Pages

Ads 468x60px

Saturday, February 11, 2006

Suami Isteri Terpaksa Kahwin Semula

Oleh: SUFFIAN ABU BAKAR - 11/2/2006


ZANARIAH dan Muhammad Nazirul Azman menunjukkan sijil pernikahan mereka di Muar, Johor semalam.

MUAR 10 Feb. - Sepasang suami isteri yang dinikahkan setahun lalu oleh kadi daerah ini kini terpinga-pinga, setelah pejabat agama itu memberitahu pernikahan mereka tidak sah.

Ekoran itu pasangan berkenaan Muhammad Nazirul Azman Nasaruddin, 24, dan isterinya, Zanariah Abdullah, 24, diarahkan `berpisah' (farakh). Mereka hanya boleh bernikah semula selepas tiga kali suci.

Zanariah mendakwa, pernikahan di rumahnya di Jalan Datuk Haji Kosai di sini pada 5 Februari tahun lalu diiktiraf tidak sah oleh Mufti Johor, Datuk Noh Gadut baru-baru ini.

Kedua-dua pasangan itu kini berpisah sebagai suami isteri sejak 2 Februari lalu.

Utusan Malaysia diberitahu, perpisahan itu terpaksa dilakukan kerana berlaku kekhilafan semasa pengendalian urusan pernikahan itu.

Keputusan Jabatan Agama Islam daerah itu dibuat oleh tiga orang pegawai di jabatan itu secara lisan dan tanpa sebarang hitam putih.

Menurut Zanariah, pegawai-pegawai itu memberitahu, pernikahan tersebut adalah tidak sah dan mereka dikehendaki berpisah (farakh) selama tiga kali bersuci sebelum dibenarkan bernikah semula.

``Menurut ketiga-tiga pegawai terbabit, ia tidak sah kerana berlaku kesilapan pada wali iaitu pernikahan yang kami langsungkan menggunakan wali hakim, sedangkan ketika itu adik lelaki saya masih ada.

``Apa yang saya kesalkan ialah sewaktu majlis pernikahan itu berlangsung, kami sekeluarga telah membangkitkan persoalan kenapa adik saya tidak dijadikan wali?

``Namun pegawai pendaftar nikah Mukim Parit Bakar berkata, dia lebih arif dalam menjalankan urusan pernikahan itu dan tidak perlu menggunakan wali adiknya,'' dakwanya di sini hari ini.

Adik lelaki Zanariah, Mohd. Shafiq berusia 19 tahun ketika itu dan layak menjadi wali setelah kematian bapa mereka, manakala abangnya, Mohd. Bahauldeen, 25, pula berada di luar negara ketika upacara itu berlangsung.

Zanariah merupakan pelajar tahun dua Kursus Ijazah Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam manakala suaminya bekerja sebagai juruteknik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, dia dimaklumkan mengenai ketidaksahihan pernikahannya itu baru-baru ini sewaktu kakaknya menguruskan proses pernikahannya yang dijangka pada Mac depan dengan pejabat agama itu.

Apa yang lebih mengecewakan mereka, katanya, pegawai jabatan terbabit pernah memaklumkan kepadanya bahawa kejadian seperti itu pernah berlaku di Perak, dan dia tidak sepatutnya memperbesar-besarkan hal itu ke pengetahuan pihak umum.

Sementara itu, Kadi Daerah Muar, Ahmad Hanif Naim memberitahu, daripada penjelasan yang diterimanya, beliau mengklasifikasikan kes itu sebagai nikah fasil, iaitu pernikahan yang tersilap tanpa disedari kedua-dua pasangan dan jika mereka mempunyai anak hasil perkahwinan itu, ia masih boleh dibinkan kepada pasangan lelaki.

``Jabatan juga tidak menolak kemungkinan terdapat faktor kekhilafan dalam mengendalikan kes ini dan berjanji akan menyiasat serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai yang terlibat,'' jelasnya.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text