Pages

Ads 468x60px

Tuesday, January 03, 2006

Rang Undang-Undang Keluarga Islam WP 2005

Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan)
(Pindaan) 1
D.R. 22/2005 RANG UNDANG-UNDANG

b e r n a m a
Suatu Akta untuk meminda Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.






DIPERBUAT oleh Parlimen Malaysia seperti yang berikut:
Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa

1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005.

(2) Akta ini mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan dalam Warta.

Pindaan seksyen 2

2. Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303], yang disebut “Akta ibu” dalam Akta ini, dipinda dalam seksyen 2—

(a) dalam subseksyen (1)—
(i) dalam takrif “darar syarie”, dengan menggantikan perkataan “akhlak” dengan perkataan “maruah”;
(ii) dengan memasukkan selepas takrif “fasakh” takrif yang berikut:
‘ “Hakim Mahkamah Rayuan Syariah” ertinya seseorang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dilantik di bawah subseksyen 42(1) Akta Pentadbiran;’;
(iii) dengan menggantikan takrif ‘ “Hakim Syarie” atau “Hakim” ’ dengan takrif yang berikut:
‘ “Hakim Syarie” atau “Hakim” ertinya seseorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah atau Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik masing-masing di bawah subseksyen 44(1) atau 43(1) Akta Pentadbiran;’;
(iv) dengan menggantikan takrif “Hukum Syarak” dengan takrif yang berikut:
‘ “Hukum Syarak” ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie, atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hanbali;’;
(v) dengan memasukkan selepas takrif “Hukum Syarak” takrif yang berikut;
‘ “iqrar” ertinya suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, yang menyatakan bahawa dia mempunyai kewajipan atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak;’;
(vi) dengan memasukkan selepas takrif “nasab” takrif yang berikut:
‘ “Negeri” termasuklah Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya;’;
(vii) dalam takrif “Wilayah Persekutuan”, dengan menggantikan perkataan “atau Labuan” dengan perkataan “, Labuan atau Putrajaya”; dan Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan)
(viii) dalam takrif “Wilayah-Wilayah Persekutuan”, dengan menggantikan perkataan “dan Labuan” dengan perkataan “, Labuan dan Putrajaya”; dan

(b) dalam subseksyen (2), dengan memasukkan selepas perkataan “masing-masing oleh Akta itu” perkataan “setakat yang erti sedemikian tidak bercanggah dengan Hukum Syarak”.

Pindaan seksyen 9
3. Seksyen 9 Akta ibu dipinda—
(a) dalam subseksyen (1)—
(i) dalam perenggan (b), dengan memasukkan selepas perkataan “neneknya” perkataan “atau datuknya”; dan (ii) dalam perenggan (f), dengan memasukkan selepas perkataan “ke atas;” perkataan “dan”;
 (b) dalam subseksyen (2)—
 (i) dengan menggantikan perenggan (c) dengan perenggan yang berikut:
“(c) nenek tirinya, iaitu isteri kepada datuknya, atau datuk tirinya, iaitu suami kepada neneknya, sama ada dari sebelah bapa atau sebelah ibu;”;
 (ii) dalam perenggan (d)—
(A) dalam teks bahasa kebangsaan, dengan menggantikan perenggan (d) dengan perenggan
yang berikut: “(d) menantu perempuannya atau menantu lelakinya; dan”; dan
(B) dalam teks bahasa Inggeris, dengan memasukkan selepas perkataan “son-in-law;” perkataan “and”;
dan Rang Undang-Undang 4
(iii) dalam teks bahasa kebangsaan, dalam perenggan
(e), dengan memasukkan selepas perkataan “anak perempuan” perkataan “tirinya”; dan
(c) dalam subseksyen (4), dengan menggantikan perkataan “dua isteri” dengan perkataan “lebih daripada satu isteri”.

Pindaan seksyen 13
4. Perenggan 13(b) Akta ibu dipinda dengan menggantikan perkataan “terhadap perkahwinan itu oleh wali Raja” dengan perkataan “kepada wali Raja untuk mengakadnikahkan perkahwinan itu”.

Pindaan seksyen 14
5. Subperenggan 14(2)(b)(iii) Akta ibu dipinda dengan memasukkan selepas perkataan “janda;” perkataan “dan”.

