Tiga tegahan transaksi ikat pewakaf, semua pihak
BH - 3/9/2006HARTA adalah suatu keperluan yang amat dekat dengan manusia pada setiap masa dan ketika tidak kira di mana mereka berada. Ia dapat menyelamatkan manusia daripada kelaparan, kesengsaraan dan pelbagai masalah lain. Atas dasar ini juga Islam menetapkan pemeliharaan harta (hifdz al-mal) sebagai salah satu daripada maqasid syariah (matlamat atau objektif syariah) yang perlu diambil perhatian oleh manusia.
Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa manusia juga sanggup bermati-matian kerana harta. Fenomena jenayah ragut dan curi yang kininya banyak berlaku di negara kita boleh membuktikan kenyataan ini.
Pergaduhan mendapatkan harta pusaka si mati juga tidak ketinggalan dalam hal ini sehingga ada yang melarat ke tahap membawa tuntutan ke mahkamah demi mempertahankan hak dalam harta masing-masing. Hal ini turut melanda keluarga si mati yang meninggalkan harta untuk diwakafkan, sama ada membabitkan wakaf am atau wakaf khas.
Pada hakikatnya masih ramai yang tidak menyedari dan memahami bahawa harta yang diwakafkan tidak akan sekali-kali tertakluk sebagai sebahagian harta pusaka si mati. Malah, ia perlu digunakan kepada tujuan/benefisiari yang dinamakan atau tujuan am yang lain.
Kenyataan ini adalah didasarkan kepada prinsip dasar undang-undang wakaf Islam iaitu sesuatu harta yang diwakafkan tidak boleh dijual, dilupuskan untuk tujuan yang lain dan tidak pula boleh diwarisi.
Dasar di atas adalah dirujuk kepada hadis riwayat Ibn Umar yang menceritakan mengenai telah diperolehnya ketika pembahagian harta di Khaybar di mana ia adalah harta yang paling berharga dan belum pernah diperolehnya sebelum ini. Umar berhasrat untuk menyedekahkan harta berkenaan yang dikenali sebagai Thamgh ke jalan Allah. Rasulullah SAW telah memberikan pendapatnya dengan bersabda: "Kalau engkau setuju, tahanlah harta berkenaan dan sedekahkanlah manfaat (hasilnya) kepada tujuan kebajikan". Maka Umar pun bersetuju lalu menyedekahkan hasilnya kepada fakir miskin, sanak-saudaranya, untuk membebaskan hamba, kepada mereka yang bermusafir, tetamu dan ke jalan Allah dengan syarat harta berkenaan tidak boleh dijual, diwarisi dan diberikan kepada orang lain."
Frasa terakhir dalam hadis di atas menggambarkan prinsip undang-undang wakaf Islam. Prinsip ini menegaskan bahawa sesuatu harta yang diwakafkan (dipanggil mawquf) tidak boleh dibabitkan dalam mana-mana transaksi atau pindah milik seperti dijual, dicagar dan sebagainya.
Apa yang penting sekali dalam hadis tadi yang berkaitan konteks perbincangan ini adalah frasa "tidak boleh diwarisi (Ia yurathu). Ini kerana, syarak mengiktiraf segala ketetapan dan syarat yang dibuat oleh seseorang pewakaf, asalkan ia tidak bertentangan dengan hukum syarak itu sendiri.
Dalam satu maksim undang-undang wakaf, terdapat peruntukan yang berbunyi "syarat (yang ditetapkan oleh) seorang pewakaf itu seperti apa yang dinaskan oleh syarak" (syart al-waqif ka nass al-syari') dan ini amat relevan dengan pengiktirafan syarak berkenaan.
Dalam hubungan ini, Seksyen 4, Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999 (no. 7 tahun 1999) memperuntukkan prinsip undang-undang wakaf ini, iaitu "Sesuatu wakaf yang berkuat kuasa, tidak boleh dijual atau dihibah oleh waqif atau diwarisi oleh mana-mana orang".
Pada hakikatnya, dalam Islam ketiga-tiga tegahan transaksi di atas bukan saja mengikat pewakaf atau waqif, namun terpakai kepada semua pihak.
Justeru, anggota keluarga atau waris bagi si mati yang telah mewakafkan sebahagian hartanya ketika hidup hendaklah menyedari fakta hukum ini. Mereka hendaklah pasrah dengan ketentuan Ilahi ini kerana ia membabitkan persoalan hukum syarak.
Memakan harta yang diwakafkan atau mengambilnya tanpa hak adalah dianggap sebagai satu pencerobohan yang dikategorikan sebagai kezaliman dan akan dikenakan tindakan di akhirat nanti. Dalam hubungan ini, Allah melarang keras memakan harta milik orang lain yang dianggap sebagai suatu kebatilan seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 188 bermaksud: "Dan janganlah kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil."
No comments:
Post a Comment