Pages

Ads 468x60px

Monday, January 23, 2006

Undang-undang keluarga Islam masih jadi pertikaian umum




Oleh Halina Mohd Noor - BH-23/1/2006


TUNTUT KEADILAN: Sebahagian orang ramai yang hadir
pada satu majlis penerangan mengenai pindaan
undang-undang keluarga Islam.


Beberapa seksyen dalam Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 dikatakan menzalimi wanita

Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang diluluskan 22 Disember 2005 mengundang pelbagai kontroversi kerana disifatkan berat sebelah dan menzalimi wanita. Berdasarkan alasan ini, beberapa pertubuhan wanita meminta kerajaan menangguhkan pewartaan undang-undang berkenaan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak demi menegakkan keadilan gender.

Pindaan yang menimbulkan pertikaian adalah mengenai peruntukan hak dalam Seksyen 23 (9) yang membolehkan suami menuntut harta sepencarian dan mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang isteri melupuskan hartanya.

Turut menimbulkan kebimbangan kebanyakan pertubuhan wanita, dalam seksyen sama, isteri terpaksa memilih sama ada untuk menuntut nafkah atau pembahagian harta sepencarian apabila suami berpoligami. Apa yang menjadi persoalan, mengapa suami yang seronok ingin berpoligami, tetapi isteri pula terpaksa membahagikan harta miliknya?

Malah, beberapa pindaan dalam Seksyen 23 (4) (sila rujuk rajah) turut ditafsirkan sebagai memudahkan lagi suami berpoligami. Seksyen ini memerlukan suami membuktikan empat

elemen iaitu mampu, keuzuran isteri sedia ada dari segi jasmani seperti mandul, tidak layak untuk persetubuhan atau gila, mampu memberi layanan sama rata dan perkahwinan kedua itu tidak menyebabkan darar syarie (kemudaratan mengikut syarak) kepada isteri sedia ada.

Seandainya mahkamah berpuas hati dengan bukti ini, suami diberi keizinan untuk berpoligami. Seksyen 52 (1) turut dipertikaikan apabila hak fasakh yang selama ini milik isteri turut dilanjutkan kepada suami. Ini bermakna suami boleh menuntut fasakh di mahkamah untuk menamatkan perkahwinan atas alasan tertentu.

Hakikatnya, pindaan ini tidak sewajarnya dilihat atau ditafsir mengikut emosi dan rasa marah sehingga membuatkan kebaikan serta niat baik di dalamnya menjadi kabur. Kalau ada pun kekurangannya, ia mungkin membabitkan beberapa masalah perkataan atau istilah yang menyebabkan tafsiran berbeza mengikut kefahaman individu.

Justeru, ia sewajarnya diperhalusi dan difahami sebelum dipertikaikan.

Peguam Syarie, Zainul Rijal Abu Bakar pada Wacana Undang-Undang Keluarga Islam anjuran Jawatan Kuasa Undang-Undang dan Pelaksanaan Syariah Jemaah Islah Malaysia (JIM) dengan kerjasama Wanita JIM, memperjelaskan tidak timbul isu isteri perlu serah harta pada suami yang ingin berpoligami.

"Maksud harta sepencarian tidak termasuk harta isteri yang dibeli sebelum kahwin. Harta yang dibeli isteri ini tidak boleh dibahagikan kepada suami. Dalam Seksyen 23 (9), disebut aset dalam masa perkahwinan melalui usaha bersama di bahagi antara mereka. Seksyen ini juga tidak bermaksud memaksa isteri memilih untuk menuntut nafkah atau pembahagian harta sepencarian sebaliknya terpulang kepada mana-mana pihak sama ada suami atau isteri untuk memohon salah satu atau keduanya sekali. Tujuannya bagi mengawal perintah mahkamah ditunaikan dengan kata lain, isteri tidak perlu pergi ke mahkamah sekiranya suami ingkar perintah kerana penguatkuasaan sudah berjalan," katanya.

Selain itu, apa yang membezakan antara undang-undang lama dan baru dalam Seksyen 23 hanyalah perkataan 'Kontrak Perkahwinan' yang ditukar kepada 'Pernikahan', manakala empat elemen yang perlu dibuktikan itu kekal seperti yang termaktub dalam undang-undang sebelumnya.

"Bagi membuktikan empat elemen ini bukan mudah kerana kaya atau mampu saja tidak cukup untuk berpoligami. Ada kes di Selangor, seorang isteri bersetuju suami bernikah lagi malah, mencarikan calon madunya. Isteri itu seorang jurutera, manakala suami pula hanya kerani. Dalam hal ini, mahkamah tetap menuntut empat bukti tadi. Akhirnya permohonan suami ditolak kerana tidak cukup bukti. Begitu juga kalau suami minta izin untuk berpoligami kerana ingin mengelakkan maksiat, perkahwinan tidak perlu kecuali dapat dibuktikan isteri mandul, uzur atau gila," katanya.

Jelasnya lagi, isu memudahkan poligami tidak timbul seperti yang didakwa kerana pindaan ini sebenarnya lebih menyusahkan lelaki untuk berkahwin lagi. Sebelum poligami dibenarkan, suami dikehendaki membawa bakal isteri dan walinya atau orang lain yang pada pendapat mahkamah boleh memberi maklumat diperlukan.

Sementara itu, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Najibah Mohd Zin, berkata pindaan dalam Seksyen 23 (9) tidak bertentangan dengan undang-undang sedia wujud di seluruh dunia.

"Harta sepencarian biasanya membabitkan harta alih seperti perabot dan harta tidak alih seperti tanah atau rumah. Harta seperti insurans, KWSP dan wang simpanan pula ditakrifkan oleh mahkamah sivil sebagai harta perkahwinan.

Harta sepencarian adalah hak suami isteri sama ada ia dilupus, dijual atau dipindah milik. Walaupun satu nama tercatat pada harta itu, suami atau isteri berhak ke atasnya. Sekiranya sudah dipindah milik, suami atau isteri boleh tuntut bayaran saja," katanya.

Katanya, walaupun ada pihak mendakwa pembahagian harta sebenarnya lebih kepada hukum adat, asas harta sepencarian perlu bersandarkan hukum syarak.

Pembahagian ini melihat kepada tahap sumbangan suami dan isteri dalam memperoleh sesuatu aset. Ini bererti tidak semestinya semua harta perlu dibahagi dua. Usaha sama ini termasuk sumbangan dari segi wang dan tenaga. Usaha tunggal ialah seorang saja yang bekerja untuk beli aset itu sedangkan pasangan tidak terbabit. Ini bererti, sumbangan pasangan tiada atau kurang.

"Pindaan ini menentukan hak dan perlindungan khusus kepada wanita dan lelaki yang sama-sama mendapatkan harta itu. Bagaimanapun ia perlu dikemaskini dan diperbaiki, misalnya tidak perlu sebut usaha sama, tetapi harta saja. Peruntukan ini perlu juga mengambil kira poligami tanpa kebenaran kerana ia tidak terpakai bagi mereka yang berkahwin di sempadan," katanya.

Menyentuh mengenai pemberian fasakh kepada suami, penasihat undang-undang berpengalaman, Naim Mokhtar, berkata fasakh bukan hak mutlak isteri kerana tiada dalil khusus mengenainya.

Ia disyariatkan dalam Islam bukan saja kepada wanita, tetapi juga lelaki.

Pindaan itu dikatakan merealisasikan maksud adil tanpa menyebelahi manamana pihak.

"Sebelum mahkamah melafazkan fasakh, suami perlu membuktikan alasan kukuh untuk membubarkan perkahwinan.

Daripada 17 alasan menuntut fasakh, hanya 10 dibenarkan untuk dimohon iaitu seperti sakit, gila dan sebagainya. Pindaan ini cukup 'cantik' kerana dulu sukar untuk isteri dapatkan fasakh kerana mereka perlu buktikan.

Wujudnya pindaan ini, kita bakal melihat suami melalui trauma yang sama seperti dilalui isteri.

"Berbeza dengan talak, fasakh membubarkan perkahwinan serta-merta (bain sughra) tanpa menjejaskan jumlah talak. Ini bermakna hak talak masih kekal tiga sebaliknya jika suami lafaz talak, jumlah ini berkurangan. Pindaan ini perlu diteruskan kerana ia tepat dengan hukum syarak," katanya.

Rang Undang-undang Keluarga Islam (Pindaan) 2005. (Antara Yang Dipertikaikan)

Seksyen 23 (4)


Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana orang lain yang pada pendapat mahkamah, boleh memberi maklumat yang berhubungan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir apabila permohonan itu didengar yang hendaklah dilakukan di dalam mahkamah tertutup, dan Mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika berpuashati:

a) Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang kepada antara lain, hal-hal keadaan yang berikut iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila dipihak isteri atau isteri-isteri sedia ada.

b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan membolehkan dia menanggung,

sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syara', semua isteri dan orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu,

c)bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syara' dan

d)bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.

Seksyen 23 (9)

Tiap-tiap Mahkamah yang memberikan kebenaran atau memerintahkan supaya suatu perkahwinan didaftarkan di bawah seksyen ini hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan itu:

a) untuk mengkehendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada: atau

b) untuk memerintahkan supaya aset yang diperoleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan itumelalui usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text