telah menjelaskan pengasingan bidangkuasa kedua-dua sistem mahkamah itu dan ia mesti dipatuhi Oleh hal yang demikian , berdasarkan kepada keadaan-keadaan yang telah diterangkan di atas , saya memutuskan bahawa penentuan samada si mati ini , Nyonya binti Tahir, seorang Islam atau tidak semasa kematiannya, adalah tertakluk di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah ini .

    Persoalan adakah si mati seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya ?

    Bagi memutuskan persoalan ini , saya harus merujuk kepada keterangan-keterangan yang dikemukakan di hadapan Mahkamah ini dan juga pandangan/pendapat ulama-ulama mengenai ehwal yang berkaitan dengannya.

    Mahkamah ini telah dibekalkan satu dokumen melalui Ekshibit bertanda P4 : Suatu dokumen yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi, Daerah Alur Gajah, Melaka, bertarikh 7 Mei 1986. Dokumen ini telah disahkan oleh Pegawai Agama Islam Daerah Alur Gajah, Encik Kamarul Saman bin Yaacub : yang mana dokumen ini berbentuk suatu surat lapuran, menyebutkan bahawa :

    Bersekedudukan Dengan Lelaki Cina,
    NYONYA BT. TAHIR / CHIANG MENG.

    Merujuk perkara di atas, dengan hormatnya dimaklumkan bahawa saya telah menjalankan siasatan dan kedudukannya adalah seperti berikut:

    a). Seorang perempuan Melayu bernama Nyonya bt. Tahir k.p.0203418 Tarikh Lahir 1918, berumur 68 tahun. Sekarang tinggal di Kampung Ulu Sungai Buluh, Alor Gajah bersama lelaki Cina Chiang Meng sudah 50 tahun lamanya.

    b). Sejak dari kecil lagi dipelihara oleh neneknya ( tidak ingat nama ) bangsa Melayu berkahwin dengan Mualaf Cina keturunan Hailam. Ia tinggal bersama dengan datuknya ( Mualaf Cina ) sejak dari kecil lagi dengan mendapat asuhan dan didikan secara Cina. Emaknya bangsa melayu bernama Nior, telah meninggal.

    c). Berkahwin dengan lelaki Cina pada tahun 1936 dalam usia 18 tahun dengan persetujuan datuknya. Suaminya bernama Chiang Meng KP 0203417, tarikh lahir 1909, mendapat 13 orang anak, sejak berkahwin dengan lelaki Cina itu, ia hidup secara Cina, menyembah Tok Kong dan makan babi. Lelaki Cina itu tidak pernah memeluk Agama Islam. Hubungan mereka berdua suami isteri berkekalan hingga ke hari ini.

    (d) Nyonya bt. Tahir tidak ada niat hendak kembali kepada Islam dan telah membuat pengakuan akan terus hidup secara Cina dan jika mati mahu ditanam secara orang Cina. Kad Pengenalannya adalah nama Melayu Nyonya binti Tahir No.0203418.
    Pada perenggan 2 , dokumen itu menyebutkan :

    2. Pada pandangan zahirnya bahawa Nyonya bt. Tahir ini tidak akan kembali kepada Islam kerana ia telah lama hidup secara orang Cina dan sejak dari kecil lagi nia dibesarkan oleh datuknya mualaf Cina dengan cara hidup orang Cina dan terasing dari masyarakat Melayu. Sekarang ia tinggal dengan suaminya di tempat yang terpencil dan berjauhan dari masyarakat melayu.

    Di dalam rumahnya terdapat Tekong Cina dan ia mengaku bahawa ia menyembah tekong itu. Semua anak-anaknya berkahwin dengan orang Cina.

    Terdahulu daripada itu, pihak Peguam Plaintif-plaintif telah memohon untuk dipanggil beberapa saksi , yang terdiri daripada anakanak si mati, yang mana boleh membantu Mahkamah ini, dalam penentuan status si mati , ibu mereka. Mahkamah bersetuju untuk dikemukakan saksi-saksi ini.

