Pages

Ads 468x60px

Thursday, February 23, 2006

Pengarah Akaun Hotel `dipaksa' Berhenti Kerana Bertudung

Oleh AZMAN CHE MAN


HABSAH Jaafar sambil diperhatikan Subahan Kamal menjelaskan isu larangan bertudung oleh majikannya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO di sini, semalam. - Gambar ZAINI HUSIN.
UM-23/2/2006

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Seorang pengarah akaun sebuah hotel bertaraf lima bintang di ibu negara kecewa apabila terpaksa melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak lebih 10 tahun lalu semata-mata kerana memakai tudung.

Habsah Jaafar, 46, mendakwa beliau terpaksa berbuat demikian setelah diberi kata dua oleh pengurusan hotel terbabit sama ada mematuhi peraturan yang melarang pemakaian tudung ketika bekerja atau melepaskan jawatannya.

Kata beliau, tindakan pengurusan hotel terbabit yang memberikan pelbagai `tekanan' seperti menghalangnya daripada datang ke tempat kerja jika memakai tudung turut memaksa beliau membuat keputusan berhenti kerja pada 17 Februari lalu.

``Mereka (pengurusan hotel) bimbang jika saya datang kerja dengan bertudung, ia akan mempengaruhi pekerja-pekerja lain untuk berbuat demikian,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Pergerakan Pemuda UMNO di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Biro Kebajikan dan Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Subahan Kamal.

Menurut Habsah, isu itu mula timbul apabila beliau memohon untuk bercuti setelah mendapat tawaran mengerjakan haji pada bulan Disember lalu.

Bagaimanapun katanya, permohonan untuk bercuti bagi menunaikan haji walaupun tanpa gaji ditolak dan hanya diluluskan lima hari sebelum beliau bertolak ke Tanah Suci.

``Dalam pertemuan dengan pengurusan tertinggi hotel, saya juga diberikan `gambaran' supaya berhenti kerja jika ingin mengerjakan haji,'' katanya.

Habsah berkata, sekembalinya daripada mengerjakan haji, beliau yang sebelum itu mendakwa `terpaksa' membuka tudung ketika bertugas memutuskan untuk memakai tudung ketika masuk kerja pada 9 Februari lalu.

Ekoran keputusan itu katanya, beliau telah dipanggil pengurusan hotel terbabit dan diberikan kata dua sama ada membuka tudung ketika bertugas atau berhenti kerja.

``Sebagai orang Islam, bila mereka suruh saya buka tudung, saya rasa seolah-olah mereka suruh saya berbogel,'' katanya yang sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang perhotelan.

Sementara itu, Subahan berkata, pihaknya amat kecewa dengan tindakan segelintir pengurusan hotel terutama bertaraf lima bintang yang melarang pekerja mereka mengenakan tudung ketika bekerja.

Katanya, tindakan hotel terutama yang diuruskan oleh rakyat asing, mengeluarkan garis panduan berpakaian sendiri itu seolah-olah memperlekehkan budaya serta amalan agama rakyat negara ini selain menafikan hak wanita Muslim mengamalkan suruhan agama mereka.

``Sebagai rakyat asing yang mencari rezeki di negara ini, mereka sepatutnya belajar menghormati budaya dan amalan agama rakyat negara ini,'' katanya.

Sementara itu, Hotel Renaissance menjelaskan, langkah Habsah Jaafar meletakkan jawatan sebagai pengarah akaun hotel tersebut bukan disebabkan beliau tidak dibenarkan memakai tudung.

Sebaliknya dalam kenyataan kepada Bernama, hotel tersebut menegaskan, peletakan jawatan Habsah itu ekoran hal antara beliau dengan hotel yang sulit dan tidak boleh didedahkan demi menghormati Habsah.

Oleh itu, menurut kenyataan berkenaan Habsah boleh memilih untuk kembali bekerja dengan memakai pakaian semasanya.

Dalam kenyataan dua muka surat bagi menjelaskan isu itu, Renaissance Kuala Lumpur berkata, sebagai sebuah hotel antarabangsa, ia mempunyai kakitangan dari segala peringkat masyarakat dan pihak pengurusan menghormati kepercayaan, agama dan tradisi setiap individu.

No comments:

 

Sample text

Sample Text

Sample Text