Pages

Ads 468x60px

Monday, January 16, 2006

Tiada diskriminasi wanita di Mahkamah Syariah

Thu, 5 Jan 2006


Tiada diskriminasi wanita di Mahkamah Syariah

Saudara Pengarang,
SAYA tidak berhasrat untuk menentang atau menafikan hak kaum wanita dalam memperkatakan tentang isu kontroversi Rang Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Pindaan) 2005. Apa yang saya ingin nyatakan adalah ikhlas berdasarkan pengalaman 16 tahun berkhidmat dengan institusi Mahkamah Syariah sebelum ditukarkan ke jabatan lain di Putrajaya pada 2001.Tujuan penjelasan saya ini supaya umum dapat mengetahui perkara sebenar dan tidak hanya mendengar kenyataan `orang luar'.

Dari pengalaman saya dan rakan-rakan, tidak pernah sekalipun wujud diskriminasi terhadap kaum wanita di Mahkamah Syariah. Malahan lebih ramai kaum wanita yang menghadapi kesulitan berurusan di Mahkamah Syariah, kita bantu hingga ke tahap sumbangan wang ringgit hasil kutipan dari semua kakitangan bagi bayaran pendaftaran kes wanita yang malang.Pernah saya dan rakan-rakan membantu seorang isteri yang mengandung anak kecilnya yang tampil untuk mendaftarkan kes dengan pakaian comot serta tidak makan sehari semalam akibat dihalau dan dipukul oleh suami.

Kami bantu wanita berkenaan kerana sayangkan organisasi kami iaitu Mahkamah Syariah. Di sinilah kami dapat mengenali dan mendampingi hakim-hakim syarie yang berakhlak mulia yang tidak jemu-jemu memberi bimbingan agama kepada semua kakitangan.Saya percaya keadaan sedemikian tidak dapat kita jumpa di mahkamah sivil yang hanya menyediakan ruang kecil untuk menghulurkan dokumen pendaftaran kes di kaunter mereka yang membataskan sebarang persoalan kepada petugas di dalamnya.Daripada pengalaman di Mahkamah Syariah, saya mendapati kaum wanita lebih senang berurusan dengan petugas lelaki daripada petugas wanita atas alasan yang selalu saya dengar dari mulut mereka sendiri bahawa petugas wanita bersikap endah tak endah dalam membantu urusan mereka dan kerap kali mengambil cuti paling tidak pun cuti bersalin.

Alasan yang sama juga saya selalu dengar di Unit Kaunseling di Jabatan Agama Islam, kaum wanita lebih menghadapi masalah ketika berurusan dengan kaunselor wanita berbanding kaunselor lelaki. Begitu juga saya dapati para isteri lebih gemar melantik Peguam Syarie dari kalangan lelaki daripada wanita kerana ujar mereka Peguam Syarie lelaki lebih menunjukkan profesionalisme mereka dalam membantu menyelesaikan kes mereka di Mahkamah.

Sebenarnya tidak wujud diskriminasi gender dalam urusan mahkamah seperti yang didakwa oleh ramai pemimpin wanita yang sekarang ini semakin giat menggesa kerajaan supaya mengutamakan kaum wanita di institusi Mahkamah Syariah termasuklah bagi memegang jawatan hakim syarie.Sekalipun kaum wanita berhujah selain daripada Jumhur Fuqaha' dan berpegang kepada Qaul Mazhab Hanafi dan Al-Imam At-Tabari yang mengharuskan pelantikan hakim dari kalangan wanita, ia bergantung kepada kelayakan kesaksian iaitu hanya dalam kes yang diharuskan wanita menjadi saksi.

Saya ingin bertanya, dari sudut pelaksanaan pentadbiran agama Islam di Malaysia yang mengamal pegangan Mazhab As-Shafie, bersediakah kerajaan negeri-negeri sekarang ini untuk melaksanakan amalan yang menjadi pegangan mazhab Hanafi dalam perkara-perkara yang di bawah kuasa pemerintah selain pegangan Jumhur? Sekiranya bab pengesahan nikah dan talak hanya boleh diterima kesaksian daripada kalangan lelaki sahaja, apatah lagi sebagai hakim. Pegangan Jumhur lebih selamat kita amalkan walaupun terdapat perbezaan pandangan mazhab dalam banyak hal berkaitan fiqh Islam kerana ketentuan Allah mempunyai hikmahnya tersendiri.Kerana itu ramai dari kalangan wanita yang berpendidikan tinggi agama tidak mahu menjadi hakim kerana mereka mengetahui hukum-hukum agama yang membataskannya. Maka dengan ini tidak sesuai kita timbulkan gesaan supaya wanita perlu membantu wanita dalam hal perundangan keluarga Islam.Kita akui peranan wanita sekarang ini begitu penting dalam segala hal termasuklah politik.