    Anak lelaki bongsu si mati , Chiang Ah Fatt , No. Kad Pengenalan 660720-05-5477 telah memberikan keterangan bahawa , sejak mereka masih kecil lagi, ibu mereka adalah seorang pemelok agama Buddha. Si mati tidak pernah mengamal cara hidupnya sebagai seorang Islam, tetapi mengamalkan cara hidup agama Buddha dan bersembahyang secara agama Buddha. Saksi ini hadhir menyatakan ke Mahkamah ini bahawa mereka menuntut mayat ibunya agar boleh disemadikan dan dikebumikan mengikut upacara pengkebumian Buddha.

    Mahkamah ini turut dikemukakan dengan suatu affidavit yang diikrarkan oleh Encik Chiang Ah Fatt , di hadapan seorang Pesuruhjaya Sumpah Law Keong Chin di Seremban. Saya meneliti affidavit ini dan saya mendapati bahawa ianya tidak memenuhi kehendak seksyen7 dan seksyen 112, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah ( Negeri Sembilan ) 2003 , kerana tidak dibuat di hadapan mana-mana Hakim Syarie atau Pendaftar.

    Walau bagaimanapun, tentang dokumen ini, saya berpendapat saya wajar mengambil tahu kandungannya ‘ take cognisance ’ di samping keterangan secara lisan saksi ini. Di dalamnya terdapat beberapa dokumen awam , seksyen 57 8, , yang mengandungi tindakan atau rekod tindakan - seperti ekshibit P4, surat Akuan si mati dan beberapa dokumen persendirian, seksyen 58 9, terdiri daripada beberapa keping gambar si mati bersama keluarga.

    Melalui saksi ini , beberapa keping gambar telah dikemukakan :

    1. Gambar-gambar perkahwinan kakak-kakaknya ( saksi ) , gambar perkahwinan saksi, hadir bersama ibu ( si mati ).

    2. Gambar-gambar keluarga, di meja minum, terdapat dua botol minuman ( dipercayai arak ) di atas meja.

    3. Gambar altar di dalam rumah, beralamat di No. 3714 Taman Indah 73000 Tampin Negeri Sembilan, yang diduduki oleh saksi bersama ibu mereka ( si mati ). Kelihatan seperti tempat sembahyang cina buddha dan colok.

    4. Gambar keluarga di hadapan hidangan meja makan, turut bersama gambar ibu saksi ( si mati ).

    5. 2 keping gambar di kawasan perkuburan bapa saksi. Kelihatan satu lubang kubur besar yang telah siap digali ( reserved ) untuk dikebumikan ibu saksi ( si mati ). Saksi ini memberitahui bahawa ibunya berpesan bahawa apabila ia mati kelak hendaklah dikebumikan secara agama Buddha, disemadikan di sebelah kubur suaminya, yang telah lama disediakan.

    Saksi seterusnya ditunjukkan kepada dokumen P4 dan mengakui bahawa salinan surat ini adalah di dalam simpanan ibu mereka. Saksi seterusnya diambil perhatiannya kepada suatu dokumen bertajuk Surat Akuan . Dokumen ini adalah di dalam simpanan ibu mereka dan dokumen itu menyatakan :

    Saya , Nyonya binti Tahir ( No. K.P. 0203418 ) yang cukup umur dan beralamat di Ulu Sungai Buluh, Alor Gajah, Melaka dengan sesungguhnya mengesahkan dan menyatakan seperti berikut :-

    1. Saya adalah seorang perempuan Melayu dan mempunyai nama Melayu seperti yang tercatit di dalam Kad Pengenalan dan di lahirkan didalam keluarga yang beragama Islam.

    2. Setelah kematian ibu saya, saya dipelihara oleh nenek yang berbangsa Melayu berkahwin dengan mualaf Cina. Semenjak dari kecil lagi saya telah dipelihara mengikut asuhan dan didikan secara Cina.

    3. Saya telah berkahwin dengan seorang lelaki Cina bernama Chiang Meng, kini ( telah meninggal ) pada tahun 1936 dan hasil dari perkahwinan saya telah melahirkan 13 orang anak yang didaftarkan mengikut nama Cina dan hidup secara orang Cina.

    4. Suami saya tidak pernah memeluk agama Islam dan selepas berkahwin saya juga telah hidup secara orang Cina.

    5. Oleh sebab itu saya tidak berniat untuk kembali kepada agama Islam dan di sini saya ingin membuat pengakuan bahawa saya telah keluar dari agama Islam dan saya akan terus hidup secara orang Cina dan jika saya mati hendaklah dikebumikan secara tradisi orang Cina.

    6. Saya membuat akuan ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut di dalamnya adalah benar serta menurut undang-undang Surat Akuan 1960. ( Dokumen bertarikh 19 Julai 1991, bercap ibu jari kanan Nyonya bte Tahir , di hadapan Chong Yong Mok, Pesuruhjaya Sumpah Melaka ( no.578 ).

    Seterusnya saksi menyatakan bahawa tempat kubur itu mendapat persetujuan daripada ibunya dahulu. Ibunya tidak mengamalkan apa-apa amalan yang merujuk kepada agama Islam.

    Ibunya juga mempunyai nama cinanya iaitu Wong Ah Kin, tetapi tidak sempat untuk didaftarkan walaupun pernah cuba untuk berbuat demikian. Saksi memberitahu bahawa beliau tinggal bersama ibunya sehinggalah nafas-nafas terakhir ibunya. Saksi ini mengulangi lagi bahawa mereka menuntut mayat ibunya untuk dikebumikan secara
    tradisi Cina ( Buddha ) kerana ibunya memang seorang Cina ( Buddha ) dan mengamalkan cara hidup sebagai seorang Buddha.

    Mahkamah seterusnya mendengar seorang lagi anak perempuan si mati Chiang Kwai Ying, 630126 05 5282, beralamat di 5496, Taman Gunung Emas, 73000 Tampin. Saksi menyatakan bahawa ia hadir untuk menyatakan agar Mahkamah ini membenarkan mereka mengebumikan mayat ibu mereka. Saksi menyatakan bahawa ibu mereka semasa hidupnya pernah menyatakan tidak mahu kembali kepada agama Islam sepertimana yang dinyatakan di dalam surat Akuan ibu mereka. Ibu ada wasiat agar dikebumikan ikut adat Cina. Ibunya tidak mengamalkan agama lain kecuali Buddha sahaja.

    Saksi mengakui bahawa ibunya ada nama cina, Wong Ah Kin semenjak tahun 1986 lagi dan pernah ke Pejabat Pendaftaran untuk tukar nama tetapi tidak dibenarkan. Saksi mengharapkan agar dapat menuntut mayat ibunya supaya dapat dikebumikan bersama / bersebelahan kubur ayah mereka.

    Pada peringkat ini , dalam menerimapakai keterangan-keterangan saksi bukan Islam ini, Mahkamah suka mengambil perhatian dan merujuk kepada Bahagian III, Pengemukaan dan Kesan Keterangan, Bab 2, SAKSI, seksyen 83 10 :

    (1) Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini, semua orang Islam adalah berwibawa untuk memberikan syahadah atau baiyyinah sebagai saksi dengan syarat bahawa mereka adalah aqil, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka.

    (2) Seorang yang bukan Islam adalah berwibawa memberikan baiyyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak.

    Huraian - Baiyyinah seorang pakar bukan Islam terhadap seorang Islam boleh diterima, jika dikehendaki.

    Berdasarkan kepada seksyen ini, Mahkamah Tinggi Syariah ini adalah mempunyai kuasa budibicaranya untuk mendengar keterangan secara baiyyinah daripada anak-anak ini, walaupun bukan Islam, berkenaan kehidupan dan laku perbuatan ibu mereka, jika apa-apa
    pernyataan mereka itu boleh diterima mengikut Hukum Syarak.

    Suatu cara pembuktian yang di sebutkan di dalam Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah , ialah qarinah 11 yang diertikan sebagai fakta yang mempunyai kaitan dengan fakta yang satu lagi dengan apa-apa cara yang disebut dalam Enakmen ini. Fakta yang, walaupun tidak menjadi persoalan, sebegitu berkaitan dengan suatu fakta persoalan sehingga menjadi sebahagian daripada transaksi yang sama ialah qarinah. Saya memahamkan dengan perkataan mudah , bahawa qarinah ini adalah apa-apa perkara , sebarang perkara, yang boleh menerangkan perihal keadaan sesuatu itu dan menjadi dalil atau tanda ,ujud atau tidaknya sesuatu itu.

