Pages

Ads 468x60px

Wednesday, January 18, 2006

Permohonan keluar Islam ditolak

Permohonan keluar Islam ditolak

BH Online 18/1/2005


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan seorang wanita untuk deklarasi bahawa beliau sudah tidak lagi beragama Islam.

Hakim Datuk Mohd Raus Sharif berkata, beliau tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Asiah Begam Nahurghani kerana kes berkenaan sepatutnya dibawa ke Mahkamah Syariah.

"Perkara ini, iaitu sama ada pemohon beragama Islam atau sebaliknya, membabitkan isu agama.

"Apa lagi yang perlu dikenal pasti? Mengikut kes-kes terdahulu dan nas undang-undang perkara itu patut didengar Mahkamah Syariah.

"Saya tidak boleh membuat keputusan kerana ini bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil," katanya.

Sehubungan itu, beliau membenarkan dengan kos, permohonan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membatalkan permohonan berkenaan.

Asiah sebagai plaintif diwakili peguam Gobind Singh Deo manakala defendan, MAIWP diwakili peguam Abdul Muiz Samsuri.

Dalam afidavit yang menyokong permohonannya, Asiah, 34, yang dilahirkan sebagai seorang Islam berkata, beliau menolak dan mengabaikan kepercayaannya dalam agama Islam serta menggunakan nama Nanthini, melalui Surat Ikatan dan Akuan Berkanun (masing-masing bertarikh 8 dan 13 Ogos 1997).

Asiah juga menyatakan mempunyai hak untuk menganut agama Hindu selaras dengan peruntukkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu dalam hujahnya, Gobind berkata, Mahkamah Syariah tidak berhak mengeluarkan sebarang deklarasi kerana tidak diiktiraf sebagai 'Mahkamah Tinggi' mengikut Artikel 121 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Artikel 121 (1), ada dua Mahkamah Tinggi di negara ini yang selaras bidang kuasanya, iaitu Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

"Mahkamah Syariah tidak disebut sebagai satu 'Mahkamah Tinggi' bererti ia tidak boleh mengeluarkan sebarang deklarasi sebagai Mahkamah Tinggi.

"Saya berhujah, defendan perlu membuktikan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah memang mempunyai bidang kuasa mengikut Perlembagaan Persekutuan

"Berikutan itu, plaintif mengemukakan permohonan untuk mendapatkan deklarasi ini di hadapan Yang Arif," katanya.




©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text