Pages

Ads 468x60px

Monday, February 06, 2006

Murtad: Mahkamah Tolak Permohonan Tangguh

UM 6/2/2006
KUALA TERENGGANU 5 Feb. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menolak permohonan peguam bela bekas seorang ustazah yang dituduh murtad, untuk menangguhkan perbicaraan bagi membolehkannya mengemukakan usul perisytiharan bahawa wanita terbabit tidak lagi mengamalkan ajaran Islam.

Hakim Mohammad Abdullah ketika menolak permohonan Saadiah Din, peguam yang mewakili Kamariah Ali, 55, berkata, keputusan itu dibuat kerana proses itu mungkin mengambil masa yang lama sekali gus melambatkan perbicaraan kes berkenaan.

Selain itu, menurut beliau, sekiranya kes itu ditangguhkan begitu lama, ia tidak memberikan keadilan kepada tertuduh dan pihak pendakwa.

``Tertuduh tidak tahu apa keputusan terhadapnya dan bagi pihak pendakwa, kekuatan kes itu akan pudar kerana sebagai manusia, keterangan saksi adalah berdasarkan ingatan dan pihak pendakwa juga mungkin hilang saksi (jika kes ini memakan masa terlalu lama).

``Dengan ini, mahkamah membuat keputusan menolak permohonan usul yang dikemukakan oleh peguam bela dan perbicaraan kes ini diteruskan,'' katanya.

Kamariah, seorang pengikut kumpulan ajaran sesat Ayah Pin, didakwa mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mengaku bukan Islam.

Bekas ustazah itu dituduh membuat kenyataan keluar daripada Islam di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Wan Sidek pada 12.50 tengah hari 21 Julai tahun lalu di bilik bicara Mahkamah Rendah Syariah Besut.

Mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pada perbicaraan hari ini, Hakim turut menegur Saadiah, yang baru dilantik sebagai peguam bela Kamariah bagi menggantikan Wan Mohamed Haidi Wan Jusoh, kerana gagal menyediakan usul bertulis mengenai status wanita itu sedangkan usul itu telah dimaklumkan sebelum ini.

Hakim Mohammad berkata, tindakan menggantikan peguam bela di tengah-tengah perbicaraan akan menyebabkan sesuatu perbicaraan terganggu.

Pada 14 September tahun lepas, mahkamah membenarkan Wan Mohamed Haidi menyediakan usul bertulis bagi mengesahkan sama ada Kamariah masih beragama Islam atau sebaliknya.

Mahkamah mengeluarkan arahan sedemikian kerana perbicaraan kes itu tidak boleh dijalankan di mahkamah tersebut terhadap tertuduh yang bukan beragama Islam.

``Kalau sudah tahu status tertuduh, ia akan menjimatkan masa mahkamah (daripada meneruskan perbicaraan terhadap tertuduh yang bukan Islam),'' kata Hakim Mohammad.

Sementara itu, pada perbicaraan hari ini, Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah yang menjalankan pendakwaan terhadap kes itu berkata, pihaknya mempunyai bukti yang kukuh bahawa Kamariah masih beragama Islam.

``Kita mempunyai bukti yang jelas. Sebab itu kita dakwa tertuduh di mahkamah ini,'' kata Mustafar.

Peguam tertuduh, Saadiah pula dalam hujahnya berkata, beliau tidak mengetahui bahawa satu usul bertulis mengenai status Kamariah perlu dikemukakan hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan bagi membolehkannya menyediakan satu usul berhubung perisytiharan Kamariah bahawa wanita itu telah keluar daripada Islam.

Hakim Mohammad kemudian menetapkan 1 dan 2 April ini untuk perbicaraan kes itu disambung.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text