    Saya suka menarik perhatian terhadap beberapa dokumen yang dikemukakan oleh saksi ini, berkaitan dengan si mati, khasnya Surat Akuan ibu mereka, bertarikh 19 Julai 1991 adalah merupakan suatu qarinah bagi kes ini. Dokumen berupa gambar-gambar, pernyataan-pernyataan dan keterangan secara baiyyinah anak-anak ini , semuanya boleh membantu Mahkamah ini dalam memberikan keputusannya , yang mana ianya adalah termasuk di dalam konteks qarinah. Dokumen yang dikemukakan, yang berupa rekod lapuran oleh Pejabat Agama Islam dan Mahkamah Kadi, Daerah Alur Gajah, Melaka, bertarikh 7 Mei 1986, juga merupakan suatu qarinah.

    Selanjutnya , saya berpendapat dan saya memutuskan bahawa semua baiyyinah ( keterangan ) ini dan semua qarinah ini wajar saya terima bagi saya membuat keputusan nanti. Saya mendapati bahawa semuanya ini adalah konsisten di antara satu dengan yang lain dan dapat membantu saya untuk mencari penyelesaian bagi kes ini.

    Seterusnya saya membuat beberapa penelitian terhadap isu utama bagi kes ini. Beberapa rujukan telah dibuat untuk menghuraikan perkara-perkara yang berkaitan dengan persoalan yang berkaitan dengan Akidah, Kepercayaan, Iman dan Kufur serta Murtad ;
    khasnya tentang pengakuan oleh si mati :

    Oleh sebab itu saya tidak berniat untuk kembali kepada agama Islam dan di sini saya ingin membuat pengakuan bahawa saya telah keluar dari agama Islam dan saya akan terus hidup secara orang Cina dan jika saya mati hendaklah dikebumikan secara tradisi orang Cina.

    dan juga perkara-perkara seperti yang diceritakan oleh anak-anak si mati , altar yang terdapat di dalam rumah si mati, gambar-gambar yang telah dikemukakan, gambar-gambar kubur dan sebagainya.

    Bagaimana Boleh Murtad ?.

    Makna riddah ( murtad ) pada bahasa ialah kembali daripada sesuatu kepada yang lain. Ia adalah sekeji-keji kekufuran dan mendapat seberat-berat hukuman.

    Pada pengertian Syarak, riddah ialah kembali daripada agama Islam kepada kekufuran, samada dengan niat atau perbuatan yang menunjukkan kepada kekufuran atau dengan perkataan yang mempersendakan, kedegilan ataupun i’tiqadDengan yang demikian, orang murtad ialah orang yang kembali daripada agama Islam kepada kekufuran. Umpamanya orang yang mengingkari kewujudan tuhan Yang Maha Pencipta, menafikan para Rasul, membohongi seseorang Rasul , menghalalkan perkara yang haram secara ijma’ seperti zina, liwat, minum arak dan melakukan kezaliman, atau mengharamkan perkara yang halal secara ijma’ seperti jualbeli dan nikah kahwin; atau menafikan perkara yang wajib yang telah disepakati ijma’ ulama ke atasnya, seperti ia menafikan satu rakaat daripada solat fardu lima waktu; atau mengiktikadkan wajib perkara yang tidak wajib secara ijma’, seperti tambah satu rakaat daripada solat fardu yang lima; atau wajib berpuasa sebahagian daripada bulan Syawal, atau berazam untuk menjadi kafir pada esok
    hari, atau berbolak balik untuk menjadi kafir.

    Contoh perbuatan yang boleh menyebabkan kekafiran ialah meletakkan al Quran atau buku hadis Nabawi ke atas perkara-perkara yang kotor atau keji, sujud / menyembah kepada berhala ataupun matahari.

    Para ulama’ telah menetapkan unsur-unsur penting mengenai kesalahan ini. Antaranya ialah dengan keluarnya seseorang itu daripada Islam, iaitu dengan tidak lagi perpegang atau mempercayai kebenaran yang dibawa oleh Islam. Seseorang itu boleh terkeluar daripada Islam atau menjadi murtad dengan salah satu daripada tiga
    cara, iaitu melalui perbuatan, pertuturan atau iktikad ( kepercayan di dalam hati ).

    Sebagai tambahan untuk memperjelaskan lagi keadaan ini, seseorang itu boleh menjadi murtad secara perbuatan apabila ia melakukan penyembahan kepada selain daripada Allah Ι seperti menyembah berhala ( patung ), matahari, bulan bintang dan sebagainya.

