Pages

Ads 468x60px

Monday, January 16, 2006

Fahami Undang-Undang Keluarga Islam

Fahami Undang-Undang Keluarga Islam -
UM 16/1/2006

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Orang ramai perlu memahami tafsiran tertentu Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang akan dilaksanakan, bagi mengelakkan daripada dikatakan mendiskiriminasikan kaum wanita, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Abdullah Md. Zin.

Beliau berkata, Majlis Raja-Raja sudah bersetuju dengan penyeragaman undang-undang keluarga Islam di beberapa negeri, kecuali Wilayah Persekutuan, untuk dijadikan suatu akta yang seragam di seluruh negara.

``Terdapat beberapa isu besar yang perlu saya perjelaskan di sini yang mana kita perlu faham tafsiran dan elemen tertentu dalam pelaksanaan undang-undang ini,'' katanya ketika menggulung perbahasan mengenai rang undang-undang itu di Dewan Negara di sini hari ini.

Abdullah berkata, harta sepencarian mempunyai tiga elemen utama yang perlu diambil kira iaitu harta yang diperoleh bersama oleh suami dan isteri, harta yang diperoleh bersama semasa perkahwinan sedang berkuatkuasa dan pembahagian harta mengikut syarat tertentu mengikut hukum syarak.

``Sekarang ini ramai isteri yang bekerja, jadi pendapatan isteri itu, suami tidak boleh usik, ia menjadi hak mutlak si isteri.

``Jika si suami ingin berpoligami, suami itu tidak boleh menuntut harta sepencarian isteri yang diperoleh daripada pendapatan isteri,'' katanya dan menambah bahawa mahkamah akan menentukan beberapa bahagian harta sepencarian yang diperoleh daripada sumbangan isteri.

Beliau berkata, jika seseorang suami ingin berpoligami, hakim akan meneliti setiap butiran secara terperinci termasuk jumlah pendapatan pemohon, bilangan tangunggan dan orang yang akan ditanggung bagi memastikan pemohon benar-benar berkemampuan dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya.

Abdullah turut memuji persefahaman yang wujud antara anggota Dewan Negara lelaki dan wanita ketika membahaskan rang undang-undang tersebut, kerana memberi peluang kepada anggota Dewan Negara wanita menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap beberapa pindaan yang terkandung dalam rang undang-undang itu.

Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005, yang telah dibentang dan diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat pada 26 September lepas itu, kemudiannya diluluskan. - Bernama

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text