BH-11/2/2006 |
KUALA LUMPUR: Perakuan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa pindaan Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) Pindaan 2005, tidak menzalimi wanita disambut baik pelbagai pihak.
Malah, mereka memuji ketegasan kerajaan membuat keputusan walaupun ia bersikap terbuka dan bersedia mendengar pandangan pihak yang mempertikaikan undang-undang itu selepas ia diluluskan Parlimen sebelum ini.
Setiausaha Biro Agama Umno, Datuk Othman Desa, ketegasan kerajaan dalam menyelesaikan isu ini benar-benar melegakan rakyat, terutama orang Islam yang tidak jelas dengan undang-undang syariah itu.
"Kita nak ucapkan tahniah kepada kerajaan dalam menangani isu ini, kita sokong ketegasan kerajaan," katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Shahrizat, pada sidang media khas bersama Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, menyatakan undang-undang itu adalah yang terbaik dalam memelihara hak dan kepentingan wanita berbanding di negara Islam lain.
Malah, katanya, mesyuarat Jabatan Peguam Negara dengan pakar syariah merumuskan peruntukan membabitkan isu harta sepencarian yang menimbulkan kemarahan wanita, tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Mengulas lanjut, Othman berkata penggubalan dan pindaan kepada undang-undang itu dilakukan mereka yang berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang dengan mengambil kira segala aspek perundangan keluarga Islam dan dilakukan mengikut prosedur yang teratur.
Sehubungan itu, beliau berharap tidak ada lagi mana-mana pihak membangkitkan isu itu atau menjadikan ia sebagai polemik yang berpanjangan hanya kerana mereka tidak memahami perundangan syariah.
"Kalau tak faham, rujuklah kepada mereka yang faham," katanya.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaitoon Othman, turut lega dengan penjelasan Shahrizat itu dan meminta orang ramai khususnya wanita memberi ruang kepada pejabat Peguam Negara dan pakar perundangan dan syariah yang meneliti undang-undang berkenaan melakukan tugas mereka.
Katanya, beliau percaya pakar yang berada dalam jawatankuasa meneliti undang-undang itu mampu membetulkan salah tafsiran orang ramai berhubung perkara itu.
Profesor Madya Raihanah Abdullah, pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), berkata pada undang-undang itu tiada unsur penganiayaan terhadap wanita.
"Ia tidak menganiaya wanita, cuma ada kekeliruan menyebabkan wanita rasa bimbang. Dalam hal ini, saya tak percaya penggubal undang-undang nak aniaya wanita," katanya.
Sementara itu, Gabungan Kumpulan Bertindak Wanita (JAG) yang lantang membantah pindaan undang-undang itu kecewa dengan kenyataan Shahrizat.
JAG dalam kenyataan media semalam, berkata penjelasan Shahrizat itu bertentangan dengan kenyataan awalnya yang mahu membela nasib wanita dan kanak-kanak di negara ini.
Pengarah Eksekutifnya, Maria Chin Abdullah, berkata penjelasan Shahrizat juga berbeza dengan reaksi awalnya menyokong JAG menghantar memorandum meminta Senator wanita di Dewan Negara tidak menyokong undang-undang berkenaan.
No comments:
Post a Comment