Pindaan seksyen 23
6. Seksyen 23 Akta ibu dipinda—
(a) dengan menggantikan subseksyen (1) dengan subseksyen yang berikut:
“(1) Tiada seorang pun lelaki semasa wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.”;
(b) dengan memasukkan selepas subseksyen (1) subseksyen yang berikut:
“(1A) Sesuatu perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran Mahkamah di bawah subseksyen (1) tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini melainkan jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan itu adalah sah mengikut Hukum Syarak dan Mahkamah telah memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan tertakluk kepada seksyen 123.”;

(c) dalam subseksyen (3)—
(i) dengan menggantikan perkataan “akuan” dengan perkataan “iqrar”; dan
(ii) dengan menggantikan perkataan “dan” yang terdapat selepas perkataan “dikatakan patut” dengan
perkataan “atau”;
(d) dalam subseksyen (4)—
(i) dengan memasukkan selepas perkataan “isteri-isterinya yang sedia ada” perkataan “, bakal isteri,
wali kepada bakal isteri dan mana-mana orang lain yang, pada pendapat Mahkamah, boleh memberikan maklumat yang berhubungan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu”; dan
(ii) dalam perenggan (a), dengan menggantikan perkataan “dan” yang terdapat selepas perkataan
“adalah patut” dengan perkataan “atau”;
(e) dalam subseksyen (5), dengan menggantikan perkataan “akuan” dengan perkataan “iqrar”;
(f) dalam subseksyen (6), dengan menggantikan perkataan “Enakmen Pentadbiran bagi rayuan dalam perkara sivil” dengan perkataan “Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 [Akta 585]”; dan (g) dengan memasukkan selepas subseksyen (8) subseksyen
yang berikut:
“(9) Tiap-tiap Mahkamah yang memberikan kebenaran atau memerintahkan supaya suatu perkahwinan
didaftarkan di bawah seksyen ini hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada
perkahwinan itu—
(a) untuk menghendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteriisterinya
yang sedia ada; atau
(b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan itu melalui usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana
aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.”.

Pindaan seksyen 28
7. Seksyen 28 Akta ibu dipinda—
(a) dalam nota bahu, dengan menggantikan perkataan “Timbalan” dengan perkataan “Pendaftar Kanan,
Pendaftar”; dan
(b) dalam teks bahasa kebangsaan, dalam subseksyen (4), dengan menggantikan perkataan “(1)” dengan perkataan“(2)”.

Pindaan seksyen 31
8. Perenggan 31(2)(c) Akta ibu dipinda dengan menggantikan perkataan “akuan” dengan perkataan “iqrar”.

Pindaan seksyen 38
9. Seksyen 38 Akta ibu dipinda—
(a) dalam nota bahu, dengan menggantikan perkataan “Akuan” dengan perkataan “Iqrar”;
(b) dengan menggantikan perkataan “akuan” dengan perkataan “iqrar”;
(c) dengan menggantikan perkataan “satu” dengan perkataan “dua”; dan
(d) dengan menggantikan perkataan “enam” dengan perkataan “dua belas”.

Pindaan seksyen 42
10. Subseksyen 42(1) Akta ibu dipinda dengan menggantikan perkataan “akuan berkanun” dengan perkataan “suatu iqrar”.

Pindaan seksyen 47
11. Seksyen 47 Akta ibu dipinda—
(a) dalam subseksyen (1), dengan menggantikan perkataan “akuan” dengan perkataan “iqrar”; dan
(b) dalam subseksyen (2), dengan menggantikan perkataan “akuan berkanun” dengan perkataan “iqrar”.