    Ia juga boleh berlaku apabila seseorang itu melakukan perkara yang diharamkan oleh Islam dengan sengaja dan menganggapnya sebagai halal dengan tujuan merendah-rendahkan dan menghina segala peraturan yang dibuat oleh Islam.

    Demikian juga jika ia meninggalkan perintah-perintah yang diwajibkan, di samping mengatakan perintah-perintah itu tidak diwajibkan ke atas mereka. Contohnya sebagaimana yang telah berlaku pada zaman Saidina Abu Bakar as Siddiq, sebahagian daripada umat Islam ketika itu enggan membayar zakat dengan anggapan bahawa zakat tidak lagi wajib selepas wafatnya Rasulullah SAW.

    Murtad boleh berlaku dengan penuturan perkataan yang menunjukkan kekufuran seperti mengengkari kewujudan Allah Ι,menafikan rukun-rukun iman yang lain serta menidakkan kewajipankewajipan yang dikenakan ke atas seluruh umat Islam. Ini seperti mengatakan bahawa dia tidak diwajibkan solat atau mengatakan hukum-hukum Islam hanya sesuai untuk zaman dahulu, tetapi tidak lagi sesuai untuk zaman moden ini dan lain-lain kenyataan yang menunjukkan kepada merendahkan kedudukan agama Islam itu sendiri.

    Melalui iktikad juga seseorang itu boleh murtad jika dia mempercayai sesuaitu yang bertentangan dengan akidah Islam, seperti mengiktikadkan bahawa al Quran bukan wahyu, Nabi Muhammad SAW bukan pesuruh Allah Ι atau dengan mempercayai bahawa undangundang
    ciptaan manusia adalah lebih baik daripada syariat Islam.

    Secara ringkas, ulama bersepakat bahawa dua syarat bagi kesahihan murtad ini adalah berakal waras dan pilihan sendiri( sukarela ).

    Hukuman Bagi Orang Murtad :

    Ulama telah sepakat tentang wajibnya hukuman bunuh ke atas orang murtad berdasarkan sabda Rasulullah SAW :


    “ Sesiapa yang menukar keIslamannya, bunuhlah dia ’’

    Sabda Rasulullah SAW lagi :

    Tidak halal darah seseorang Muslim kecuali dengan salah satu daripada tiga perkara : duda ( thayyib ) yang berzina, qisas nyawa dengan nyawa dan orang meninggalkan agamanya yang terpisah daripada jamaah.

    Murtad dianggap sebagai satu kesalahan besar dan dosanya tidak akan diampunkan oleh Allah Ι . Allah Ι berfirman :

    yang bermaksud :

    "Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu ia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya, di dunia dan di akhirat , dan mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya ( selama-lamanya )"
    surah al Baqarah, ayat 217.

    Allah Ι berfirman :

    “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa syirik dan Allah mengampuni segala dosa yang selain dari ( syirik ) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki Nya. Sesiapa yang mempersekutukan Allah, sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang amat besar.’’
    surah an Nisa’ : ayat 48.

    Oleh itu sebahagian besar ulama’ menyenaraikan kesalahan murtad ini sebagai satu daripada kesalahan hudud yang dikenakan hukuman mati ( bunuh ).

    Petikan daripada riwayat Sheikh Abu Sujak daripada Kitab Kifayatul Akhyar(Taqiuddin Abu Bakar bin Muhammad al Husaini, Kitab Kifayatul Akhyar,Maktabah at Taufiqiah, hal 736.) yang bermaksud:

    " Barang siapa yang keluar daripada Islam, ia diminta bertaubat tiga kali. Jika bertaubat ( diterima taubatnya dan ia kembali kepada Islam )dan jika tidak, dia dibunuh, dan tidak boleh dimandikan, tidak boleh disembahyangkan dan tidak boleh dikuburkan di perkuburan orang Islam ".

    Seterusnya di sebutkan bahawa barangsiapa yang tetap dan kekal atas kemurtadannya, ia harus ditumpahkan darahnya, disebabkan kerana ia telah melakukan perkerjaan yang paling keji dan paling berat hukumannya, iaitu kekufuran. Apabila telah dijalankan
    hukuman bunuh tersebut, maka mayat si murtad itu tidak boleh dimandikan, tidak boleh disolatkan dan tidak boleh dikuburkan bersama orang-orang Islam kerana dia adalah seorang kafir, yang tidak mempunyai hak untuk dihormati.(Taqiuddin Abu Bakar bin Muhammad al Husaini, Kitab Kifayatul Akhyar, Maktabah at Taufiqiah, hal 740.)

