Pages

Ads 468x60px

Tuesday, January 24, 2006

`Mahkamah Tinggi Syariah berlaku adil'

`Mahkamah Tinggi Syariah berlaku adil'

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
UM 24/1/2006

SEREMBAN 23 Jan. - Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban di sini hari ini supaya mayat Nyonya Tahir, 89, dikebumikan mengikut upacara Buddha membuktikan mahkamah itu turut berlaku adil kepada orang bukan Islam.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM), Muhamad Burok berkata, keputusan itu secara jelas menolak tohmahan bahawa Mahkamah Syariah langsung tidak memberi peluang kepada orang bukan Islam untuk mendapatkan keadilan.

Kes itu juga tegas beliau, menjadi petunjuk penting bahawa tidak perlunya sebarang pindaan terhadap Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan berkaitan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Katanya, ia jelas menunjukkan kedua-dua mahkamah mempunyai kepentingan sesama sendiri dan ia juga saling lengkap-melengkapi.

``Kes hari ini jelas menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah mampu mengendali dan menghadapi kes yang begitu sensitif tanpa menjejaskan kepentingan dan hak pihak yang terbabit,'' katanya ketika mengulas keputusan mahkamah berkenaan di sini.

Dalam keputusan itu, Mahkamah Tinggi Syariah tersebut memutuskan supaya mayat Nyonya Tahir diserahkan kepada warisnya untuk dikebumikan mengikut upacara Buddha selepas wanita itu diisytiharkan sebagai bukan Islam ketika meninggal dunia.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohd. Shukor Sabudin selepas mendengar permohonan ex-parte perisytiharan Islam yang dikemukakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Pengarah JHEAINS.

Menurut Mohd. Shukor, keputusan itu dibuat berdasarkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan membicarakan kes berkaitan kepentingan orang Islam, termasuk masalah akidah yang berlaku di negara ini.

Katanya, ia juga diputuskan berdasarkan kepada afidavit yang dikemukakan oleh anak bongsu Nyonya, Chiang Ah Fatt dan juga keterangannya bersama kakaknya, Chiang Kwang Ying, 43, di mahkamah hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Burok yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi PPSM dalam prosiding hari ini berkata, dalam kes itu mahkamah bukan sahaja memberi keputusan yang memihak kepada bukan Islam malah turut menjemput pihak berkenaan memberi keterangan.

``Mahkamah dalam prosiding hari ini telah memanggil anak-anak si mati memberi keterangan walaupun ia secara jelas tidak membantu pemohon (plaintif).

``Hak adalah tetap hak walaupun berlainan agama dan kepercayaan. Inilah yang berjaya dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah hari ini,'' katanya.

Muhamad berkata, sepanjang lebih 20 tahun mengendalikan kes-kes syariah, ini kali pertama orang bukan Islam dijemput oleh Mahkamah Syariah untuk membantu mahkamah mencari keadilan.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text