Pindaan seksyen 52
12. Seksyen 52 Akta ibu dipinda—
(a) dalam subseksyen (1)—
(i) dengan memasukkan selepas perkataan “perempuan” perkataan “atau lelaki, mengikut
mana-mana yang berkenaan,”;
(ii) dalam perenggan (a), (c) dan (f), dengan memasukkan selepas perkataan “suami” perkataan
“atau isteri”;
(iii) dengan menggantikan perenggan (d) dengan perenggan yang berikut:
“(d) bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah,
kewajipan perkahwinan (nafkah batin) suami atau isteri itu, mengikut mana-mana
yang berkenaan, selama tempoh satu tahun;”;
(iv) dengan menggantikan perenggan (h) dengan perenggan yang berikut:
“(h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya, mengikut mana-mana yang
berkenaan, iaitu, antara lain—
(i) secara lazim menyakitinya atau menjadikan kehidupannya menderita
disebabkan oleh kelakuan aniaya;
(ii) berkawan dengan perempuan atau lelaki yang berperangai jahat atauhidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak;
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara tidak bermoral;
(iv) melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami menggunakan haknya di sisi undangundang terhadap harta itu;
(v) menghalang isteri atau suami daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;”;
(v) dengan menggantikan perenggan (i) dengan perenggan yang berikut:
“(i) bahawa walaupun selepas empat bulan berlalu, perkahwinan itu masih belum
disatukan kerana suami atau isteri dengan sengaja enggan disetubuhi;”; dan
(vi) dalam perenggan (k), dengan memasukkan selepas perkataan “tidak layak untuk berkahwin;” perkataan
“atau”;
(b) dengan menggantikan subseksyen (2) dengan subseksyen yang berikut:
“(2) Tiada perintah boleh dibuat atas alasan yang dinyatakan dalam perenggan (1)(c) sehingga hukuman
itu telah menjadi muktamad dan suami atau isteri itu telah pun menjalani satu tahun daripada hukuman itu.”;
(c) dalam subseksyen (3)—
(i) dengan memasukkan selepas perkataan “atas alasan” perkataan “yang dinyatakan”; dan
(ii) dengan menggantikan perkataan “enam” dengan perkataan “dua belas”; dan
(d) dalam subseksyen (4), dengan memasukkan selepas perkataan “mana-mana alasan” perkataan “yang
dinyatakan”.

Pemotongan seksyen 58
13. Akta ibu dipinda dengan memotong seksyen 58.

Pindaan seksyen 59
14. Subperenggan 59(2)(b) Akta ibu dipinda dalam teks bahasa kebangsaan dengan memasukkan selepas perkataan “kemahuan suaminya;” perkataan “atau”.

Pindaan seksyen 61
15. Seksyen 61 Akta ibu dipinda dalam teks bahasa Inggeris dengan menggantikan perkataan “regardless of” dengan perkataan “having regard to”.

Pindaan seksyen 73
16. Subseksyen 73(1) Akta ibu dipinda—
(a) dalam perenggan (c), dengan memotong perkataan “atau” yang terdapat selepas koma bernoktah;
(b) dalam perenggan (d), dengan menggantikan noktah dengan perkataan “; atau”; dan
(c) dengan memasukkan selepas perenggan (d) perenggan yang berikut:
“(e) apabila memberikan kebenaran kepada lelaki itu untuk berpoligami di bawah subseksyen 23(1).”.


Pindaan seksyen 79
17. Subperenggan 79(c)(i) Akta ibu dipinda dengan memasukkan selepas perkataan “dirinya;” perkataan “atau”.

Pindaan seksyen 81
18. Subseksyen 81(2) Akta ibu dipinda dalam teks bahasa kebangsaan—
(a) dalam perenggan (a), dengan memotong perkataan “peringkatnya”; dan
(b) dalam perenggan (c), dengan memotong perkataan “peringkatnya”.

Pindaan seksyen 107
19. Seksyen 107 Akta ibu dipinda dalam nota bahu dengan menggantikan perkataan “Injunksi terhadap gangguan” dengan perkataan “Perintah tegahan”.

Seksyen baru 107A
20. Akta ibu dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 107 seksyen yang berikut:
“Perintah larangan terhadap pelupusan harta sepencarian 107A. (1) Mahkamah boleh, atas permohonan mana-mana pihak
kepada sesuatu perkahwinan—
(a) jika mana-mana prosiding hal ehwal suami isteri masih belum selesai; atau
(b) dalam mana-mana prosiding yang Mahkamah boleh membuat perintah di bawah seksyen 122,
membuat suatu perintah melarang isteri atau suami, mengikut mana-mana yang berkenaan, daripada melupuskan apa-apa aset yang telah diperoleh mereka, secara usaha bersama atau usaha satu pihak semata-mata, semasa perkahwinan mereka berkuat kuasa jika Mahkamah berpuas hati adalah perlu untuk
berbuat demikian.
(2) Kegagalan untuk mematuhi perintah yang dibuat di bawah subseksyen (1) boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan kepada Mahkamah.”.

Pindaan seksyen 114
21. Perenggan 114(g) Akta ibu dipinda dengan memasukkan selepas perkataan “kesahtarafan;” perkataan “atau”.

Pindaan seksyen 121
22. Akta ibu dipinda dengan menggantikan seksyen 121 dengan
seksyen yang berikut:
“Rayuan
121. Apa-apa rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rendah Syariah hendaklah dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah, dan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah dibuat kepada Mahkamah Rayuan Syariah.”.

Seksyen baru 122
23. Akta ibu dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 121 tajuk dan seksyen yang berikut:
“Pembahagian Harta Sepencarian Kuasa Mahkamah untuk memerintahkan pembahagian
harta sepencarian
122. (1) Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau membuat suatu perintah perceraian, untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh pihak-pihak semasa perkahwinan mereka melalui usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya apa-apa aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak itu.
(2) Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil kira tentang—
(a) takat sumbangan yang dibuat oleh setiap pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperoleh aset itu;
(b) apa-apa hutang yang belum dijelaskan oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama
mereka; dan
(c) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada, dan, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.
(3) Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau membuat suatu perintah
perceraian, untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh semasa perkahwinan melalui usaha satu pihak kepada perkahwinan itu semata-mata dibahagikan antara pihak-pihak itu atau supaya apa-apa aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak itu.
(4) Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen (3), Mahkamah hendaklah mengambil kira tentang—
(a) takat sumbangan yang dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga; dan
(b) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada, dan, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa
kadar yang difikirkan oleh Mahkamah sebagai munasabah, tetapi, dalam apa-apa hal, pihak yang melalui usahanya aset itu telah diperoleh hendaklah menerima kadar yang lebih besar.

(5) Bagi maksud seksyen ini, sebutan tentang aset yang diperoleh semasa sesuatu perkahwinan termasuklah aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi atau melalui usaha bersama mereka.”.

Pindaan seksyen 127
24. Akta ibu dipinda dengan menggantikan seksyen 127 dengan seksyen yang berikut:
“Menganiayai isteri atau suami
127. (1) Seseorang lelaki yang menganiayai isterinya atau menipu isterinya akan hartanya, atau seseorang perempuan yang menganiayai suaminya atau menipu suaminya akan hartanya, melakukan suatu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dihukum dengan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
(2) Mahkamah boleh sebagai perintah tambahan mengarahkan lelaki atau perempuan yang telah disabitkan di bawah subseksyen (1) untuk membayar pampasan kepada isteri atau suami yang telah ditipu hartanya, mengikut mana-mana yang berkenaan.".

Pindaan seksyen 130
25. Seksyen 130 Akta ibu dipinda—
(a) dalam nota bahu, dengan menggantikan perkataan “Jadi murtad” dengan perkataan “Percubaan untuk menjadi murtad”; dan
(b) dalam teks bahasa Inggeris, dengan menggantikan perkataan “an apostate” dengan perkataan “murtad”.

Pindaan seksyen 134
26. Seksyen 134 Akta ibu dipinda—
(a) dalam subseksyen (1), dengan menggantikan perkataan“Enakmen” dengan perkataan “Akta”;

(b) dalam subseksyen (2), dengan menggantikan perkataan “Enakmen” dengan perkataan “Akta”; dan
(c) dalam perenggan (3)(c), dengan menggantikan perkataan “akuan” dengan perkataan “iqrar”.

Seksyen baru 134A
27. Akta ibu dipinda dengan memasukkan selepas seksyen 134 seksyen yang berikut:
“Hukum Syarak
134A.
(1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran peruntukan di bawah Akta ini yang tidak selaras dengan Hukum Syarak adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.
(2) Jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Akta ini, Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak.”.