    Berdasarkan kepada huraian di atas adalah jelas bahawa riddah ( murtad ) itu adalah suatu kesalahan besar di sisi agama Islam dan mempunyai hukuman yang sangat berat.
    Seterusnya , bagi menentukan status si mati, Nyonya binti Tahir, berdasarkan kepada huraian di atas :

    1. Seseorang itu boleh menjadi murtad secara perbuatan apabila ia melakukan penyembahan kepada selain daripada Allah Ι seperti menyembah berhala ( patung ) dan sebagainya : si mati , Nyonya binti Tahir,

    a. melalui lapuran P4 , ... berkahwin dengan lelaki Cina pada tahun 1936 dalam usia 18 tahun dengan persetujuan datuknya. Suaminya bernama Chiang Meng KP 0203417,
    tarikh lahir 1909, mendapat 13 orang anak, sejak berkahwin dengan lelaki Cina itu, ia hidup secara Cina, menyembah Tok Kong dan makan babi.

    b. Melalui saksi anaknya, Chiang Ah Fatt, mempunyai altar di dalam rumahnya yang dihuni bersama ibunya.

    c. Melalui saksi anaknya, Chiang Kwai Ying , ibunya tidak mengamalkan agama lain kecuali amalan agama Buddha sahaja dan mahu dikebumikan bersama / bersebelahan
    kubur bapanya ( suami si mati ).

    2. Murtad boleh berlaku dengan penuturan perkataan yang menunjukkan kekufurannya ; si mati , Nyonya binti Tahir ;

    a. menyatakan melalui Surat Akuannya , ... Oleh sebab itu saya tidak berniat untuk kembali kepada agama Islam dan di sini saya ingin membuat pengakuan bahawa saya
    telah keluar dari agama Islam dan saya akan terus hidup secara orang Cina dan jika saya mati hendaklah dikebumikan secara tradisi orang Cina.

    b. Melalui lapuran P4 ; Pada pandangan zahirnya bahawa Nyonya bt. Tahir ini tidak akan kembali kepada Islam kerana ia telah lama hidup secara orang Cina dan sejak
    dari kecil lagi nia dibesarkan oleh datuknya mualaf Cina dengan cara hidup orang Cina dan terasing dari masyarakat Melayu. Sekarang ia tinggal dengan suaminya di tempat yang terpencil dan berjauhan dari masyarakat melayu. Di dalam rumahnya terdapat Tekong Cina dan ia mengaku bahawa ia menyembah tekong itu. Semua anak-anaknya berkahwin dengan orang Cina. Suka saya menarik perhatian bahawa seseorang itu boleh
    terkeluar daripada Islam atau menjadi murtad walaupun hanya melakukan salah satu daripada tiga cara berkenaan , iaitu samada melalui perbuatan, pertuturan atau iktikad ( kepercayan di dalam hati ).

    Berdasarkan kepada keadaan-keadaan di atas juga, saya pasti bahawa si mati, Nyonya binti Tahir, adalah seorang berakal waras semasa hidupnya dan melakukan perbuatan dan percakapan di atas secara sukarela dan pilihannya sendiri tanpa sebarang paksaan,
    sehinggalah kepada saat kematiannya.


    KEPUTUSAN :

    Mahkamah, setelah mendengar semua keterangan yang telah diberikan dengan bantuan pihak peguam dan juga keterangan daripada beberapa dokumen dan beberapa ekshibit yang telah dikemukakan kepada Mahkamah ini. Juga peluang yang telah diberikan kepada
    ahli-ahli waris kepada si mati di dalam Mahkamah ini, di dalam membuat penghakiman bagi permohonan ini, saya menghukumkan bahawa :

    1. Si mati Nyonya binti Tahir , Kad Pengenalan bernombor 180425-04-5054 / 02033418 adalah bukan beragama Islam semasa kematian.

    2. Mahkamah membenarkan ahli-ahli waris si mati untuk menguruskan pengkebumian mayat berkenaan.

    3. Mahkamah mengarahkan Hospital Daerah Tampin menyerahkan mayat kepada ahli waris si mati.

    Wallahu a'lam.
     

    Sample text

    Sample Text

    Sample Text