Pages

Ads 468x60px

Saturday, January 21, 2006

121 (1A) kekal - PM -- Perbuatan 9 menteri bukan Islam serah memorandum luar biasa
UM-Sabtu-21/1/2006
Oleh: ZULKIFLEE BAKAR dan HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menegaskan bahawa Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tidak akan dipinda.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyifatkan perbuatan sembilan menteri Kabinetnya menghantar memorandum supaya dipinda perkara itu sebagai `luar biasa'.

Katanya, dengan keputusan ini bermakna kedua-dua mahkamah berkenaan kekal dengan fungsi masing-masing dan tidak timbul untuk menjadikan Mahkamah Sivil mempunyai kuasa lebih tinggi daripada Mahkamah Syariah.

``(Kedua-dua mahkamah) itu adalah dua cabang mahkamah yang berlainan, ia tidak akan menghapuskan mana-mana satu.

``Peruntukan dalam perlembagaan jelas menyatakan bidang kuasa masing-masing serta tidak ada kekeliruan mengenai perkara itu,'' katanya.

Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan koleksi puisi karya Sasterawan Negara A. Samad Said bertajuk A. Samad Said: Sebuah Antologi Puisi yang Menghimpunkan Karya-Karya Selama Lebih Setengah Abad, di sini.

Beliau mengulas tindakan sembilan menteri Kabinet bukan Islam yang mengemukakan memorandum bersama kepadanya yang meminta beliau menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama.

Memorandum itu ditandatangani oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Lim Keng Yaik, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok.

Yang lain ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn; Menteri Kesihatan Datuk Dr. Chua Soi Lek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Maximus Ongkili dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Peter Chin Fah Kui.

Perkara 121 (1A) menjelaskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Isu membabitkan perkara itu timbul berikutan kematian pendaki Everest Sarjan M.Moorthy atau Muhammad Abdullah apabila balunya, S.Kaliammal, dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) terlibat dalam perebutan untuk mengebumikan jenazah beliau. Jawi menuntut jenazah itu setelah mendapati Moorthy telah memeluk agama Islam.

Moorthy yang meninggal dunia pada 20 Disember lalu akhirnya dikebumikan oleh Jawi pada 28 Disember berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bahawa beliau adalah seorang Islam, manakala Mahkamah Tinggi memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan berikutan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Keputusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah pihak.

Ketika ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak yang mahu Mahkamah Sivil mempunyai kuasa lebih tinggi daripada Mahkamah Syariah tegas Abdullah, perkara itu tidak harus ditimbulkan.

``Mahkamah Syariah adalah Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil adalah Mahkamah Sivil, sudah ada pengagihan tugas dan tanggungjawab,'' katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu Perkara 121 (1A), Abdullah menegaskan, beliau tidak merujuk kepada isu itu semasa membuat ulasan sebelum ini.

Tegasnya, apa yang dimaksudkan beliau kalau ada undang-undang yang menimbulkan kesusahan atau salah interpretasi atau sebagainya maka perlu dilihat sama ada wajar atau tidak dibuat pindaan.

``Itu saja saya kata, saya tidak secara spesifik merujuk mana-mana undang-undang.

``Saya tidak menyatakan apa-apa pindaan kepada peruntukan yang ada di dalam Perkara 121 (1A) (tetapi) nampaknya ia dijadikan perkara yang mendapat macam-macam pandangan (sehingga) adanya (pandangan menyatakan) perlu dipinda.

``Pada saya perlembagaan itu tidak perlu dipinda. Mungkin ada undang-undang lain tetapi yang ada dalam perlembagaan itu tidak perlu dipinda,'' tegasnya.

Ditanya sekali lagi apakah di masa akan datang perlembagaan tersebut perlu dipinda, Abdullah dengan nada tegas menyatakan, ``tidak harus dan tidak mungkin dipinda.''

Ditanya apakah pilihan yang ada jika Perkara 121 (1A) tidak dipinda, Abdullah berkata, kalau ada undang-undang lain yang berkaitan dengannya yang perlu dipertimbangkan untuk dipinda, itu boleh dipertimbangkan tetapi peruntukan 121 (1A) tidak harus dipinda.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text