HURAIAN

Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk meminda Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (“Akta 303”).
2. Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan tentang permulaan kuat kuasa Akta yang dicadangkan.
3. Fasal 2 bertujuan untuk meminda seksyen 2 Akta 303 untuk memasukkan takrif baru, untuk menggantikan takrif tertentu dan untuk memotong takrif bagi istilah tertentu yang digunakan dalam Akta 303 berbangkit daripada pindaan yang dicadangkan oleh Rang Undang-Undang ini.
4. Fasal 3 bertujuan untuk meminda seksyen 9 Akta 303 untuk menjelaskan lagi peruntukan sedia ada berkaitan dengan pertalian yang melarang perkahwinan.
5. Fasal 6 bertujuan untuk meminda seksyen 23 Akta 303 untuk membolehkan Mahkamah menghendaki seseorang lelaki yang telah diberikan kebenaran untuk mengamalkan poligami atau telah mendaftarkan perkahwinan secara poligaminya di bawah seksyen itu untuk membayar nafkah kepada isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, atau untuk memerintahkan pembahagian aset yang diperoleh mereka semasa perkahwinan itu melalui usaha mereka bersama, jika terdapat apa-apa permohonan oleh mana-mana pihak kepada perkahwinan itu.
6. Fasal 9 bertujuan untuk meminda seksyen 38 Akta 303 untuk menaikkan penalti yang diperuntukkan bagi kesalahan dengan sengaja membuat iqrar atau pernyataan palsu. Denda maksimum dinaikkan daripada RM1000.00 kepada RM2000.00 dan tempoh pemenjaraan maksimum dinaikkan daripada enam bulan
kepada dua belas bulan.
7. Fasal 12 bertujuan untuk meminda seksyen 52 Akta 303 untuk menjadikan seksyen itu selaras dengan Hukum Syarak melalui pemberian hak fasakh kepada suami dan isteri.
8. Fasal 16 bertujuan untuk meminda seksyen 73 Akta 303 untuk membolehkan Mahkamah memerintahkan seseorang lelaki untuk membayar nafkah bagi anaknya apabila membenarkan lelaki itu mengamalkan poligami di bawah subseksyen 23(1).
9. Fasal 20 bertujuan untuk memasukkan seksyen baru, iaitu seksyen 107A, ke dalam Akta 303. Seksyen baru ini bertujuan untuk membolehkan Mahkamah, atas permohonan mana-mana pihak kepada sesuatu perkahwinan, untuk membuat suatu perintah larangan terhadap pelupusan harta sepencarian oleh isteri atau
suami jika apa-apa prosiding hal ehwal suami isteri masih belum selesai di Mahkamah.
10. Fasal 22 bertujuan untuk meminda seksyen 121 Akta 303 untuk menyatakan dengan jelas bahawa rayuan terhadap mana-mana keputusan Mahkamah Rendah Syariah hendaklah dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah dan rayuan daripada Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah dibuat kepada Mahkamah Rayuan Syariah.
11. Fasal 23 bertujuan untuk memasukkan suatu seksyen baru, iaitu seksyen
122, ke dalam Akta 303. Seksyen baru ini memperkatakan kuasa Mahkamah untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian.
12. Fasal 24 bertujuan untuk meminda seksyen 127 Akta 303 untuk mengadakan peruntukan bahawa menganiayai suami atau isteri atau menipu suami atau isteri akan hartanya menjadi suatu kesalahan dan apabila disabitkan hendaklah dihukum dengan denda atau pemenjaraan atau kedua-duanya. Pindaan ini juga memberi Mahkamah kuasa untuk membuat perintah tambahan untuk mengarahkan lelaki atau perempuan yang telah disabitkan kerana menipu isterinya atau suaminya akan hartanya hendaklah membayar pampasan kepada suami atau isteri yang telah ditipu itu.
13. Fasal 27 bertujuan untuk memasukkan suatu seksyen baru, iaitu seksyen 134A, ke dalam Akta 303. Seksyen baru ini memperuntukkan bahawa Hukum Syarak akan dipakai jika terdapat apa-apa lakuna atau ketidakselarasan dalam Akta 303.
14. Pindaan lain yang tidak diperkatakan secara khusus dalam Huraian ini ialah pindaan yang kecil atau berbangkit.

IMPLIKASI KEWANGAN
Rang Undang-Undang ini tidak akan melibatkan Kerajaan dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text