Pages

Ads 468x60px

Thursday, January 19, 2006

Usah terpengaruh syor yang boleh gugat Islam sebagai agama rasmi

Usah terpengaruh syor yang boleh gugat Islam sebagai agama rasmi

UM 19/1/2006

SURAT KEDUA
Saudara Pengarang,
kebelakangan ini pelbagai pertubuhan agama bukan Islam di Malaysia
mendesak kerajaan untuk menggubal dan meminda perlembagaan negara yang
berkaitan dengan kepentingan dan toleransi beragama di Malaysia. Alasan
mereka untuk membela kepentingan penganut agama lain di Malaysia.

Sebagaimana kita ketahui kerajaan Malaysia sejak merdeka lagi tidak pernah
menghalang mana-mana penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran mereka,
bahkan kerajaan telah pergi terlalu jauh sehinggakan perayaan agama lain
seperti Deepavali dan Krismas disambut sebagai suatu perayaan negara.

Apakah ini tidak menjaga kepentingan penganut agama lain? Cadangan dari
pertubuhan agama bukan Islam (bahkan terdapat juga segelintir pemimpin
kerajaan bukan beragama Islam) yang mencadangkan pindaan terhadap
peruntukan ``bahawa setiap anak kepada ibu bapa yang beragama Islam adalah
automatik beragama Islam''.

Ini menunjukkan bahawa pertubuhan agama dan pemimpin itu tidak sensitif
dan tidak memahami hak Islam sebagai agama rasmi di negara ini. Dalam
Islam, ibu bapa bertanggungjawab memandu anaknya ke jalan agama yang benar
sejak awal kelahirannya lagi. Kerana itu walaupun anak itu belum lagi
mampu berkata-kata, anak ini telah diazankan dan diqamatkan untuk mengakui
bahawa kebenaran Islam dan keesaan Allah S.W.T.

Jika hak dan tanggungjawab ibu bapa Islam ini dipersoal, bererti
pemimpin-pemimpin dan pertubuhan agama bukan Islam ini telah mencabar dan
cuba mencampuri urusan dalam ajaran Islam itu sendiri.

Apakah golongan ini mahu menamakan anak-anak kepada ibu bapa Islam seorang
yang berstatus belum beragama... tanpa agama... tiada agama... atau belum
Islam?

Kepada pemimpin-pemimpin UMNO beragama Islam dan parti-parti lain yang
sudah beragama Islam, ingatlah anda dilantik dan dipilih oleh Allah
menjadi pemimpin untuk menjaga kepentingan agama Islam di Malaysia tanpa
mengenepikan keperluan penganut agama lain.

Namun, jangan sesekali mudah terpengaruh dengan cadangan dan usul yang
boleh menggugat Islam sebagai agama rasmi di Malaysia ini. Kepada pemimpin
pertubuhan agama lain, ketahuilah bahawa Islam tidak memaksa penganut
agama lain memeluk Islam.

Ingatlah bahawa jika kita cuba mencampuri urusan orang lain, akhirnya
orang lain pula akan mencampuri urusan kita.

- MOHD NOOR IDRIS,

Legeh, Jeli, Kelantan

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text