Friday, February 24, 2006
Permohonan 22 Tahanan ISA ditolak
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam, menolak permohonan semakan kehakiman 22 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menolak hak mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-11 pada 21 Mac 2004.
Hakim Datuk Md Raus Sharif dalam penghakimannya, berkata SPR tidak bertanggungjawab memastikan pengundi ke pusat pengundian untuk menjalankan tanggungjawab mereka pada hari pilihan raya.
Katanya, tanggungjawab untuk mengundi tidak diwajibkan di negara ini dan ia bergantung kepada individu berdaftar pergi ke pusat pengundian di kawasan mereka didaftarkan sebagai pengundi.
"SPR tidak bertanggungjawab membawa pemohon ke kawasan mereka didaftarkan sebagai pengundi bagi menjalankan tanggungjawab masing-masing," katanya.
Pada 27 April 2004, 22 tahanan terbabit memfailkan notis usul bagi semakan kehakiman terhadap keputusan SPR yang mengabaikan hak mengundi mereka.
Mereka ialah Yazid Sufaat, Nik Adli Nik Abdul Aziz, Ahmad Yani Ismail, Zainon Ismail, Abd Samad Shukri Mohamad, Abu Bakar Che Doi, Mat Sah Mohd Satray, Md Lotfi Ariffin, Idris Salim, Muhamad Zulkepli Md Isa, Mohd Sha Sarijan.
Solehan Abdul Ghafar, Abdul Murad Sudin, Mohd Rafi Udin, Nordin Ahmad, Asfawani Abdullah @ Ab Wahab, Roshelmy Md Sharif, Alias Ngah, Suhaimi Mokhtar, Muhamad Zukifli Mohamad Zakaria, Mat Salleh Said dan Khairuddin Saad.
Tahanan itu mendakwa hak asasi untuk bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran serta mengundi dicabuli SPR.
Semua lelaki berkenaan yang ditahan mengikut ISA atas dakwaan terbabit Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) juga memohon perintah deklarasi bahawa hak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang turut dicabuli SPR.
Mereka juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan dan tindakan SPR yang gagal, enggan, nafi dan abai dalam membolehkan dan membenarkan mereka mengundi pada pilihan raya itu.
Raus berkata, pemohon mendakwa SPR perlu menyediakan kemudahan mengundi mengikut setiap kawasan di mana mereka didaftarkan sebagai pengundi, yang dijalankan di Pusat Tahanan Kamunting.
Bagaimanapun, katanya SPR menegaskan pemohon bukan didaftarkan sebagai pengundi pos dan sebagai pengundi biasa mereka tidak layak untuk mengundi melalui pos.
Katanya, oleh kerana pemohon tidak pernah mendaftar sebagai pengundi pos, tindakan SPR yang tidak menyediakan kertas undi pos tidak boleh dikira sebagai melanggar hak mereka.
"Apabila seseorang ditahan mengikut ISA, dia akan kehilangan hak utama seperti hak kebebasan bersuara dan hak perlindungan sama rata undang-undang yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
"Kehilangan hak itu turut dinyatakan dalam perlembagaan, dengan itu dakwaan bahawa SPR melanggar hak asasi pemohon mengikut Artikel 8 dan 10 perlembagaan adalah disalah anggap," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment