Pages

Ads 468x60px

Sunday, January 29, 2006

``Luaskan skop kuasa syariah''

Mukadimah

UM - 29/1/2006


DUA kes menyentuh soal status agama - M. Moorthy atau Muhammad Abdullah dan Nyonya Tahir - serta polemik mengenai pindaan ke atas Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan melontarkan tumpuan umum kepada sistem keadilan syariah. Apabila membahaskan isu-isu itu, kita tidak dapat mengelak daripada merenung sekian banyak masalah yang masih membelenggu institusi kehakiman syariah - hakikat betapa martabatnya dipandang lebih rendah daripada Mahkamah Sivil.

Atas kesedaran itulah, Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, Datuk Kamilia Ibrahim baru-baru ini melontarkan idea tentang penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Syariah.

``Kita perlu reformasi menyeluruh. Kita perlu perluaskan skop bidang kuasanya kalau kita mahu meningkatkan martabat Mahkamah Syariah,'' katanya kepada wartawan NOOR AZAM SHAIRI dan MUSTAFA KAMAL BASRI, semalam.

Kamilia adalah antara kumpulan pertama graduan undang-undang yang menuntut di bawah bimbingan Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim di Universiti Malaya, dan merupakan anak murid cendekiawan itu yang pertama yang menulis tesis tentang pentadbiran Islam di negara ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Muhamad Burok melihat sikap tidak hormat kepada institusi kehakiman syariah dan undang-undang syariah itu berpunca daripada kesalahan orang Islam sendiri.

``Mahkamah Syariah adalah sebahagian daripada sistem keadilan; janganlah ia dibeza-bezakan dengan Mahkamah Sivil,'' katanya dalam wawancara berasingan.

MINGGUAN: Apakah pengajaran daripada dua kes ini?

KAMILIA: Inilah masa yang terbaik untuk kita mengkaji sistem perundangan negara, terutamanya mahkamah syariah. Inilah peluang untuk kita menerapkan gagasan Islam Hadhari yang disebut oleh Perdana Menteri. Gagasan itu seharusnya telah membuka pemikiran kita dan membuka ruang yang seluas-luasnya untuk aplikasi prinsip-prinsip Islam. Ia secara tidak langsung semacam satu reformasi kepada Islam itu sendiri.

Kenapa kewibawaan mahkamah syariah masih dianggap rendah daripada mahkamah sivil?

KAMILIA: Persepsi ini harus kita lihat dari sudut sejarah penubuhan mahkamah syariah itu sendiri; ia agak baru berbanding Mahkamah sivil. Kewibawaan Mahkamah Sivil dirasakan kerana ia mencakupi hampir semua urusan hidup kita. Mahkamah Sivil juga sudah berjaya menguatkuasakan perintahnya, dan oleh itu, kewibawaannya ternampak.

Ini adalah faktor sejarah.

Tetapi bukankah undang-undang syariah sudah lama ada, Kanun Melaka dan Undang-Undang 99 Perak, yang dilaksanakan oleh kesultanan Melayu dulu?

KAMILIA: Betul, tetapi kita perlu ingat bahawa ia tidak dilaksanakan secara formal. Malah sebelum ini kita hanya ada pejabat kadi yang bertindak sebagai mahkamah. Apa yang ada sekarang boleh dikatakan baru saja wujud apabila ada bangunan mahkamah syariah.

Persepsi itu juga wujud kerana mahkamah syariah hanya berasaskan kepada undang-undang keluarga. Apa yang lebih menyedihkan kes-kes yang mendapat perhatian ialah poligami, perceraian dan khalwat, seolah-olah hanya itu sajalah undang-undang Islam. Orang memandang rendah mahkamah syariah kerana bidang kuasanya kecil.

Kakitangannya pula dari awal hanya ada kadi saja yang selalu dilihat sebagai hakim kelas kedua. Hanya baru-baru ini saja hakim syarie diberikan kereta dan pemandu serta gelaran Datuk. Usaha mengkanunkan undang-undang Islam dan latihan kepada peguam dan hakim juga baru sejak kebelakangan ini dibuat. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 1984 itu kepada saya adalah titik tolaknya usaha kita memantapkan kehakiman syariah.

Saya melihat mahkamah syariah memerlukan masa lagi untuk membina kewibawaannya.

Tetapi itu tentunya bukan alasan.

KAMILIA: Bukan. Apa yang penting ialah proses itu harus bermula sekarang. Inilah masa yang terbaik, seperti yang saya katakan tadi untuk meningkatkan kewibawaan dan martabat mahkamah syariah sejajar dengan konsep Islam Hadhari.

Saya percaya untuk meningkatkan martabatnya kita boleh memberikan tafsiran yang lebih luas kepada apa yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk orang Islam. Mahkamah juga harus menggunakan kreativiti dalam melaksanakan undang-undang Islam kepada orang Islam. Hukum Islam itu menyeluruh. Sebagai contoh, perbankan Islam adalah undang-undang Islam, dan saya percaya ia harus diputuskan oleh mahkamah syariah.

Apakah perlu satu kesedaran baru untuk meninggikan martabat mahkamah Syariah?

KAMILIA: Sebenarnya sudah ada kesedaran di kalangan para pengamal undang-undang syariah bahawa bidang kuasa mahkamah syariah perlu diperluaskan. Ia perlu merangkumi semua aspek perundangan yang berkaitan dengan orang Islam.

Saya tidak fikir Mahkamah Sivil mampu memutuskan kes-kes perbankan Islam kerana sumber perundangannya ada dalam al-Quran, hadis dan kitab-kitab. Itu sebabnya saya percaya kalau hendak memartabatkan mahkamah syariah, kita perlu memperluaskan bidang kuasanya.

Bidang kuasa hukuman mahkamah syariah misalnya terhad kepada formula 3-5-6 (tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam sebatan). Adakah itu realistik dan setimpal?

KAMILIA: Saya percaya kita harus kembali kepada konsep hukuman dalam Islam. Kita tidak harus terikat kepada formula yang ada sekarang. Kita tidak semestinya mengatakan hukuman itu hudud kerana dalam keadaan-keadaan tertentu hudud tidak boleh dilaksanakan. Kita tidak perlu menakut-nakutkan orang dengan hudud.

Kita harus kembali kepada hukuman Islam yang penuh dengan ihsan dan kemanusiaan. Apa yang penting ialah keadilan yang membawa kepada kebaikan masyarakat. Kita jangan menghukum semata-mata kerana hendak menghukum. Kita boleh mengkaji konsep hukuman dalam Islam supaya akhirnya orang boleh melihat cantiknya Islam.

Adakah ini sebahagian daripada apa yang Datuk maksudkan sebagai reformasi itu?

KAMILIA: Saya membaca buku Justice in the Twenty-First Century tulisan bekas hakim mahkamah persekutuan Australia, Russell Fox yang melihat tentang konsep pentadbiran keadilan pada masa akan datang. Inilah juga yang sedang kita bincangkan. Misalnya apakah sistem kehakiman yang sesuai - adakah sistem adversarial yang dipakai sekarang atau sistem inquisitorial?

Saya mengatakan perlu ada reformasi undang-undang syariah kerana imej mahkamah syariah itu sendiri. Malah sebenarnya Mahkamah Sivil juga berhadapan dengan masalah imej yang sama. Mahkamah Sivil misalnya belum ada sistem yang membolehkan kes-kes diputuskan tanpa bergantung kepada soal teknikal.

Kita perlu kepada sistem yang tidak terlalu impersonal, inflexible dan imperious (tidak insani, tidak fleksibel dan angkuh). Apa yang lebih penting ialah kebenaran dan keadilan. Apakah sistem yang ada ini boleh mendapatkan kebenaran dan mencapai keadilan? Kita perlu satu reformasi yang menyeluruh supaya dalam konteks mahkamah syariah kita boleh melihat sebuah institusi kehakiman yang lebih dipercayai oleh rakyat.

Apakah kita harus kembali kepada laporan Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail lebih kurang 30 tahun lalu itu? Mungkin ada banyak lagi cadangannya yang belum dilaksanakan.

KAMILIA: Mungkin ada juga cadangan yang sudah obsolete. Kita jangan lupa antara yang perlu diberikan perhatian sekarang ialah penggunaan teknologi untuk menjamin keadilan.

Misalnya, bagaimana kita boleh tahu seorang lelaki itu telah berkahwin sekiranya tidak ada rekod perkahwinan dalam komputer dan boleh diakses oleh semua pihak berkuasa negeri? Sistem itu boleh diperkenalkan. Kalau kita mahukan sebuah mahkamah syariah yang progresif, kita harus menggunakan teknologi-teknologi baru selain menukar mindset pegawai mahkamah dan persepsi masyarakat.

Saya percaya keinginan (untuk meningkatkan martabat mahkamah syariah) itu ada, cuma bagaimana kita boleh menolaknya ke hadapan. Bidang perbankan Islam adalah satu contoh yang terbaik. Dalam konsep Islam Hadhari yang sedang ditekankan sekarang, saya sangat berharap kita akan mula melihat sistem perundangan dan kehakiman dengan lebih serius.

Kenapa suruhanjaya?

KAMILIA: Saya percaya sebuah suruhanjaya lebih berkesan daripada jawatankuasa, dan ini telah terbukti. Perubahan-perubahan yang kita bincangkan ini ada dikaji oleh Jabatan Kehakiman Syariah tetapi (Ketua Pengarahnya) Datuk Sheikh Ghazali Ab. Rahman tidak boleh keseorangan.

Reformasi undang-undang syariah yang saya sebutkan ini adalah satu katalis kepada perubahan. Salah satu objektif utamanya ialah kita hendak mencari jalan penyelesaian dari sudut perundangan kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh pelbagai kaum di negara ini. Kita hendak mencari jalan yang lebih harmoni, tidak terikat dengan pandangan yang rigid sehingga Islam itu sendiri diberi persepsi yang negatif.

Melihat ke hadapan, apakah yang harus diberikan perhatian?

KAMILIA: Kita sebenarnya sedang melihat ke hadapan. Kita boleh mengkaji undang-undang dan peraturan yang masih tidak dikemas kini, termasuk dalam soal pertukaran agama.

Undang-undang kepada saya harus praktikal, mesra dan mudah difahami. Sistem mahkamah itu saya percaya harus beralih daripada satu bentuk pertarungan (adversarial) kepada usaha mencari kebenaran dan keadilan. Dalam soal nafkah misalnya, ia adalah sesuatu yang mesti diberi dan bukannya sama ada dipohon atau tidak.

Mereka yang dilantik sebagai hakim juga tidak cukup dengan hanya ada ilmu sahaja tetapi harus juga ada kebijaksanaan. Kita harus barangkali memikirkan cara pelantikan hakim yang lebih munasabah. Kita juga sepatutnya ada Majlis Peguam Syarie yang berperanan seperti Majlis Peguam.

Apa yang penting ialah sistem kehakiman itu hendaklah mengutamakan keadilan. Peguam harus memperjuangkan keadilan dan bukannya klien dengan mencari kesilapan teknikal. Masalahnya undang-undang sudah menjadi terlalu komersial. Kita tidak mahu keadilan menjadi tempat orang membuat duit. Mahkamah ialah tempat kebenaran dan keadilan. Kalau kita mahu memartabatkan mahkamah syariah, inilah yang harus diutamakan - kebenaran dan keadilan.

Ini memang masa terbaik untuk melihat semula Mahkamah Syariah, tetapi ini bukan satu isu baru. Apakah kita akan terperangkap dengan sindrom lama - hanya membincangkannya secara bermusim, apabila ada isu berbangkit?

KAMILIA: Kita boleh terperangkap sekiranya kita membenarkan ia berlaku. Ini semua terpulang kepada kita sendiri.

Kita perlu menggabungkan tenaga fikir Islam, para peguam dan ulama - mereka yang diamanahkan oleh Allah dengan ilmu - untuk memantau mahkamah syariah atau pelaksanaan hukum Allah.

Kita tidak perlu sebenarnya menunggu krisis.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text