Pages

Ads 468x60px

Friday, January 27, 2006

‘Wajib hadir sesi kaunseling’

PUTRAJAYA: Pengamal ajaran Black Metal yang tidak mematuhi arahan
Mahkamah Syariah supaya menjalani sesi kaunseling boleh dikenakan
tindakan apabila undang-undang mengharamkan ajaran itu diwartakan
mengikut Enakmen Jenayah Syariah di setiap negeri.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustafa
Abdul Rahman, berkata mereka perlu menjalani sesi kaunseling yang
dikelolakan jabatan agama negeri supaya dapat dibimbing kembali ke
pangkal jalan.

"Jika hakim syarie yang mendengar kes memutuskan mereka perlu
menjalani sesi kaunseling, arahan itu perlu dipatuhi.

"Jika ingkar, tindakan undang-undang boleh diambil. Kita akan lakukan
sebaik undang-undang itu diwartakan di seluruh negara tidak lama
lagi," katanya semalam.

Isnin lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam memutuskan
ajaran Black Metal yang diasaskan kumpulan muzik berirama rock berat
dari Barat haram dari segi Islam.

Pengerusi Jawatankuasa, Datuk Dr Shukor Husin, berkata dengan fatwa
itu, pihak yang mengamalkan ajaran Black Metal boleh dikenakan
tindakan mengikut hukum syarak.

Pihak berkuasa agama negeri kini dalam proses mewartakan undang-undang
mengharamkan ajaran kumpulan itu mengikut Enakmen Jenayah Syariah.

Tindakan pengikut ajaran Black Metal yang memijak al-Quran, memuja
syaitan, anti-Tuhan dan mengamalkan seks bebas jelas bercanggah dengan
ajaran Islam. Namun, adalah tidak menjadi kesalahan jika seseorang
mendengar muzik Black Metal.

Mustafa berkata, Jakim dengan kerjasama jabatan agama negeri akan
memperkenalkan kaedah khusus kaunseling.

"Kita perlu mendekati kumpulan peminat Black Metal yang didapati
terpesong dan membetulkan semula amalan dan fahaman mereka yang salah
sebelum ini.

"Mereka perlu disedarkan mengenai ajaran Islam sebenar dan perbuatan
mereka bercanggah dengan seruan Islam, malah boleh menyesatkan
mereka," katanya.

Mustafa juga berkata, Jakim percaya pengikut ajaran Black Metal hanya
dalam lingkungan beratus-ratus orang tetapi tidak mungkin mencapai
1,000.

Sementara itu, Mustafa berkata, cadangan mengharamkan muzik Black
Metal perlu diperhalusi terutama dengan kementerian berkaitan.

"Kita perlu bincang secara terperinci cadangan itu. Mungkin ia lebih
sesuai untuk peminat bukan Islam dan tentunya timbul banyak isu jika
kita mengharamkannya.

"Kita tidak boleh paksa orang lain ikut (ketetapan yang dikeluarkan
berhubung Black Metal)," katanya.

Sebelum ini, karyawan dan penggiat muzik tempatan dilaporkan mendakwa
tidak wujud gejala Black Metal seperti disiarkan sesetengah media.

Malah, mereka mencabar sesiapa yang mendakwa wujudnya kelompok gejala
tidak sihat itu tampil membuktikan ada pejuang Black Metal yang
membelakangkan agama.

(c)The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text