Syarat ketat berpoligami elak tergelincir daripada syariat
FIRMAN Allah bermaksud: "Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap anak-anak yatim (perempuan), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil maka (berkahwinlah dengan) seorang saja, atau (kahwinilah) hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (Surah an-Nisa, ayat 3)
Pada awal surah an-Nisa pula, Allah memberi peringatan kepada manusia supaya bertakwa kepada-Nya dan sekalian manusia itu berasal daripada satu keturunan. Allah juga mengingatkan kita supaya saling hormat menghormati, bersatu dan menjaga hubungan sesama manusia.
Kemudian Allah memberi amaran kepada wali supaya berperanan menjaga amanahnya dengan tulus ikhlas dan tidak mencampurinya dengan kepentingan peribadi.
Ayat di atas adalah asas hujah bahawa poligami diharuskan di dalam Islam. Amalan poligami ini berlaku sejak zaman jahiliah lagi. Malah sebelum zaman Nabi Muhammad SAW, amalan ini dilakukan oleh masyarakat ketika itu.
Agama terdahulu memberi kebebasan kepada lelaki untuk berpoligami, tetapi Islam datang mengenakan syarat ketat untuk seorang suami berpoligami.
Islam walaupun membenarkan poligami, namun perkahwinan yang lebih dianjurkan adalah perkahwinan monogami bagi suami yang tidak dapat berlaku adil.
Dalam konteks ini, aspek keadilan amat ditekankan kerana keadilan kerap diabaikan oleh suami yang mengamalkan poligami. Suami yang tidak berlaku adil tentu tidak bertakwa kepada Allah dan melakukan kezaliman kepada isteri mereka.
Ulama sepakat menghukum bahawa harus berpoligami bagi lelaki yang memenuhi syaratnya.
Di Malaysia syarat ini dijadikan undang-undang di dalam mengawal poligami. Tujuan undang-undang ini bukan untuk mengharamkan poligami (yang bertentangan dengan hukum syarak), tetapi sebagai medium untuk mengawal kaum lelaki menyalahgunakan keharusan berpoligami sesuka hati mereka.
Justeru, Seksyen 23 (4) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, umpamanya, meletakkan pembuktian secara ketat pada bahu suami untuk membuktikan satu persatu bahawa:
l Perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu memandang kepada antara lain hal keadaan yang berikut iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri sedia ada;
l Beliau mempunyai kemampuan yang membolehkannya menanggung sebagaimana dikehendaki oleh hukum syarak semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan perkahwinan yang dicadangkan itu;
l Beliau berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak hukum syarak; dan
l Perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri sedia ada.
Beban pembuktian ini sebenarnya amat tidak disenangi oleh suami yang ingin berpoligami kerana amat sukar dibuktikan.
Apatah lagi Mahkamah Rayuan Syariah memutuskan di dalam kes Wan Mohd Yusoff melawan Aishah bahawa setiap satu daripada empat perkara di atas hendaklah dibuktikan satu persatu oleh suami dan bukan salah satu daripadanya.
Menyedari hakikat ini sesetengah suami bernikah lain di luar negara atau negeri yang masih belum mewartakan undang-undang keluarga Islam yang seragam itu.
Namun, berpoligami tanpa kebenaran mahkamah adalah suatu kesalahan dan jika disabitkan bersalah boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.
Ada sebahagian Hakim Syariah menjatuhkan penjara mandatori terhadap pesalah berpoligami tanpa kebenaran ini.
Tujuan hukuman penjara dijatuhkan bagi memberi pengajaran agar suami tidak mempermainkan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pembuktian ketat ini juga memberi kesan ketara dalam permohonan berpoligami. Pernah berlaku di Selangor, ketika keterangan diberi oleh isteri sedia ada, beliau mengatakan tidak membantah permohonan suami untuk berpoligami, malah mencari calon bakal isteri suaminya itu.
Begitu pun, mahkamah masih terus memeriksa syarat di atas dan didapati bahawa suami gagal memuaskan hati mahkamah mengenai salah satu daripada empat perkara yang disebutkan di atas.
Dalam keadaan ini, mahkamah memutuskan menolak permohonan suami walaupun tidak dibantah oleh isteri sedia ada. Hal ini kerana mahkamah berpendapat bahawa budi bicara mahkamah adalah terikat dengan undang-undang dan empat perkara itu masih perlu dibuktikan juga.
Dari sini, dapat disimpulkan bahawa kebenaran isteri sedia ada bukan faktor utama mahkamah memberi kebenaran untuk suami berpoligami.
Kebajikan isteri sedia ada diberi penekanan penting dalam memutuskan sesuatu permohonan berpoligami.
Tatacara khusus dalam permohonan berpoligami juga bertujuan menjaga kepentingan isteri sedia ada dan bakal isteri.
Contohnya, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri wajib memberi keterangan ketika permohonan berpoligami. Bakal isteri dan wali kepada bakal isteri perlu mengetahui permohonan berpoligami itu. Begitu juga hakikat bahawa beliau akan menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat serta mengetahui pendapatan bakal suaminya, giliran serta perkara lain yang berbangkit daripada perkahwinan dicadangkan itu.
Wali yang diamanahkan Allah menjaga anak gadisnya juga berpeluang memberi pandangannya sama ada menyetujui atau tidak permohonan menjadikan anak waliannya sebagai isteri kedua atau seterusnya.
Jika perkara ini diketahui sejak awal perkahwinan, maka keluarga bakal isteri ini akan bersedia menerima hakikat itu dan tidak timbul perselisihan faham selepas perkahwinan pula.
Dengan cara ini perkahwinan itu akan menjadi lebih telus dan timbul perasaan saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Hak berhubung dengan harta sepencarian dan nafkah juga perlu diselesaikan bagi memastikan isteri sedia ada mendapat pembelaan dan saraan yang diperlukan mengikut hukum syarak.
Bakal isteri tidak berhak untuk menuntut harta yang diperoleh oleh suaminya sebelum daripada perkahwinan mereka. Begitu juga perkahwinan yang dicadangkan tidak boleh menjejaskan atau mengurangkan hak nafkah isteri sedia ada.
Sekiranya suami mencadangkan nafkah yang kurang daripada kebiasaannya beliau berpoligami, fakta ini sendiri adalah suatu manifestasi bahawa beliau itu tidak mempunyai kemampuan yang membolehkannya menanggung semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan perkahwinan yang dicadangkan itu, mengikut hukum syarak.
Bagaimana ketat pun undang-undang yang dikanunkan, ia tidak akan dapat menjaga maslahat umat Islam sekiranya perkara utama tidak diberi perhatian. Perkara itu adalah ketakwaan kepada Allah. Jika takwa bersemi di dalam jiwa suami, isteri sedia ada dan bakal isteri, ia akan menjadi pencetus untuk menegakkan syariat agama di dalam keluarga. Ia supaya mereka tidak tergelincir daripada batasan yang dibenarkan oleh syariat.
Piawaian yang digariskan oleh hukum syarak ini (ketakwaan) di dalam berpoligami akan mendamaikan keluarga daripada persengketaan dan tergelincir daripada landasan hukum syarak.
ARTIKEL ini dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
PANDANGAN dan persoalan kemukakan kepada PGSM pada admin@pgsm.com.my, faksimile 03-80259495 atau layari www.pgsm.com.my
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment