Pages

Ads 468x60px

Saturday, January 21, 2006

Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan: Tidak perlu pindaan

Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan: Tidak perlu pindaan
Oleh Rasid Rahaman
BH-21/1/2006


KUALA LUMPUR: Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah tidak akan dipinda.

"Artikel itu tidak perlu dipinda. Mungkin ada seksyen lain, tapi Perkara 121 (1A) yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan tidak harus dipinda," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri menegaskan, kedudukan mahkamah sivil dan mahkamah syariah akan terus kekal kerana kerajaan tidak akan menghapuskan mana-mana bahagian dalam artikel berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan kenapa 10 menteri bukan Islam mengemukakan memorandum kepadanya Rabu lalu agar beliau menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama.

Abdullah berkata, sepatutnya kalau ada masalah, mereka perlu mengemukakannya kepada Kabinet daripada menghantar kepada beliau dalam bentuk memorandum.

"Saya tak tahu kenapa mereka bertindak cara begitu, mungkin mereka ingin memberi pandangan mereka. Tindakan mereka itu juga luar biasa kerana tak pernah jadi begitu selama ini," katanya selepas melancarkan Antologi Puisi Sasterawan Negara, A Samad Said di sini semalam.

Kelmarin, 10 anggota Kabinet bukan Islam mengemukakan memorandum bersama kepada Perdana Menteri meminta beliau menyemak semula undang-undang berkaitan pertukaran agama.

Menteri berkenaan ialah Datuk Seri Samy Vellu, Datuk Seri Ong Ka Ting, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Seri Chan Kong Choy, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, Datuk Dr Chua Soi Lek, Datuk Dr Maximus Ongkili, Datuk Peter Chin Fah Kui dan Datuk Dr Leo Michael Toyad.

Semua mereka, kecuali Toyad yang kini berada di luar negara menandatangani memorandum itu.

Isu pertukaran agama timbul berikutan kematian pendaki Everest Sarjan M Moorthy atau Muhammad Abdullah apabila balunya, S Kaliammal dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) terbabit dalam perebutan untuk mengebumikan jenazah beliau.

Muhammad, yang meninggal dunia pada 20 Disember lalu akhirnya dikebumikan oleh Jawi pada 28 Disember berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bahawa beliau adalah seorang Islam, manakala Mahkamah Tinggi memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah.

Abdullah berkata, peruntukan dalam Artikel 121 jelas menyatakan bidang kuasa yang ada hubung kait dengan undang-undang syariah dan sivil dan tidak ada kekeliruan mengenainya.

"Kedua-dua mahkamah itu mempunyai dua cabang berlainan. Tidak timbul soal selaras atau tidak selaras, Mahkamah Syariah, Mahkamah Syariahlah. Tidak ada pilihan yang lain.

"Mereka perlu memikirkan undang-undang lain yang bersabit dengannya itu, yang 'detail' yang perlu dipertimbangkan untuk dibuat pindaan tetapi Artikel 121 (1A) dalam Perlembagaan itu tidak harus dipinda," katanya.

Ditanya mengenai kewajaran 10 anggota Kabinetnya menghantar memorandum itu, Perdana Menteri berkata, secara peribadi beliau lebih suka jika memorandum itu dikemukakan kepada Kabinet, bukan kepadanya.

"Oleh sebab mereka sudah hantar kepada saya, bukan dibentangkan kepada Kabinet, saya akan baca dan kalau ada apa-apa pandangan, saya akan bawanya dalam perbincangan dengan Kabinet nanti," katanya sambil menambah isu itu akan dibincangkan pada mesyuarat akan datang dengan semua menteri terbabit dibenarkan bercakap.

Mengenai kemungkinan tindakan 10 menteri itu mencetuskan kemarahan banyak pihak di negara ini, Abdullah percaya kontroversi dapat dikawal sekiranya semua pihak mengehadkan perbincangan berhubung isu itu secara objektif.

"Soalnya cara kita bertindak, cara kita bercakap. Itu yang penting. Kalau salah bertindak dan bercakap terlalu emosi, ungkit-mengungkit tidak tentu pasal mungkin akan timbul suasana yang tidak baik.

"Tidak siapa yang ingin melihat suasana tidak baik, sekiranya perbincangan seperti ini mencetuskan satu perbalahan yang tidak baik kepada negara kita, yang mengancam pentadbiran kita selama ini, yang menikmati kestabilan politik yang membolehkan kita membangunkan negara dan bangsa," katanya.

Abdullah menegaskan, negara ini mencapai kejayaan kerana keadaannya aman dan damai, tidak seperti tempat lain yang sering berlaku peperangan serta perbalahan.

"Kita mendahulukan bangsa, kita tidak mendahulukan kaum. Kita mengutamakan apa yang menjadi perkara penting dalam kehidupan kita bersama secara aman, itu yang penting," katanya.

©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text