Pages

Ads 468x60px

Thursday, January 19, 2006

Ketua Hakim Negara tidak boleh campuri urusan

Ketua Hakim Negara tidak boleh campuri urusan

UM 19/1/2006

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Ketua Hakim Negara tidak boleh campur tangan dalam
sebarang urusan penghakiman yang diputuskan oleh mana-mana hakim.

Sehubungan itu, keputusan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Datuk Gopal
Sri Ram Khamis lalu bahawa ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad dan Datuk
Anuar Othman didakwa mengambil RM32.5 juta daripada syarikat konsesi lebuh
raya bertol, Metramac Corporation Sdn. Bhd. (Metramac) adalah muktamad dan
sesiapa pun tidak boleh mempertikaikan keputusan mahkamah itu.

Seorang pegawai mahkamah memberitahu, Ketua Hakim Negara tidak berhak
mengeluarkan sebarang pendapat atau arahan kepada hakim terlibat kerana ia
dianggap sebagai mencampuri urusan penghakiman itu.

``Tidak timbul soal pengurusan atau pentadbiran walaupun melalui jawatan
Ketua Hakim Negara,'' tegasnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kemelut antara Halim yang menafikan kononnya beliau dan
Anuar menyeleweng wang Metramac sebanyak RM32.5 juta itu.

Ahli perniagaan itu sebaliknya menjelaskan, wang itu diperoleh secara sah
berdasarkan sepucuk surat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya
bertarikh 13 Februari 1992 yang dialamatkan kepada Metramac.

Sehubungan itu, beliau menyatakan, Hakim Sri Ram telah membuat beberapa
kenyataan buruk bukan sahaja terhadap mereka malah mengaitkan bekas
Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Dalam pada itu, Daim dalam kenyataannya melalui firma guaman, Shearn
Delamor & Co., yang mewakilinya berkata, beberapa keputusan Mahkamah
Rayuan berhubung kes Fawziah Holdings Sdn. Bhd. vs Metramac itu telah
menarik perhatiannya dan akan membuat kenyataan media mengenainya minggu
depan.

Berkaitan perkembangan berkenaan, seorang pengamal undang-undang, Khutubul
Zaman Bukhari berkata, bagi menentukan seseorang itu dianggap menghina
mahkamah atau sebaliknya ia bergantung kepada tahap kritikan pada setiap
komen yang dikeluarkan.

``Hendak kata seseorang itu tidak boleh beri komen langsung selepas
mahkamah membuat keputusan, bagi saya tidak betul.

``Oleh itu mereka yang hendak memberi komen (selepas mahkamah membuat
keputusan) perlulah memastikan kata-kata mereka tidak melampaui ke tahap
menghina mahkamah,'' tambahnya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text