Pages

Ads 468x60px

Tuesday, January 03, 2006

Nasib wanita lebih terbela

Nasib wanita lebih terbela

Oleh Rohaniza Idris




KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang didakwa mendiskriminasi wanita, sebenarnya lebih banyak membela golongan hawa, terutama mengenai harta sepencarian dan hak isteri selepas suami berpoligami.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, ketika mempertahankan rang undang-undang yang diluluskan Parlimen Khamis lalu itu berkata, akta berkenaan sudah lengkap, malah tiada mana-mana negara yang menyediakan undang-undang seumpama itu.

“Kebanyakan pindaan dalam rang undang berkenaan memberi banyak kelebihan kepada wanita,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Akta itu antara lain membolehkan isteri memohon Mahkamah Syariah memerintahkan suami yang berpoligami membayar nafkah kepada isteri atau isteri-isterinya atau memerintahkan pembahagian aset yang diperoleh ketika perkahwinan melalui usaha bersama.

Isteri juga boleh memohon mahkamah mengeluarkan perintah larangan terhadap pelupusan harta sepencarian oleh suami jika apa-apa prosiding berkaitan hal ehwal suami isteri itu masih belum selesai di mahkamah.

Selain itu, suami yang menganiayai atau menipu harta isteri boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan serta diperintah membayar pampasan atau ganti rugi. Begitu juga sekiranya isteri berbuat demikian.

Abdullah berkata, dakwaan dan bantahan yang ditimbulkan sebenarnya bukan menyentuh akta berkenaan, sebaliknya lebih disebabkan kerisauan mengenai aspek pelaksanaan undang-undang itu.

“Daripada beberapa bantahan yang diterima, rata-rata menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksana undang-undang itu termasuk hakim dan pegawai tadbir Mahkamah Syariah.

“Saya sedih kerana mereka tidak puas hati dengan mahkamah yang mereka sifatkan prejudis dan ‘bias’ kepada wanita tetapi cuba menyalahkan undang-undang yang diluluskan Parlimen,”
katanya.

Rang undang-undang itu hangat dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk Kumpulan Bertindak Mengenai Kesaksamaan Gender (JAG) kerana didakwa berat sebelah dan menindas wanita.

Kelmarin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil, dilaporkan berkata beliau akan mengetuai delegasi ke semua negeri untuk bertemu Raja-raja Melayu bagi menyampaikan perasaan dan kehendak wanita serta memohon supaya sebahagian rang undang-undang itu diperhalusi.

Abdullah menjelaskan, undang-undang itu diwujudkan selepas pihaknya mengambil kira pandangan semua pihak melalui Jawatankuasa Teknikal Syariah dan Sivil yang dianggotai pakar undang-undang syariah, sivil serta kekeluargaan dan sosial.

Beliau berkata, orang ramai mungkin tidak memahami tafsiran tertentu dalam undang-undang berkenaan hingga mencetuskan kekeliruan.

“Ada beberapa isu besar yang perlu saya perjelaskan yang mana kita perlu faham tafsiran dan elemen tertentu dalam pelaksanaan undang-undang ini termasuk mengenai harta sepencarian dan syarat baru berpoligami.

“Harta sepencarian mempunyai tiga elemen utama yang perlu diambil kira, iaitu harta yang diperoleh bersama suami dan isteri, harta yang diperoleh bersama ketika perkahwinan sedang berkuat kuasa dan pembahagian harta berdasarkan syarat tertentu mengikut hukum syarak.

“Sekarang ini, kebanyakan wanita bekerja dan suami tidak boleh usik pendapatan isteri kerana ia menjadi hak mutlak si isteri. Dalam syarat poligami, jika suami ingin berpoligami, suami tidak boleh menuntut harta sepencarian yang diperoleh daripada pendapatan isteri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui mungkin ada beberapa peruntukan yang masih boleh dikaji dan diperhalusi supaya tidak menimbulkan kekeliruan apabila akta berkenaan dilaksanakan.

“Saya akui ada beberapa perkara yang perlu kita beri penekanan dan disemak semula untuk memantapkan lagi undang-undang itu,” katanya.

©The New Straits Times Press (M) Berhad - BH-28/12/2005

--
Using Opera's revolutionary e-mail client: http://www.opera.com/mail/

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text