Pages

Ads 468x60px

Saturday, February 11, 2006

Henti Racuni Fikiran Wanita Islam Mengenai Hak, Kepentingan

BH-Rencana-11/2/2006
SELEPAS kira-kira dua bulan isu mengenai Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 menjadi topik perbincangan hangat pelbagai pihak, termasuk bantahan oleh pihak tertentu, akhirnya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, kelmarin menjelaskan bahawa undang-undang yang sudah diwartakan selepas melalui proses perbahasan dan kelulusan di Dewan Rakyat serta Dewan Negara itu, tidak menzalimi atau mencabuli hak dan kepentingan wanita, sebaliknya ia adalah undang-undang yang terbaik dalam memelihara hak dan kepentingan wanita berbanding di negara Islam lain.

Seperti dijelaskan Shahrizat, kontroversi yang timbul sebelum ini hanyalah disebabkan salah faham segelintir badan bukan kerajaan (NGO) wanita mengenai beberapa peruntukan dalam akta berkenaan, khususnya membabitkan aspek pembahagian harta sepencarian dan pembayaran nafkah apabila suami memutuskan berpoligami. Malah, ia menjadi bertambah rumit dengan adanya tafsiran negatif dan tidak tepat mengenai pelaksanaannya oleh Mahkamah Syariah. Namun, kerajaan prihatin terhadap bantahan itu menyebabkan undang-undang berkenaan tidak dikuatkuasakan sehingga ia dikemas kini Jabatan Peguam Negara dan melalui proses pindaan semula.

Bagaimanapun, masih ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, termasuk Gabungan Kumpulan Bertindak Wanita (JAG) yang sememangnya lantang membantah undang-undang berkenaan. Kita yakin Shahrizat membuat kenyataan itu selepas diberi penjelasan terperinci mengenai isu berkenaan, terutama hasil mesyuarat antara Jabatan Peguam Negara dengan pakar syariah. Memang sewajarnya isu itu diserahkan kepada mereka yang pakar untuk menguruskannya bagi mengelak lebih banyak salah faham. Kita berharap selepas ini tidak ada lagi pihak yang membuat andaian jika mereka sendiri kurang jelas mengenai isu yang dibincangkan.

Apa yang penting sekarang kementerian dan Jakim dapat menjelaskan kepada masyarakat inti pati sebenar pindaan berkenaan. Sesi penerangan dan dialog perlu diadakan supaya hasrat kerajaan tidak disalah tafsir sebagai sesuatu yang menzalimi wanita. Tidak ada sebab bagi kerajaan menzalimi mana-mana pihak, malah dalam menggubal undang-undang, pandangan pelbagai pihak turut diambil kira. Oleh itu, dakwaan dan anggapan bahawa undang-undang berkenaan dibuat oleh lelaki untuk menindas wanita jelas tidak benar, sebaliknya seperti ditegaskan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, ia dibuat kerana kerajaan prihatin dan tidak mahu nasib dan kepentingan wanita terjejas.

Selain itu, keputusan kerajaan untuk meneliti semula beberapa peruntukan yang kabur dan tidak jelas adalah langkah terbaik seperti diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kita juga mahu selepas ini tidak ada lagi pihak yang akan meracuni fikiran wanita dengan pelbagai andaian dan tohmahan. Berilah kerjasama dan keyakinan sepenuhnya kepada Peguam Negara supaya undang-undang berkenaan yang mencetuskan kontroversi boleh diperbaiki dan diperkemaskan lagi demi kepentingan semua pihak selaras hukum syarak.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text