Tetapi kita juga mestilah bimbang isu-isu agama yang menyentuh integriti institusi Mahkamah Syariah yang dilaung-laungkan oleh kaum wanita kini akan menimbulkan keraguan dan pandangan rendah di kalangan penganut agama lain di negara ini dan paling tidak pun akan menjadi hujah kukuh pihak pembangkang yang suka memainkan isu agama Islam dalam menghentam dasar-dasar kerajaan.Pada pandangan saya perkara yang sering menjadi batu penghalang kepada kelancaran pentadbiran Mahkamah Syariah adalah masalah birokrasi yang wujud di negeri-negeri sehingga hendak melantik seseorang Hakim Syarie pun banyak wujudnya unsur-unsur politiking dan bersifat kenegerian yang boleh menyempitkan usaha penyeragaman dan penyelarasan undang-undang Islam itu sendiri.

Boleh saya katakan di sini hanya institusi Mahkamah Syariah sahajalah satu-satunya institusi kehakiman di negara ini yang berjaya menunjukkan prestasi kerja yang tinggi dan seragam melalui pencapaian ISO 9000-2001 dalam core business pendaftaran kes mal di semua negeri, sekalipun pentadbiran di bawah kuasa negeri-negeri bukannya Persekutuan.Seperkara lagi yang turut menyentuh integriti Mahkamah Syariah masa kini adalah bidang kuasa memutuskan seseorang itu Islam atau sebaliknya yang berlaku ketika isu kematian seorang pendaki Gunung Everest. Terdapat beberapa kolumnis yang menulis di akhbar menggesa kerajaan mengkaji semula pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 121 (1A) yang mengehadkan kuasa mahkamah Tinggi Sivil memutuskan perkara yang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti pengesahan seseorang itu Islam dengan alasan telah menimbulkan polemik di kalangan kaum di negara ini.Secara ikhlasnya apa yang ingin saya tegaskan di sini usaha dan matlamat kerajaan ketika meminda Perlembagaan Persekutuan dalam pindaan perkara 121 (1A) adalah untuk meletakkan institusi Mahkamah Syariah dapat diiktirafkan sebagai mahkamah Islam yang mempunyai kuasa mutlak memutuskan berlandaskan hukum-hakam Islam dan tidak dicabar kemudiannya oleh Mahkamah Sivil seperti sebelumnya yang lebih banyak menimbulkan polemik di kalangan kaum di negara kita.

Kita seharusnya sedar perkara yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah dalam menentukan seseorang itu Islam adalah berlandaskan Hukum Syarak dan ia merupakan hak Allah bukannya hak manusia atas alasan toleransi kaum. Kita memang digalakkan bertoleransi dalam banyak hal akan tetapi tidak dalam konteks hak Allah kerana jika secara undang-undang dan hukum syarak telah mengesahkan seseorang itu telah memeluk Islam, maka sudah sewajarnya kita meletakkan hak Allah lebih utama daripada hak manusia.

Pihak kerajaan wajib memelihara hak Allah tersebut kerana ia merupakan kewajipan pemerintah dalam Islam dan sekiranya kita mengambil mudah persoalan sebegini kita semua umat Islam dan kerajaan akan menanggung dosa akibat kegopohan kita sendiri.Sekiranya bukan Islam mempertikaikan status harta kepada ahli keluarga mereka yang memeluk Islam, itu boleh kita bincang secara toleransi kerana ia merupakan hak manusia yang boleh dikompromi yang pernah sebelum ini diselesaikan di Mahkamah Syariah tanpa sebarang masalah.Buat masa ini pada hemat saya, usahlah kita pesimis terhadap institusi Mahkamah Syariah kerana banyak lagi usaha yang patut kita laksanakan bagi memartabatkan institusi kehakiman Islam. -

AZMEE HAJI HUSSIN, Putrajaya

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text