Pages

Ads 468x60px

Thursday, February 16, 2006

Mahkamah Arah Pasangan Berpisah Secara `farakh'

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

UM 16/2/2006
MUAR 15 Feb. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan sepasang suami isteri, Muhammad Nazirul Azman Nasaruddin dan Zanariah Abdullah perlu berpisah secara `farakh' dan hanya boleh bernikah semula selepas tiga kali suci.

Keputusan farakh itu dibuat oleh Hakim Shakirin Omar di hadapan pasangan terbabit, Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Muar, Ahmad Hanif Naim dan seorang pendaftar mahkamah di kamar hakim.

Perintah itu berkuat kuasa mulai kelmarin (13 Februari).

Menurut Shakirin, pernikahan pasangan terbabit tidak sah kerana ketika majlis akad itu berlangsung, terdapat wali lain yang lebih layak.

``Nikah tersebut tidak sah dari segi hukum syarak kerana adanya wali yang lebih layak iaitu saudara lelaki seibu sebapa kepada Zanariah.

``Sehubungan itu, keputusan mahkamah hari ini menetapkan bahawa pasangan itu difarakh sehingga tiga kali khuruk (suci daripada haid) sebelum dibenarkan bernikah semula,'' katanya melalui Ahmad Hanif.

Kes pernikahan Muhammad Nazirul Azman, 24, dan Zanariah, 24, yang bernikah pada 5 Februari tahun lalu itu terpaksa diputuskan oleh Mahkamah Syariah setelah pasangan terbabit mendakwa berlaku kekhilafan berhubung penggunaan wali hakim.

Berikutan kekecewaan pasangan terbabit yang disiarkan dalam Utusan Malaysia baru-baru ini, perkara itu telah dibawa ke Mahkamah Syariah untuk diputuskan hari ini.

Pasangan itu sebelum ini mendakwa Pejabat Agama Daerah Muar tidak mengiktiraf pernikahan mereka dan mengarahkan kedua-duanya berpisah secara farakh mulai 2 Februari lalu.

Memetik laporan akhbar, majlis pernikahan yang dijalankan di rumah ibu Zanariah itu diiktiraf tidak sah kerana berlaku kekhilafan semasa pengendalian urusan pernikahan itu.

Pernikahan itu dikatakan tidak sah kerana berlaku kesilapan pada wali iaitu menggunakan wali hakim, sedangkan ketika itu adik lelaki Zanariah berada pada majlis itu.

Ekoran itu, pasangan berkenaan telah diarahkan berpisah secara farakh dan mereka hanya boleh bernikah semula selepas tiga kali suci.

Menurut Ahmad Hanif, tarikh farakh itu bermula kelmarin iaitu bersamaan dengan perintah farakh sementara yang dikeluarkan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk daerah Muar.

Sementara itu, pasangan terbabit dilihat berada di pekarangan mahkamah itu sejak pukul 8.30 pagi bersama keluarga mereka sementara menanti keputusan perbicaraan pada kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text